Sunday 25 August 2013

Saturday 24 August 2013

Pernah Hilang Dompet??

Pernah kehilangan dompet?

Aku ada dompet lama yang masih dipakai hingga sekarang. Dompet yang sudah hilang warnanya ini berjenama Camel - lebih banyak warna hitam, bertompok-tompok, walaupun warna asalnya ialah coklat cerah, mungkin kulit lembu dari Argentina atau Australia. Beberapa poketnya sudah koyak. Penarik zipnya sudah putus, semuanya ternganga saja bila dibuka. Tapi ia serasi dengan poket belakang seluar aku.

Nilainya RM99.00 waktu ia dibeli tahun 2005, di beli di Langkawi. Beberapa kali dompet ini tersalah letak. Puas mencari menyelongkar, berhenti mengingat, mencari lagi. Puas bertanya anak isteri di rumah, tanya kawan-kawan yang bermusafir bersama atau satu pejabat. 

Kata mak mertua, kalau dada berdebar kencang, dompet itu betul-betul hilang. Kalau cari tak jumpa-jumpa, tapi dada tak berdebar, dompet tu tak hilang, hanya salah letak. Cari lagi! Katanya.

Masa mula sedar dompet tiada dalam poket, perasaan bimbang menerpa. Tapi belum seberapa. Bila memikirkan apa yang ada dalam dompet, kebimbangan, penyesalan, kerunsingan dan rasa bersalah bertimpa-timpa.

Kalau dompet itu saja yang hilang, mungkin boleh diganti. Harganya hanya RM99.00, dapat gaji bulan depan aku beli yang baru, kulit juga. 

Namun, bila mengingat apa yang ada dalam dompet, kepala mula serabut. Kad pengenalan, lesen memandu, road tax motosikal, kad kredit, kad ATM Bank  Islam, kad keahlian PAS, resit-resit pembayaran ansuran bank, resit pembayaran bil telefon, resit top-up Touch n Go, simcard broadband, duit RM350, kad smile esso yang tak pernah ditebus bonusnya sejak 2005... Dan benda-benda kecil yang lain. Kepala makin serabut. Hati panas sejuk tak menentu.

Susahnya nak ke balai polis buat report, susahnya nak ke bank untuk buat kad ATM baru, renyahnya nak buat kad pengenalan baru.... Nak proses kad pengenalan baru, memakan masa, kena denda?

Apa jadi kalau hilang dan dijumpai oleh orang jahat. Kalau nombor pin yang pernah ditulis di dalam dompet itu belum terpadam, dan penjahat itu berurusan di ATM, langsailah duit yang ada di bank. Kad kredit mungkin digunakan di stesen minyak, kad pengenalan dicampak tempat dia merompak atau pecah rumah. Kad-kad lain lagi? Duit? Tak apalah duit tu kalau kad dan dokumen dipulangkan. Nilainya bukan RM350 lagi...sudah jadi beribu ribu jika diukur dengan kesulitan dan renyah yang terpaksa dilalui.

Hilangnya Kerajaan Negeri dan apa yang ada bersamanya terlalu besar untuk diukur dengan hilang dompet.  Hilangnya Fakulti Perubatan yang dijual kepada Mahsa College, hanya salah satu kad yang ada dalam 'dompet'.  Lenyaplah satu daya usaha besar, yang tak akan dijumpai semula. Tanah yang telah diumumkan kepada Sekolah-sekolah Agama dan sekolah-sekolah persendirian? Kafalah, bantuan IPT, Maahad Tahfiz Sains, jimat cermat...dan apa-apa yang belum disedari tersusun di dalamnyaa? ? Ooooooohhhh....besarnya kehilangan 'dompet' berjenama Kedah Sejahtera!

Dompet yang tersorok di bawah tempat duduk pemandu dalam kereta, telah ditemui semula. Semua dokumen dalam dompet buruk itu masih ada. Leganya hati.! Siapa-siapa yang 'menemui' dompet jenama 'Kedah Sejahtera' janganlah merobek apa yang diusahakan dengan pengorbanan besar dan susahpayah pemimpin terdahulu.... Belajar dulu mengenal nilainya....

Fakulti Perubatan KUIN: Telus-Terus 'Dari Ladang'...

Tidak mungkin saya mencadangkan KUIN menerima saja pelajar Medic yang terpaksa menamatkan pengajian di Mesir begitu sahaja, andai saya tahu sukarnya mewujudkan Fakulti Perubatan, ketatnya syarat dan betapa besarnya nilai Fakulti ini kepada KUIN dan rakyat negara kita. Hebatnya fakulti ini di KUIN hingga 'bangkainya' juga bisa dijual beli- tentunya pembelian oleh sektor swasta adalah pembelian yang menguntungkan.

Saya mungkin mencadangkan pelajar-pelajar Medic di tahun 1 yang baru memulakan kurus perubatan di Mesir, boleh memohon memasuki pengajian jurusan perubatan di KUIN dengan syarat dan terma yang terpakai di sini. Pelajar tahun 2,3,4 agakmsukar dan rugi untuk memulakannya semula daripada 'A'. Mungkin KUIN perlu melakukan beberapa proses lain dan perlukan kelulusan baru daripada beberapa badan yang mengawalselia fakulti ini di peringkat nasional.

Apapun, tulisan berikut yang saya petik dari Kedahlanie.info mengesahkan bahawa betapa rugi dan besarnya kehilangan yang kita alami akibat menyerahkan Kedah kepada BN dan menyerahkan sesuatu urusan kepada yang hukan ahli. Kalaulah kita sedar apa yang kita telah hilanggg!

Kuin Oh Kuin : Kini Semuanya Bukan PANDIR lagi tapi sudah jadi KADOK....

Saya terlibat secara langsung dalam merangka kurikulum perubatan KUIN. Template asal diambil dari UIA dan dipinda dengan menambah dan membuang mana mana bahagian dengan tujuan menjadikan kurikulum ini selaras dengan falsafah pendidikan KUIN. KUIN beli template ini dari UIA. Lebih kurang sama dengan harga sebiji Myvi.

Antaranya sabjek yang ditambah ialah Islamic Revealed Knowledge (IRK) iaitu tajuk yang menyentuh konsep dan panduan perubatan dalam islam. Tujuan IRK ini ialah untuk mengembalikan hak perubatan moden ini balik kepada orang Islam. Ramai yang tidak tahu bahawa perubatan moden ini asasnya dibina oleh orang islam. 

Tokok perubatan dan sains islam seperti Ibn Sina, Ibn Rush, dll telah menulis buku teks islam yang kemudiannya menjadi rujukan dan asas kepada perubatan moden dibarat. Perubatan inilah yang dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh orang barat dengan diberi jenama baru iaitu allopathy medicine. Waktu itu tamaddun Islam terencat kerana umatnya sibuk bergaduh sesama sendiri.

Selain dari itu pelajar perubatan KUIN dimestikan mengambil subjek wajib univerisiti. Antaranya ialah Al-Quran dan subjek yang berkaitan dengan agama. Sabjek ini mempastikan doctor lulusan KUIN mempunyai asas yang kukuh sebagai hamba Allah beragama Islam. Lebih kurang jadi trade mark produk INSANIAH.

Semua ini adalah tambahan kepada template asal yang diambil dari UIA. Program perubatan KUIN lebih banyak kandungan ilmu islam dari program perubatan UIA asal.

Inilah yang menjadi daya tarikan kepada pelajar yang memilih membuat kursus perubatan di KUIN. Pelajar kohort pertama menduduki tahun 2 mulai bulan September ini. 4 dari 23 pelajar ini telah diiktirah sebagai hafiz. Yang lain lain sedang dalam berbagai fasa hafazan mereka. (saya dapati hafiz /hafizah ini diantara yang cemerlang dalam sabjek lain juga) 

Inilah hakikat sebenar mengenai fakulti perubatan kuin (Kulliyyah of Medicine and Health Sciences (KMHS)). Bandingkan dengan propaganda dari Pemangku Rector dan sida-sidanya yang mengatakan:

• Fakulti ini mengambil pelajar yang tidak layak
• Program ini tidak boleh berjaya kerana bersaing dengan banyak u lain
• Malaysia sudah cukup dengan doctor dalam masa terdekat
• Kaedah pengajaran yang tidak sesuai
• program ini merugikan KUIN

Semua tohmahan ini dibuat sebagai strategi pentadbir KUIN untuk menutup KMHS. Alasan ini diadakan kerana memberi kewajaran kepada keputusan itu, walau pun palsu. Sebab itu juga usaha membetulkan keadaan tidak berhasil kerana keputusan telah dibuat.

Usaha lain kearah menutup KMHS ialah:

• Henti gaji kepada kt Insan Medic
• Henti pengambilan pelajar baru sessi 2013

Bila pelajar sudah tiada, k/t sudah berhenti, maka yang tinggal ialah bangkai KMHS. 

Dijual atau dilelong

Hasil terakhir kepada usaha menjahanamkan KUIN ini ialah menjual KMHS. Kalau sebelum ini dihebohkan bahawa program perubatan ini merugikan, tiba tiba bangkainya boleh pula dijual. Inilah yang dibeli oleh MAHSA. Kalau selama ini anda percaya propaganda BERSIH, anda terpaksa percaya bahawa orang orang MAHSA juga jahil kerana sanggup membeli benda yang tak bernilai. 

KMHS ibarat kereta lama, dibeli oleh peniaga barangan lama dengan harga scrap. Sekarang kereta ini sudah dileraikan satu satu. Mana mana yang tidak sesuai dibuang. Mana mana yang berharga dicat semula dan dijual dengan jenama baru. Jenama baru ialah Fakulti Perubatan INSANIAH-MAHSA. Nama INSANIAH masih dipakai kerana nilai komersial. Ini strategi perniagaan. Jangan tidak tahu MAHSA ialah kolej swasta.

Komponan yang tidak berharga yang dibuang dari KMHS ialah subjek Al-Quran dan IRK yang saya sebut diatas. Perkara ini awal-awal sekali disebut oleh dekan MAHSA sewaktu memberi taklimat kepada pelajar dan waris. Yang tinggal adalah sabjek perubatan, sama seperti program MAHSA dan U lain.

Saudara Sanusi Md Noor menulis tentang bodohnya UMNO dan BN (KUIN) tidak mengambil pelajar perubatan yang kembali dari Mesir. Saya tidak setuju atas alasan saya sendiri. Sekarang KMHS INSANIAH tinggal nama. Orang KUIN tidak ada kuasa tentukan hala tuju pendidikan Fakulti perubatan INSANIAH-MAHSA. MAHSA tidak berminat dengan pelajar Mesir atas sebab RINGGIT. 

Sebab utama mereka membeli KMHS pun sebab RM. Mengambil pelajar university lain adalah kerja rumit. MQA tidak akan membenarkan pelajar pindah dari satu university keuniversiti lain dengan mudah. Ada isu kurikulum dsb yang perlu diselesaikan. Bukan tugas MAHSA membantu pelajar ini. Lagipun pelajar yang buat medic di Mesir dikalangan anak orang yang budget terhad. Anak orang kaya akan masuk IMU, Taylor, Australian atau UK.

Selain dari nama INSANIAH yang digadai, lesen kursus perubatan juga dibeli oleh MAHSA. Sebenarnya inilah yang paling menguntungkan. Lesen ini sukar diperolehi. Ia membolehkan MAHSA menambah bilangan pelajar baru. MAHSA sudah pun mengeluarkan iklan pengambilan pensyarah baru untuk fakulti perubatan di Alor Setar. 

INSANIAH menjadi gah kerana digandingkan dengan MAHSA, IPTS yang tersohor di Malaysia. Orang orang terentu yang gigih menutup KMHS tentu bersorak. Disinilah muncul watak pak kadok; ayam menang kampong tergadai. Kalau Pak Pandir bodoh dan lurus, Pak Kadok lebih teruk dari itu. Dia ini merosakkan negeri kerana dia tidak tahu apa yang dia tidak tahu. Dia merasa pandai, sebab itu dia memandai mandai. 

Bersoraklah Sang Rajuna Tapa, dendam sudah terbalas. (Episod dia kena sula menjelang…….)

Nukilan dari..
Double H
Kedah Lanie at 10:30 AM
Share
 

Friday 23 August 2013

Dah Ramai Nak Beli, Tokey Tutup Kedai Pulak!!

Ramai pelajar Medic kena balik di zaman krisis di Mesir. Kerajaan Pusat kata nak beralih ke Rusia dan negara-negara lain yg kosnya tentu jauh lebih tinggi. Apa akan jadi kepada pelajar tanggungan sendiri? 

Fakulti Perubatan KUIN di mulakan dgn 23 pelajar dan fasiliti pengajian di fakulti ini memang disediakan dengan perbelanjaan besar, kos pengajian pun mahal, tapi tak semahal di Rusia atau negara-negara lain. Malah, pelajar kita kena mulai semula  dengan belajar bahasa.

Pada saat seperti ini, sayang sekali, Kuin swastakan pulak fakulti perubatannya kepada Mahsa College,  yang juga sebuah IPT swasta yang pasti berbeza dari byk sudut, termasuk menanggalkan falsafah Islam dalam melahirkan doktor yg dirancang di KUIN.

Saya berpendapat KUIN akan jadi opsyen terbaik pelajar medic yg terpaksa balik... Falsafah pendidikan utk melahirkan doktor-doktor di KUIN hampir sama dengan di Mesir - Doktor yang lahir dari acuan Islam- Dari 23 org pelajar mungkin boleh jadi 50-100 orang. Ada fakulti perubatan IPTA negara ini bermula dgn 17 org sahaja di awalnya, kini menjadi 'kilang doktor'

Demikian juga kursus-kursus baru yang lain, bermula dengan 5-6 orang bukan satu masalah besar bagi sebuah IPT yg sedang berkembang. Kata bekas Timbalan Rektor UIAM, ada kursus yang kami mulakan di UIAM dulunya, hanya dengan 5 pelajar, sekarang sudah sesak dan terpaksa dihadkan. Demikian KUIN, bertatih dahulu barulah berlari. Lama kelamaan dgn promosi dan kualiti yg baik, ia boleh berkembang.

Kalau dah dpt pemimpin dan pentadbir yang 'bukan ahli' dalam bab univerisiti, jadilah spt apa yg terjadi kpd KUIN di Era Mukhriz. Mau segera untung! Kesian!

Tuesday 20 August 2013

Dari Fail Sejarah KUIN: Demikianlah Wajah Politik BN Di Sebalik Akujanji Palsu!

Bandingkan AkujanjiPRU-13 BN Kedah
dengan realiti dan sejarah....



Kampus Tetap

Dari Sungai Senam menganjur ke Kg Padang Pulut dan Bukit Hangus, Jeneri, terdapat sebidang tanah seluas lebih kurang 570 ekar. Tanah yang masih berstatus pertanian itu diberikan kepada Insaniah (KUIN)  semasa Dato' Seri DiRaja Syed Razak menjadi MB Kedah sekitar tahun 2005 untuk dibina kampus tetap. 

Namun, proses mengubah syarat tanah tidak sempat dilaksanakan kerana Menteri Besar selepas itu pula  (DS Mahdzir Khalid) mempunyai cadangan lokasi baru di Suka Menanti. Walaupun plan susun atur sudah disiapkan di lokasi cadangan Menteri Besar baru itu, rancangan ini tergendala kerana masalah pengambilan tanah sawah yang akan menelan kos yang lebih tinggi untuk dibina bangunan. Sementara tanah tapak cadangan asal di Jeneri terbiar, diceroboh oleh penduduk dan akhirnya pada 2011, ia diserahkan kepada MBI untuk pembangunan ladang getah bagi menjana pendapatan kepada KUIN.  ( Tidak pasti adakah rancangan ini diteruskan selepas PRU13.)

Rancangan Menaiktaraf KUIN

Selepas kampus tetap, muncul cadangan untuk menaik taraf KUIN sebagai universiti penuh. Ia telah di cadangkan oleh kepimpinan KUIN dan Kerajaan Negeri sejak zaman Mahathir Khalid  (2006- Mac 2008), tetapi tidak mampu direalisasikan. 

Pada era Ustaz Azizan menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN, semua aspek pengembangan KUIN seperti penambahan fakulti-fakulti baru, membawa masuk profesor-profesor dan pembinaan Kampus Tetap yang menjadi  prasyarat untuk menaik taraf ke tahap universiti penuh dapat dilaksanakan. Setelah dokumen permohonan naik taraf universiti penuh dapat disiapkan, semua syarat telah dipenuhi, hasrat ini akan tercapai setelah Kampus Tetap di Kuala Ketil disiapkan. Ini hanya  terlaksana di zaman Pakatan Rakyat memerintah Kedah dengan pengalaman, kesungguhan dan keupayaan kepimpinan yang miliki oleh Ustaz Azizan. Dalam tempoh 3 tahun sahaja dia telah menunjukkan cara dan jalan menamatkan 'ding-dong' yang berlarutan berbelas tahun!

Malangnya, PRU-13 mengembalikan KUIN ke era 'ding-dong' setelah BN berjaya berkuasa semula di Kedah. Apa yang berlaku kini adalah seperti ada api nyalaan demdam dan khianat.

Tindakan Mukhriz mengarahkan Pemangku Rektor selepas PRU-13, Dato' Barni Mohd Noor (yang dilantik dengan membelakangkan syarat kelayakan sebagai Pemangku jawatan itu yang ditetapkan oleh Kementerian) melaksanakan beberapa tindakan drastik berikut;
...
1) Memberhentikan pengambilan pelajar ke beberapa program pengajian.
2) Menamatkan kontrak pensyarah-pensyarah berstatus Profesor dan Profesor Madya yang sedang menyelia tesis pelajar-pelajar pasca siswazah.
3) Mengecilkan bilangan fakulti (Kulliyyah IT dan Multimedia digabungkan dengan Kulliyyah Kejuruteraan).  
4) Mengarah Kulliyyah Muamalat pindah balik ke Mergong.
5) Menyerahkan program perubatan kepada IPT lain.

...adalah langkah mengundur ke belakang dan menutup jalan KUIN untuk memohon naik taraf sebagai universiti penuh. Inilah akibat menyerahkan sesuatu urusan kepada bukan ahlinya, malah buta sejarah. Tindakan mengundur ini telah membuktikan bahawa bukan sekadar Pemangku Rektor itu termasuk dalam kategori 'bukan ahli', Mukhriz dan barisan Exconya juga tergolong dalam kelompok tersebut. Jelas ketara langkah-langkah ini dibuat hasil kesumat yang menyala.

Rancangan Kampus Tetap

Perancangan asas untuk pembinaan kampus tetap sudah dibuat pada zaman Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Besar lagi. Beliau mencadangkan satu lokasi di Yan (design & prototaip pun sudah disiapkan), tetapi kepimpinan negeri berubah sebelum ia dapat dijelmakan. kepimpinan DS Syed Razak pula mengubah cadangan itu supaya dibina  Jeneri, Sik. Hanya setakat menyediakan tanah sebagai tapak, kepimpinan negeri berubah lagi. 

Dato' Seri Mahdzir Khalid pula mengubah cadangan supaya dibawa ke Suka Menanti ( walaupun design dan gambar arkitektur pun sudah disiapkan), tetapi  masalah berkaitan pengambilan balik tanah sawah penduduk berbangkit, maka ia tertangguh buat kali ketiga. 'Ding-dong' KUIN tiada kesudahan, tiga orang Menteri Besar BN/UMNO 'menyorong' KUIN ke sana ke mari, berasaskan kepentingan kelompok masing-masing, walaupun mereka datang dari parti yang sama. Ini bukti nyata, bahawa BN tidak mampu mendepani kepimpinan dan pengurusan sebuah universiti, menjelmakannya menjadi nyata, hanya mampu memilih tapak untuk 'mengundang projek dan kontrak' dengan berbagai kepentingan.

Era Pakatan Rakyat pimpinan Ustaz Azizan mengubah budaya kerja dan senarai keutamaan bagi negeri dan rakyat Kedah. Tanpa kepentingan selain amanah rakyat dan negeri, dengan Islam sebagai teras, bagi menjayakan Kedah Sejahtera, maka pendidikan diletakkan di senarai teratas. Ustaz Azizan adalah penyelesai kepada masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh tiga orang Menteri Besar daripada BN berkaitan Kampus Tetap dan menaiktaraf KUIN.  

Perancangan asal pembinaan di Suka Menanti dipindahkan ke Kuala Ketil  disebabkan oleh keluasan tanah, matlamat pembangunan bandar baru, perancangan pembangunan masa depan, jaringan perhubungan, pembangunan sosial setempat dan kepadatan penduduk. Tapak cadangan lama yang  melibatkan pengambilan tanah rakyat dan kawasan sawah akan mengancam pengeluaran makanan (padi) selain melibatkan kos yang lebih tinggi dan masa yang lebih panjang, akibat  harga pasaran tanah bandaraya Alor Setar dan terpaksa ditimbus. 

Tanah PKNK di Kuala Ketil adalah jawapan paling tapat untuk masalah ini, dan Ustaz Azizan telah membuat pilihan bijak dari semua faktor. Kampus Tetap KUIN akhirnya tersergam indah, menjadi mercutanda baru Kedah, hanya dengan kos RM330 juta, sempurna dirasmikan pada 29 Januari 2013.

Walaupun asrama tidak dapat disiapkan, berikutan peningkatan kos bahan binaan akibat syarat baru oleh JKR (berpunca daripada runtuhan stadium di Terengganu), namun sudah ada persetujuan dengan Daruaman Realti dan PKNK sebagai penyelesaian. Dua GLC kerajaan negeri  itu telah diarahkan menyiapkan segera kawasan perumahan baru yang sedang rancak berjalan  di sebelah kampus tetap yang akan disewa sebagai kediaman  dan asrama pelajar dan kakitangan KUIN. 

Pada waktu itu, projek perumahan berskala besar ini dijangka siap dan boleh diduduki pada bulan September 2013. Asrama sementara pasang siap juga sudah dimulakan pembinaannya sewaktu PRU-13 berlaku. Pro-Canselor yang baru dimasyurkan pada Januari 2013, Dato' Afifuddin Omar segera mencadangkan  blok-blok dewan kuliah yang masih kosong diubahsuai menjadi asrama. Ia segera dilakukan, namun jarum-jarum jahat segera menikam Kementerian Pengajian Tinggi agar tidak membenarkannya, atau lesen ditarik balik. 

Inilah rantaian sebahagian rencana untuk memadamkan pencapaian tinggi kerajaan Pakatan Rakyat  memartabatkan KUIN, walaupun kita telah berjaya menyempurnakan kegagalan mereka, atas matlamat yang sangat murni.  Ia terus marak menyala selepas kuasa beralih kepada BN dalam PRU-13, membakar kejayaan anak bangsa menjadi arang dan abu.

Catatan sejarah KUIN ini dan tindakan-tindakan semberono selepas PRU-13 menimbulkan banyak persoalan. Andainya Kerajaan Negeri era  Sanusi Junid, Syed Razak dan Mahdzir Khalid, yang juga daripada  UMNO  sudah merancang pembinaan kampus tetap, dan menaiktaraf KUIN sebagai univerisiti penuh, kenapa timbul pula  isu dana dan perbelanjaan pengurusan KUIN yang didakwa terlalu tinggi  pada zaman Mukhriz? Apa pula kepentingan Mukhriz apabila men'ding-dong' kan semula  KUIN? 

Apakah justifikasi Mukhriz untuk menidakkan usaha semua Menteri Besar terdahulu termasuk daripada UMNO untuk membina kampus tetap KUIN? 

Kenapa semua Menteri Besar terdahulu sanggup memberi prioriti dalam peruntukkan kewangan untuk membangunkan kampus tetap KUIN, meluaskan peluang dan kemudahan pendidikan tinggi, tetapi tidak bagi Mukhriz, atas alasan ingin membina rumah untuk rakyat? 

Apakah kerajaan UMNO sebelum ini dan sekarang  mampu membina kampus dengan saiz dan kapasiti setanding dengan yangtelah  tersergam di Kuala Ketil dengan kos yang lebih murah?

Jawapan kepada semua persoalan ini mungkin hanya satu sahaja. Anda saja sebutkan!