Sunday 9 March 2014

Perihal Orang Motong, Agensi Super Kaya dan Kementerian Lembab

Demonstrasi Baling 2.0 bakal menyusul...

ROSLINDA HASHIM (Sinar Harian)

ALOR SETAR - Pas Kedah akan mengadakan himpunan 40 tahun Demonstrasi Baling 1974 pada 5 April depan bagi membela nasib penoreh-penoreh gerah yang sedang berdepan kemelut penurunan harga getah.
            Himpunan yang juga dikenali Demonstrasi Baling 2.0 itu turut mendapat kerjasama beberapa NGO, serta aktivis politik dan tani seluruh negara.
            Ketua Penerangannya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perhimpunan di Baling itu adalah bagi menuntut kenaikan harga getah berikutan kejatuhan teruk harga komoditi utama negara, apabila perkara itu seolah dipandang sepi kerajaan, biarpun keluhan penoreh sudah diutarakan.
            “Sudah beberapa bulan perkara ini dibangkitkan, namun masih tiada tindakan. Jika dibiar berlarutan, apakah nasib pekebun kecil yang majoritinya golongan miskin tegar,” katanya.
             Menurutnya, selain memperingati demonstrasi bersejarah petani dan penoreh getah di Baling pada 1974 yang digerakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau masih melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, ia sebagai usaha mendesak kerajaan menangani segera isu terbabit.
            “Kejatuhan harga getah yang menjunam kebelakangan ini menyebabkan ada anak penoreh getah di seluruh negara terpaksa ke sekolah tanpa membawa duit belanja dan mengikat perut. Cuaca kemarau yang melanda negara menyukarkan lagi keadaan kerana susu getah berkurangan,” katanya.
            Berikutan itu, katanya, Pas Kedah melalui Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar pernah mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan harga lantai untuk mengatasi harga getah yang tidak menentu.
            “Antara cadangan harga lantai getah pada kadar RM4 sekilogram berbanding sekarang serendah RM1.90 sekilogram di sesetengah tempat. Cadangan ini relevan kerana selepas ditolak kos pengeluaran RM3.20/kg, penoreh hanya dapat RM0.80/kg,” katanya.
            Muhammad Sanusi berkata, beberapa tuntutan yang perlu diberi perhatian termasuk, penstabilan Free On Board (FOB) pada kadar RM10/kg, bagi membolehkan harga ladang berada pada kadar RM4/kg.

            “FOB bermaksud, harga yang dikemukakan hanyalah sehingga pelabuhan atau gudang di negara yang kita ingin import barangan itu. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi perlu main peranan dalam perkara ini,” katanya.

            Menurutnya, cadangan lain ialah kos memproses di kilang-kilang ditanggung bersama antara pengilang dan pemain industri serta pengeluar, di mana kos memproses maksima yang munasabah ialah RM1.00/kg (kini antara RM1.40-2.30). “Lembaga Getah Malaysia (LGM) perlu mengkomersialkan tolok penyukat DRC yang telah dicipta daripada wang yang diambil daripada pekebun kecil atas alasan R&D (sekitar 4 sen/kg). Undang-undang kecil perlu diwujudkan untuk menjamin DRC tidak ditentukan secara andaian mata kasar sahaja,” katanya.

Tambahnya, cukai ses yang dipotong daripada pekebun kecil (10 sen/kg kepada Risda dan 4 sen/kg kepada LGM) perlu dinilai semula berdasarkan pengeluaran semasa. “Pemulangan sewaktu penanaman semula patut dibuat dengan kiraan lebih munasabah,” katanya.

Muhammad Sanusi turut menempelak LGM dan Risda serta anak syarikat milik agensi terbabit yang tidak memberi fokus kepada masalah pekebun kecil/penoreh, sebaliknya hanya bertumpu pada strategi menjana keuntungan syarikat. “BN Kedah dalam akujanji akan wujudkan bandaraya getah di Padang Terap. Apa manfaatnya jika ia wujud namun harga komoditi tetap rendah, kerana rakyat tetap merana,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Pas dan beberapa NGO tani mengadakan perhimpunan di Baling, Padang Terap dan Pendang, iaitu kawasan yang ramai pekebun kecil getah, bagi menuntut penstabilan harga getah.
Ketua Pemuda Pas, Suhaizat Kaiat yang turut serta dalam demonstrasi di Padang Terap, baru-baru ini turut mendesak kerajaan mengambil tindakan segera menyelesaikan isu ini.
CAPTION:
MUHAMMAD SANUSI

No comments:

Post a Comment