Tuesday 18 November 2014

Surat...

Terjemahan Surat Jawapan TG Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang kepada surat Ulamak Pas Kedah 2012.

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Saudaraku yang dikasihi kerana Allah, sejahtera ke atas kamu dan rahmat serta keberkatannya.

Aku berdoa kepada Allah agar kamu sentiasa dalam keadaan sihat, dan aku berharap bagi kamu petunjuk dan kemuliaan.

​Telah aku terima surat kamu yang mulia dan aku telah baca dengan teliti, belajar dan mengkaji dengan mendalam, tidak boleh untuk aku tergesa-gesa dalam sesuatu hukum dan tatacara dalam perkara kehakiman, penjagaan (hisbah), dan politik Islam. Tidak harus bagi kita jadi seperti sabda Rasulullah SAW :

"Umpama orang yang mendirikan ketetapan Allah dan melaksanakannya adalah seperti satu kaum yang berlayar dalam sebuah kapal, ada di bahagian atas dan ada yang berada di bahagian bawah.  Yang berada di bawah apabila mereka mahu mengambil air mereka terpaksa melalui bahagian atas lalu mereka berkata : "Sekiranya kita tebuk satu lubang di bawah, maka kita tidak mengganggu orang di atas kita". Sekiranya yang bahagian atas membiarkan mereka melakukannya nescaya musnahlah semua. Sekiranya kamu masuk campurtangan menyelamatkannya maka selamatlah semuanya (Riadhu Solehiin jilid 1 ms 33)

Dan jangan pula kita hanya berprasangka saudara yang mulia, pemimpin besar yang mulia Ustaz Azizan Abdul Razak kita telah melakukan dosa besar. Dan aku berdoa kepada Allah tidak lah kita sedemikian rupa dan kita berdoa supaya kita tidak takut selain daripada Allah walaupun kita disakiti. 

Akan tetapi pendirian ini bukanlah pendirian yang biasa seperti yang kamu lihat. Dan dalil-dalil yang kamu berikan pada aku kebanyakkannya tidak sesuai pada tempatnya kerana beberapa sebab yang berikut :

1. Kamu mengqiaskan dengan situasi Khalid Al-Walid R.A yang dipecat oleh Amirul Mukminin Umar Al-khattab R.A dengan ijtihadnya - (sebenarnya) pada peperangan Yarmuk bukanlah pada peperangan Qadisiiah seperti yang kamu maksudkan - Adalah qias yang ada perbezaan dan tidak memenuhi syarat-syarat qias yang muktabar, kerana pemecatannya adalah kebijaksanaan siasah Umar R.A pada menentukan Abi Ubaidah Amir bin Jarah R.A sebagai penjaga bagi Ummat, untuk melebarkan Daulah selepas pembukaan-pembukaan dan berbilangnya negara-negara. 

Dan Khalid Al-Walid bukanlah dari pimpinan dalam bidang pentadbiran dan politik dan dia adalah pimpinan dalam bidang peperangan dan pertempuran, Daulah amat memerlukan kepada kebijaksanaan dalam bidang pentadbiran, politik dan berperang. Dan berterusan Khalid R.A dalam barisan kepimpinan dalam peperangan.

2. Adapun cadangan Umar R.A supaya Khalid R.A dipecat pada zaman khilafah Abu Bakar R.A  pada waktu peperangan golongan Riddah ditolak oleh Abu Bakar R.A  kerana Khalid R.A adalah seorang yang di gelar pedang Allah yang terhunus melawan musuhnya walaupun itu pandangan Umar R.A.dan Umar R.A memarahi Khalid R.A kerana berkahwin dengan isteri Malik bin Nuwairah selepas Khalid membunuh Malik bin Nuwairah Dan tersebar berita bahawa Malik bin Nuwairah telah bertaubat dan kembali pada islam selepas riddah( baca kisahperang golongan murtad di zaman Abu Bakar ) dan hukum yang Khalid buat adalah tidak harus kerana ada khabar angin dan keraguan, kerana apa-apa yang ada keraguan padanya akan gugurlah bukti-bukti. Dan Abu bakar menyuruh Khalid membayar diat (kerana tersalah ijtihad menjatuhkan hukuman bunuh pada Malik bin Nuwairah )
 
3. Selepas meneliti dan bertemu dengan saudara-saudara di kedah, aku melihat bahawa kebanyakkannya tidak mampu memelihara hubungan di antara sesama saudara dan tidak istiqamah (tetap pendirian } ketika diuji kesenangan selepas kesusahan, dan berhadapan dengan ancaman selepas kemenangan adalah lebih berat dan lebih kuat daripada berhadapan dengan pihak musuh. .
 
4. Kerajaan kita di Kedah adalah suatu gabungan di antara parti-parti yang bertahaluf (pakatan politik ) yang memerlukan antara satu sama lain sedangkan kita tidak mempunyai kekuatan  majoriti kerusi di Kedah. Seharusnya kita tetap dalam Jemaah Islam (PAS) dari dalam walau pun berhadapan dengan pemimpin yang jahat kerana Rasulullah SAW bersabda : Jihad itu satu kewajipan walaupun bersama pemimpin-pemimpin yang baik atau pun jahat. ( diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain).
 
5. Berkata Al-Mawardi Mazhab As-Syafi’ie dalam Ahkam As-Sultoniah : Al-Ahkam Sultoniah ( jilid 1/ mukasurat 7 )
 
"Dan jika salah satu dari keduanya lebih mengetahui, dan sebahagian yang lain lebih berani, untuk menjaga pilihan  yang mesti diputuskan pada waktu itu, adalah sekiranya berhajat kepada kelebihan berani untuk menampakkan kekurangan dan kelemahan penderhaka, berani lebih berhak. Sekiranya berhajat kepada kelebihan ilmu untuk menjawab kepada rakyat jelata dan menzahirkan ahli Bid’ah, adalah yang mengetahui lebih berhak.

Maka fahamilah kamu akan pendirian kita, terhadap UMNO dan dalam pentadbiran dan institusi kerajaan. Adakah harus bagi kamu seumpama pendirian yang bahaya ini kerana semata-mata perkara-perkara yang tidak diteliti dengan saksi-saksi yang adil sepertimana yang kamu berikan padaku.

Akhirnya, terimalah penghormatanku, dan kasih sayangku, bagi kamu semua kerana Allah. Dan janganlah menjadi seperti kambing yang terpencil dari kambing-kambing yang berkumpulan,  supaya kamu tidak dimakan serigala. 

Semoga kamu semua sentiasa dalam kebaikan, keberkatan, dan sihat. Dan aku mohon doa kalian untuk kami agar mendapat taufiq, kekuatan, dan istiqamah dalam berkhidmat pada agama Islam dan kaum muslimin.

Saudaramu kerana Allah

ABDUL HADI HJ AWANG MUHAMMAD
Presiden Parti Islam SeMalaysia
28 Rabiul Awwal 1433





Tuesday 3 June 2014

"Di Mana Ada Syiah, Di Situ Ada Kacau Bilau": Almarhum Ustaz Azizan.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/bekas-pegawai-agama-aktif-syiah-1.286463

Jarum Menusuk, Bisa Bikin Gempar...

Aliran mereka makin jelas, tidak hairanlah mengapa krisis bisa tercetus tanpa ribut dan taufan. Hanya perlukan jarum!

Dia bekas pelajar Maktab Mahmud, rakan sekelas dengan seorang Imam sebuah kariah, jauh di pedalaman Daerah Sik. Setahu saya, dia bukan pegawai agama, tetapi pegawai tadbir yang pernah ditempatkan di Majlis/Jabatan Agama Islam Pulau Pinang. Dia juga pernah berkhidmat di beberapa agensi kerajaan yang lain. Dia bersara awal kerana dikatakan berkelahi dengan bosnya.

Entah bagaimana, selepas 2008, mungkin atas pengalamannya berkhidmat dengan pelbagai agensi kerajaan, dia dilantik sebagai CEO di Yiked Holding, cabang perniagaan Yayasan Islam Kedah (YIK) untuk jana pendapatan membiayai kegiatannya. Aku dan ramai yang lain tidak pernah mengenalinya sebelum itu. Malah ada pemimpin parti maupaun kerajaan yang tidak kenal dia sampai sekarang! 

Tidak ada sebarang maklumat tentang penglibatannya dengan Syiah pada waktu itu. Saya pernah menulis satu artikel menegur pimpinan GLC yang tidak produktif, yang memberi kesan negatif kepada politik kerajaan Kedah. Boleh dibaca di http://sanusisetpol.blogspot.com/2010/10/pemimpin-pemimpin-glc-tindak-tanduk.html

Menerusi aktiviti teras syarikat itu (usahasama kuari, galian dan mineral)   selama 3 tahun, tiada sebarang pendapatan baru dibawah kendaliannya! Gajinya saja hampir mencecah setengah juta. Maka YIK selaku pemegang saham memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya. Selepas itu, barulah dapat dilihat dengan jelas dia menyertai kem menentang Ustaz Azizan, turut dilihat berada di belakang tokoh-tokoh besar yang membuat beberapa penampilan di TV3.... Dia juga dilihat menyeret seorang tokoh peguam muda yang pernah berkhidmat dengannya ke kancah kacau bilau itu. 

Pada satu ketika, Ustaz Azizan berkata kepada saya... "Hang tengoklah Nusi di dunia laa ni, di mana ada syiah, di situ ada kacau bilau! Bila sampai depa dah kuat esok-esok, akan berlaku di tempat kita, macam yang berlaku di Pakistan... darah Sunni menjadi halal dan mula bunuh membunuh. Hang tunggu tengok laa, aku tak dan tengok dah kot.."

Beberapa bulan selepas pilihanraya umum ke 13, aku berjumpa Hj Derih, seorang pengusaha kuasri pasir. Hj Derih bercerita tentang usahasamanya dengan Yiked Kuari tidak berjaya. Antara syarat yang tidak bertulis untuk menjayakan usahasama itu ialah Hj Derih diajak oleh bosnya menyertai Syiah. Hj Derih menyebut.. "Dia tak kenal kita kott..hah!" Aku tak yakin dengan cerita Hj Derih masa itu sehinggalah berlaku satu pertembungan....

Baru-baru ni, aku bertembung dengannya di sebuah kampung di Sik, menziarahi kematian. Dia datang dengan Ustaz Lah Hasan dan beberapa orang pengikut Syiah yang lain. Aku kenal Ustaz Lah dan pengikutnya kerana aku pernah bertemunya dan menerima sebuah memorandum yang dihantar kepada kerajaan negeri membantah sebuah program Jabatan Mufti berkaitan syiah. 

Kedatangan rombongan Syiah ke kampung itu kali ini adalah untuk mengambil jenazah itu, untuk diuruskan secara amalan syiah, kononnya atas wasiat si mati.  Selepas berlaku pertengkaran yang agak tegang dengan keluarga si mati, mereka akhirnya gagal. Aku lega dengan hal itu..

Aku menghulur tangan berjabat salam juga dengan mereka, termasuk tokoh ini sambil bertanya khabar. Ketika itu Ustaz Lah Hasan berkata... "Enta pekemaih Sunni enta elok-elok sheikh!... Kami Syiah ni lagi ditekan, lagi berkembang". Aku sepontan jawab... "Saya dok nampak ustaz, Sunni pun tak berkurang kalau syiah berkembang..." Aku cuba maksudkan bahawa kumpulannya telah menjadi tempat berhimpun orang-orang yang bermasalah! Tak pasti dia faham atau tidak.

Sebelum beredar, sambil menepuk-nepuk bahu tokoh ini, seorang pengikut mereka dengan riak wajah bangganya berkata kepada aku,  ..."Ini orang kami, dia  idola kami, seorang profersional dikalangan kami..." 

Aku senyum sajaa... (Teringat lori-lori mundar mandir memindahkan muatan batu besi di Gurun...) selepas mereka berlalu dengan Mercedes berwarna hijau,  ingatan aku segera mengimbau kata-kata Ustaz Azizan... Peristiwa perebutan jenazah yang menggemparkan kampung itu hari ini seperti telah mengesahkan kata-katanya itu.... Telah benarlah katamu Ustaz!

Sejak teguran di blog pada Oktober 2010 itu, namaku mula busuk hanyir, termasuk di kampung halamanku sendiri. Aku mula dituduh mempunyai kuari pasir, kuari batu, ban balak dan merampas hasil usaha orang lain. Bekas rakan sekelasnya di Maktab Mahmud, seorang kontraktor, kini seorang imam dan berbesan dengan TG Hj Salleh Musa. Kuliah-kuliah TG Hj Salleh turut membuat kecaman kepada 'pegawai MB' yang sibuk mengumpul harta dan kekayaan, berjuang tidak ikhlas dan dan merosakkan nama MB.

Aku terpinga-pinga bertahun-tahun! Dari mana munculnya cerita karut marut ini semua. Bukan sahaja tidak berasas, malah bertentangan dengan prinsip perjuangan aku dan dasar parti, malah bertentangan dengan kehendak dan  arahan Ustaz Azizan sendiri. Kerana teguran itu, dan Rupa dirinya yang sebenar, sudah makin terdedah, Dia memindahkan rupa buruknya kepada aku melalui semua lorong. 

Sesuai sangat dengan kewujudan satu puak yang suka menjaja cerita buruk sahabat dan pimpinan, tanpa diselidik (tabaiyun), terus melanyak dan menghentam, di media maya, di kedai kopi, di rumah kenduri, dari depan dan belakang. Peguam muda yang terheret dengan tokoh berpesan kepada seorang sahabat..." Hampa jaga, Sanusi tu Munafik besaq tuu..." Dia juga berhenti selepas kontrak bosnya tidak diperbaharui.

Selepas bertahun, barulah aku sedar, belakangku telah lama berdarah! Rupa-rupanya, jarum mereka ini tanpa belas menusuk menikam siapa saja yang menjadi penghalang mereka, di seluruh pelusuk negeri. Apa nak dihairankan! Kalau darahpun bisa menjadi halal, apa ada pada maruah?

Tuesday 13 May 2014

Peralihan Kuasa Di Terengganu? Perhatikan Juga Reaksi Pentadbiran Awamnya.

Sukar juga melihat krisis Terengganu sekarang ini dari semua sudut, selain peristiwa bersejarah di Perak dan pengaruh luar lingkaran politik yang akan memberi kesan besar. Tulisan ini mungkin tidak memberi nilai tambah kepada kepada pemimpin atau penganalisa politik, tetapi sistem yang 'tidak bertulis' (unwritten) atau yang sudah 'dipadam' (deleted) mungkin ada pengaruh.

Peralihan Kuasa Di Terengganu: Perhatikan Juga Reaksi Pentadbiran Awamnya.

Sejarah sesebuah negeri sering bergolek atas roda sejarahnya sahaja. Sukar sekali aplikasi yang berhasil di Negeri A dapat diulang di Negeri B. Dalam konteks Terangganu yang dilanda krisis baru, kaedah Perak 2009 tidak mungkin laku, kalaupun ia menjadi opsyen dan berlegar di fikiran pemerhati dan orang politik.

Terangganu berdiri atas Undang-Undang Bagi Diri Negeri Terengganu, seperti juga Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang mendirikan Perak atau Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah yang mendirikan Kedah, ia saling berbeza.

PAS Terengganu telah memilih untuk tidak terjebak dalam perangkap  yang pernah di pasang di Perak, walaupun situasi kerajaan-pembangkang sekarang berbeza. PAS telah memilih tidak akan mengulangi Kudeta BN Di Perak, sekalipun 3 Adun bebas itu menyebelahi pembangkang. Ini kebijaksanaan dan kematangan politik PAS.

Tindakan Ahmad Said dan dua lagi Adun itu adalah tindakan yang wajib dibaca sebagai - Sedang meletakkan harga kerusi mereka kepada satu pembeli sahaja, bukan di pasaran terbuka. PAS jangan tergelojoh bertanya harga. 

Apatah lagi hari ini, bila 3 Adun Bebas itu telah mengaku bahawa tetap menyokong kerajaan Barisan Nasional, mustahil boleh berlaku peralihan kuasa dengan mengadap Sultan mohon pelantikan MB dan kerajaan baru. Mustahil!

Menjadi Adun Bebas yang pelik!

Ini juga sangat pelik! Mutakhir ini, belum ada Adun atau MP yang pernah menyeberang jambatan ke pulau bebas, menyokong kerajaan yang dibentuk oleh parti yang ditinggalkan. Lihat saja Zulkifli Noordin, Zaharin Hashim, Radzi Salleh, Gobalakrishnan, Tan Wei Tsu, atau lihat Fairus Khairuddin bekas TKM Pulau Pinang yang diarah mengosongkan kerusinya. Sama ada mereka kecewa atau menerima tawaran habuan atau kedudukan, mereka tidak sesekali menyokong PR yang telah diceraikan. Semuanya menendang perut yang telah mengandungkan mereka. 

Dalam sejarah politik Malaysia moden, hanya dua orang saja yang diarahkan mengosongkan kerusi atau jawatan,  tetap meneruskan sokongan kepada partinya. V Arumugam (Adun Bukit Selambau - Exco Kedah) atas kes pribadinya, memberi laluan kepada S. Manikumar dan Lee Chin Cheh, Adun Kajang yang memberi laluan kepada Anwar-Azizah. Ini pun kes pelik!

Dalam kes seperti ini, pengurusannya sangatlah halus, tetapi berat dan membebankan. Tanpa sebarang tawaran harta dan kedudukan,  melalui pengalaman kes Bukit Selambau, saya tahu kesanggupan luar biasa yang dimilikinya. Namun, kerumitan menguruskannya juga luar biasa. Melepasi ke-luarbiasa-an inilah membolehkan mereka kekal tidak menentang. 

Terengganu adalah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Sejarah ini penting, sama seperti Kedah, tidak sama dengan Perak atau Selangor. Johor, Terengganu, Kelantan dan Kedah berkongsi beberapa ciri yang sama atas sejarah ini. Negeri-negeri ini memiliki sistem dan Pegawai Perkhidmatan Awam mereka sendiri, satu ciri penting untuk dipertimbangkan dalam sebarang tindakan politik. 

Kedah ada KCS, Kelantan KNCS, Terengganu TCS dan Johor ada JCS. Hal ini berkembar dengan kuasa dan pengaruh Sultan pemerintah, sebagai ketua negeri. Sejarah panjang Kesultanan dan perkhidmatan awam di Negeri-negeri Tidak Bersekutu  terlalu penting untuk diabaikan dalam mempertegaskan teori dan praktis pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi. Ia mungkin tidak berlaku walaupun perlembagaan menghendakinya.

Hubungan garis putus-putus dalam carta sistem perkhidmatan awam negeri-negeri ini, dalam kes tertentu lebih kuat daripada garisan bersambung, tebal lagi terang malah dikehendaki oleh undang-undang yang diterima pakai.

Ada ketikanya, dalam bab mentafsirkan beberapa perkara dalam Undang-Undang Tubuh Negeri, tafsiran Setiausaha Kerajaan Negeri dengan latar belakang Pengurusan Awam, lebih berautoriti, lebih sah daripada tafsiran Penasihat Undang-undang Negeri (LA) yang berlatar belakang undang-undang, bertugas di bawah bumbung Jabatan Peguam Negara. Itulah yang telah terjadi! Kenapa? Adakah LA terkhilaf? Tidak! Tiada khilaf! Habis? Jawab lah sendiri!

Negeri-negeri Melayu Bersekutu seperti Perak dan Selangor memiliki sistem Pentadbiran awam yang dikawal oleh Kerajaan Persekutuan melalui JPA, 
walaupun dalam sektor yang terletak dalam senarai negeri seperti pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah. Pegawai-pegawainya dilantik daripada kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). Mereka boleh bertukar ke Sabah, Negeri Sembilan atau Perlis, ke jabatan apapun menurut ketentuan JPA. 

Kudeta di Perak dipermudahkan prosesnya dengan penglibatan dan kerjasama penjawat awam, seperti peranan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada waktu itu. Lihat sahaja mereka mengusung speaker keluar dewan dan mengepung pintunya. 

Sebelum PRU-14, PAS Terengganu hanya ada satu opsyen - Membawa undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri. Kerajaan PAS Terengganu pernah tumbang melalui jalan ini, dan boleh mengulanginya kepada BN pula. Adakah akan mendapat majoriti bila diundi. Itu tidak penting! 

Melalui undi tidak percaya dalam DUN, BN akan mendapat satu undi tambahan iaitu undi Speaker. Di luar dewan dalam kaedah biasa, kerusi dan undi speaker tiada makna apa-apa.

Sejarah Undi Tak Percaya di Terengganu.

Dalam Pilihan raya umum Malaya 1959, DUN Terengganu dimenangi oleh PAS dengan majoriti kecil. PAS mendapat 13 kerusi, Perikatan/UMNO 7 kerusi dan Parti Negara (PN) 4 kerusi. Pas berjaya memujuk Adun PN Langkap (Ismail Abbas) menyokong mereka. Umno pula berusaha mendapat sokongan 3 lagi Adun PN.

Pada 24 Julai 1961 satu undi tidak percaya terhadap kerajaan PAS dibawa oleh seorang Adun PN Bukit Besar, Mohamad Abd Rahman. Undi tersebut gagal kerana PAS mendapat (12 undi) Umno + PN (11 undi). Seorang wakil Pas berkecuali iaitu Ahmad Azam Napiah. Ahmad Azam kecewa kerana tidak diberi jawatan Menteri Besar Terengganu atau pun Speaker (atas halangan Undang -Undang Bagi Diri Terengganu kerana beliau berasal dari Perak bukan anak jati Terengganu). Beliau kemudiannya mengisytihar sebagai Adun Bebas.

Kegawatan DUN Terengganu berlarutan apabila UMNO berjaya membeli dua Adun PAS - Mohamad Ismail dan Husin Jusoh. Kemudian, UMNO juga dapat membeli 3 Adun PN apabila mereka bertemu Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur. Adun PN yang terbabit adalah Wan Daud Mohamad (Ladang), Mohamad Abd Rahman (Bukit Besar) dan Haji Mutalib Salleh (Batu Buruk). Keadaan tersebut membawa kepada undi tidak percaya kali kedua dibawa dan akhirnya kerajaan PAS tewas.

Maka Parti Perikatan menubuhkan kerajaan baru yang diketuai Tan Sri Ibrahim Fikri pada November 1961.

Pengajaran Dari Perak

Ada sesetengah orang berpendirian: Pedulikan saja Istana, kita berada dalam negara dengan sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan, Apa  Istana boleh buat! Sah! Ini orang celupar tak tentu pasal, buta sejarah. Di Kedah dulupun, sesetengah orang yang buta ini sering marah-marah kepada pemimpin apabila situasi tertentu menghendaki istana dibenarkan melaksanakan fungsinya atau menghadkan fungsi kerajaan.

Kalau di Perak pun, istana dilihat berperanan besar, di Terengganu pula, kuasa dan pengaruh istana adalah lebih kuat dan besar daripada itu. Kalau di Perak Pegawai Perkhidmatan Awam membantu BN melaksanakan Kudeta atas kehendak BN yang menguasai Kerajaan Pusat, di Terengganu pula, reaksi istana akan menentukan sikap para pegawai perkhidmatan awamnya. Hubungan baik dengan istana jangan dikeruhkan. 

Kebijaksanaan PAS Pusat dan PAS Terengganu sedang diperhatikan oleh semua pihak yang berkepentingan ataupun sekadar berminat. Saya seperti mahu berkata, bila Ahmad Said dan kemnya diberi apa yang dimahukan oleh para pemimpin yang mengepalai UMNO, secara tradisinya, Terengganu akan kembali seperti biasa. 

Amat pelik untuk berharap Ahmad Said menelan ludahnya, mengharapkan dia menyertai kem yang dituduhnya Parti Ajaran Sesat tidak lama dulu. Rajuknya akan pulih segera, dia hanya membuat tawar menawar dengan majikannya sahaja. PAS kena tunggu PRU-14 untuk mengambil balik Terengganu kalau undi tak percaya didapati tidak akan menyebelahi kita sehari dua ini. Istana? Jangan lah lupaaa... walaupun ada orang akan berkata kita terlalu takut dengan feudalism...


Friday 9 May 2014

Menteri dan Pegawai Tinggi Agensi2 Getah.. Moga Bahagia Sentiasa Bersama Keluarga!

Dalam musim hujan ni, orang motong terpaksa memerah kudrat dua kali ganda. Hilanglah semua waktu bergembira bersama keluarga. Selepas motong selesai jam 12- 1 tengahari mereka laki bini akan balik ke rumah memasak untuk keluarga, makan apa saja yang ada di dapur. Suami pula menjemput- mengantar anak ke sekolah.

Selesai solat zohor, mereka ke kebun lagi, menjinjing baldi meletakkan ubat 'garam' ke setiap pot, supaya susu segera beku menjadi sekerap. Zaman dulu guna cuka, sekarang tidak lagi. Jika hujan turun sekitar jam 3 seperti hari ini, mereka akan basah lokoih (kuyup) dalam kebun, kerja membekukan getah perlu diteruskan juga. Jika tidak, susu bercampur air hujan akan memutih di permukaan tanah, kalau tidak hanyut lenyap bersama aliran air ke parit. Punah ranahlah kerja keras sejak subuh tadi.

Kalau kebun jauh dari rumah, mereka tidak balik lagi sehingga petang. Minyak motor perlu dijimatkan, untuk esok dan lusa. Berlabuhlah laki bini di perdu getah sambil mengibas nyamuk, hingga titisan susu di pancuran berhenti, sebelum ubat beku dititipkan. 


Anak-anak sekolah dikirimkan saja kepada jiran atau kawan. Di rumah, anak-anak yang belum mengerti itu diserahkan saja pada diri mereka sendiri, makanlah sisa nasi dan ikan masin semalam di bawah saji. Uruslah diri sementara  ibu ayah pulang menjelang petang. Jika tiada sisa semalam, menyanyilah perut anak-anak menunggu nasi mendidih malam nanti untuk mengalas perut dengan ikan tamban masin, cabai dan ulam dipetik dari semak di kebun.

Motong di kebun seluas 6 relong milik orang, dengan harga yang kian parah -RM1.70 sekilo, dapatlah habuan mereka sekeluarga RM213.55 sebulan! Saya ulangi kedaifan orang motong waktu ini...RM213.55 SEBULAN!!! Ada pemilik kebun yang pemurah, dicabut sedikit bahagiannya bersedekah kepada orang motong. Itupun jika dia punya sumber lain-  jika tidak, memiliki harta seluas itu tidak punya makna, apatah lagi yang tidak memiliki apa-apa.

Kak Na yang berhujan lokoih beberapa kali di kebun, demam sudah beberapa hari. Sejak itu, Abg Li seorang saja ke kebun, Kak Na tak dapat keluar rumah. Ke klinik berubat pun tidak mampu, hanya menelan panadol dan ubat 'cap tiga kaki' menunggu kebah! Demikian rutin orang motong menjalani hidup, menunggu fajar esok untuk ke kebun lagi.

Menteri mana, pegawai tinggi dari agensi apa, yang memahami situasi kedaifan ini? Menteri mana, pegawai tinggi agensi apa yang pernah melalui semua ini untuk dapat menjiwai peritnya hidup orang motong ketika ini. 

Masih bersisakah  titisan air mata mereka untuk bergenang, atau sisa air liur bercampur menu lazat di hotel untuk tersangkut di kerongkong mereka,  merenung ke lubuk hidup orang motong nun jauh terperosok di pinggir rimba! 

Tolong jangan ungkit waktu harga sekerap RM7 sekilo, kerana kami tidak pernah kaya sedikitpun dengan harga itu, kami tidak pernah sekalipun pergi melancong atau menjejak kaki ke Suria KLCC dengan duit sekerap waktu itu. Kami hanya pernah menikmati tomyam dengan ikan siakap masak 3 rasa, di restoren orang Pattani di Pekan Jeniang dua tahun lalu. Tidak lebih daripada itu! Hanya waktu itulah anak-anak kami bertukar baju seluar dari pasar malam. Kini semuanya lusuh semula.

Demikian kehidupan orang motong ketika ini, sekerap sekilo RM1.70, ikan temenung sekilo RM15. Anak-anak orang motong, waktu rehat di sekolah, mereka berlari ke sana ke mari, hingga loceng berbunyi... keletihan lebih mudah dilalui daripada perit menelan air liur kosong pahit kalau menjengok anak orang berduit di kantin.... 

..Sekerap aku pun tidak sempat beku hari ini....

Thursday 8 May 2014

Setahun BN Kembali Di Kedah: Ada Apa Untuk Rakyat?

Kata Dato' Mahfuz, BN Kedah di bawah DS Mukhriz ada 3B - Blur, Blind dan Blank

Menulis analisis ringkas tentang Kedah setahun pasca PRU13 memang sukar kerana 'tak ada apa' untuk dianalisa. Dari kaca mata rakyat yang prihatin, BN Kedah hambar dan statik! Pimpinan kerajaan negeri bagai mengurungkan diri dalam kerangka fasa-fasa yang mereka sendiri cipta, sekarang ini fasa baru 'berbulan madu'.

Seorang strategis UMNO dalam pentadbiran kerajaan pernah memberitahu saya, sekurang-kurangnya ada tiga fasa dalam stail pentadbiran politik UMNO/BN yang berjaya mengekalkan kuasanya selama 50 tahun di Kedah. Fasa pertama ialah melaksanakan tindakan-tindakan yang tidak popular, termasuk yang menimbulkan kemarahan dan kritikan rakyat. Tindakan penguatkuasaan peraturan baru, kenaan cukai dan bayaran baru, perobohan gerai dan bangunan, dasar dan polisi yang menekan rakyat, dilaksanakan dalam fasa ini.

Fasa kedua ialah fasa memperbaiki sebarang kerosakan, meredakan kemarahan, atau waktu untuk menjadi hero merungkai pertelingkahan. Paling tidak pun, dengan berdiam diri supaya kemarahan dan kritikan dapat dilupakan. Waktu pertengahan ini lazimnya pada tahun ke tiga dan empat selepas pilihanraya. 

Fasa terakhir ialah fasa gula-gula menjelang pilihanraya. Limpahkan rakyat dengan janji muluk-muluk dan pemberian manisan yang mengembirakan. Fasa terakhir inilah yang memenuhi ingatan dan perasaan rakyat ketika memangkah kertas undi. BR1M adalah contohnya.

KUIN dan Maahad Tahfiz: Satu kebal, satu lagi berjaya dibunuh

Saya masih ingat baris-baris ayat Almarhum Ustaz Azizan yang terbaring di katil KMC meminta pertolongan dua perkara sahaja kepada Dato' Mukhriz yang menggantikannya. Walaupun daripada parti yang berlawanan, atas dasar budaya tinggi seorang negarawan yang mencintai negeri dan rakyatnya, dia berharap KUIN dan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba diteruskan. 

Memang benar, itulah sasaran paling awal untuk dipunggah kepimpinan MB baru. Dua projek pendidikan ini jika dibiarkan akan mengubah lanskap sosio-politik Negeri Kedah. Rakyat marah dengan cubaan menjual Fakulti Perubatan kepada Kolej MAHSA dan pemindahan pelajar dari kampus induk Kuala Ketil balik ke Mergong. Pelajar KUIN berarak ke sana ke mari. Dewan kuliah menjadi sesak. Tenaga pakar yang dibawa masuk mengasaskan bidang-bidang baru KUIN mula angkat kaki meninggalkan Institusi yang sedang berkembang itu. Politik BN terlalu rakus, sanggup membunuh pendidikan dan prasarananya demi menghilangkan kesan kejayaan orang lain.

Cubaan mengosongkan Kampus Induk gagal. Kemasukan Rektor baru yang berpengalaman dalam selok belok pentadbiran universiti menamatkan keghairahan BN. Dia mengakui KUIN sudah berada di atas landasan yang benar untuk mencapai matlamat menjadi sebuah universiti penuh. Teruskan saja apa yang ada. KUIN yang disusun di zaman PAS/PR ternyata kebal, gagal dimatikan. Kegagalan itu menyebabkan BN serta merta melompat ke  fasa kedua- fasa memperbaiki kerosakan dan berdiam diri tentang KUIN supaya kemarahan rakyat reda dan kejahatan mereka dilupakan. Saya percaya, fasa tiga nanti akan ada gula-gula manis tentang KUIN.

Maahad Tahfiz Sains Pulau Tuba yang letakkan di bawah Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) berjaya dibunuh pada tahun pertama BN berkuasa semula. Walaupun bajet RM3 juta untuk fasa pertama sudah diluluskan dalam DUN, dan syarikat Seri Temin Development ( sebuah GLC) sudah memenangi tander pembinaan projek pusat pendidikan Islam bernilai RM9 juta itu, ketakutan politik mengatasi hasrat murni kerajaan sebelumnya. Kata mereka, Maahad Tahfiz itu nanti akan melebarkan pengaruh PAS ke Pulau Tuba, maka ia perlu dibatalkan. Terpadamlah sinar cahaya yang cuba menyuluh kesuraman di pulau itu. Kini isu pembatalan ini sunyi, dikurung dalam fasa kedua. Almarhum Ustaz Azizan mengharapkan dua program pendidikan untuk anak bangsanya ini diteruskan, berpesan sambil berbaring menahan derita sakitnya. Baringannya itu berlanjutan hingga ke hujung hayatnya, kerana dia tidak pernah bangun duduk, berdiri atau berjalan lagi selepas detik itu. Apakah rakyat mampu melupakan khianat BN kepada jiwa kependidikannya, dengan gula-gula di fasa 3 nanti?

Tukar Kereta

Kereta masih elok, berhabis duit untuk apa?

Isu pembelian kereta Mercedes Model S300 (SV221C) menggunakan nombor pendaftaran KBV 8, bagi menggantikan kereta yang digunakan oleh MB sebelumnya yang juga masih baru (KCX8) , telah menyerlahkan selera sebenar pemimpin BN. MB segera berdalih bahawa kereta baru itu untuk kegunaan YDP Agong di Langkawi selepas banyak pihak mendedahkan di laman sosial gambar kereta baru itu. Soalan kenapa mengunakan nombor pendaftaran KBV 8 yang diambil daripada kereta MB di zaman Dato Seri Mahdzir Khalid untuk kegunaan YDP Agong tidak dapat dijelaskan.Rakyat sudah maklum kenderaan DiRaja biasanya menggunakan plat warna kuning, tidak pernah pun dipamerkan nombor pendaftarannya. Selepas bersembunyi dibelakang istana, isu kereta menjadi senyap seketika. 

Selang dua bulan, kereta exco pula digantikan dengan Proton Perdana (Accord Perdana) baru, walaupun Toyota Camry yang sedia ada masih baik kondisinya. Untuk rekod, Camry itu dibeli pada 2011, selepas Proton Perdana yang digunakan sejak 2005 sudah tidak lagi ekonomik. Kenderaan itu sering rosak, termasuk meragam dalam perjalanan menghadiri program utama kerajaan.  Penggantian alat ganti memakan masa terlalu panjang, melebihi dua minggu, walaupun MB memanggil wakil Proton untuk merundingkan hal ini. 

Pembelian Camry dan Fortuner dibuat selepas tiga tahun (2008-2011) menggalas tugas memimpin kerajaan, dan setelah mengambilkira usia dan kondoisi kereta, bagi memastikan pergerakan anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan tidak tergendala dan bermasalah. Dari satu sudut lain, ia lebih menjimatkan perbelanjaan kerajaan, berbanding membaiki kerosakan kereta lama yang sudah uzur untuk pergerakan yang kerap dan perjalanan jauh.

Alasan MB untuk menghalalkan pemborosan ini ialah Camry dan Fortuner terpaksa dijual kerana bekas exco berhasrat membelinya. Kenapa Kerajaan Negeri tiba-tiba berubah menjadi kedai jualan kereta terpakai? Apakah kerajaan tidak mampu menolak hasrat bekas exco, atau tidak mampu menahan gelora nafsu citarasa para pemimpinnya? 

Tidak terkecuali pemimpin BN yang dihadiahkan pisisi penting di GLC, turut membeli kereta mewah. Antaranya seorang Adun senior dalam BN Kedah yang tidak diberi kerusi Exco, dihadiahkan kerusi Pengerusi Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan (KLPK), sebuah anak syarikat PKNK. Beliau mengarahkan syarikat membeli sebuah Range Rover baru berharga RM400 ribu untuk kegunaanya. Saya percaya selepas tiga tahun, dia akan memohon untuk membeli kereta itu daripada syarikat pada harga yang murah. Tercapailah hajatnya.

Kini, pada tahun pertama lagi, sebelum sebarang program untuk rakyat menampakkan hasilnya, pemimpin kerajaan sudah menyelesaikan sebahagian citarasa mewah yang selari dengan selera pribadi mereka. Mereka berkurung di fasa kedua untuk rakyat melupakannya.

Akujanji Tinggal Janji

Saya telah meneliti senarai Akijanji BN Kedah PRU13 setebal 18 mukasurat. Ia mengandungi ratusan janji muluk untuk memikat rakyat, sebahagiannya dicedok daripada program kerajaan PR sebelumnya, sebahagian lagi adalah program yang pembangunan yang sudah terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke10, 2011-2015 (RM-10). Tiada apa lahir dari perahan fikiran pemimpin BN Kedah.

Sepadan dengan Akujanji yang dicedok, tindakan pelaksanaannya juga terbantut. Semuanya menanti keputusan makmal transformasi, walaupun mereka sedang melangkah ke tahun kedua sebagai kerajaan. Pada 14 April 2014, dengan bangganya seorang Exco Kerajaan mengumumkan kerajaan BN sanggup hilang RM4 yang dikutip oleh 12 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi melaksanakan akujanjinya menghapuskan bayaran lesen penjaja.

Rupa-rupanya, tidak ia tidak semudah itu. Bayaran lesen penjaja terkandung dalam Seksyen 107 Akta 171, tidak boleh dihapuskan tanpa pindaan terhadap akta itu di Parlimen. Pengumuman Kerajaan Negeri sanggup hilang RM4 juta itu sebenarnya patut dibaca sebagai - kerajaan negeri meningkatkan perbelanjaannya sebanyak RM4 juta setahun kerana membayar harga lesen bagi pihak penjaja yang layak. Kelayakan untuk menikmati 'bantuan' ini juga terlalu ketat dan menyusahkan. Tidak semua penjaja akan menikmatinya. Ia tidak menjadi 'Nikmat untuk Semua', slogan PR yang sedang dihapuskan oleh BN.

Selang 10 hari selepas itu, pihak PBT menguatkuasakan pula bayaran 'lesen meja' bagi penjaja kecil sebanyak RM15 sebuah meja setiap bulan, deposit RM500 dan penjaja perlu memiliki insuran perlindungan awam bernilai RM100 ribu. Beban apakah yang sedang menimpa para penjaja ini dalam tahun pertama BN memerintah semula Kedah? 

Mengumumkan 'pelaksanaan' akujanji kononnya 'kerajaan hilang' RM4 juta setahun itu hanyalah salah satu cubaan untuk menyaingi langkah awal kerajaan PR 2008-2013 yang menurunkan kadar cukai tanah antara 25-75% yang mengakibatkan kerajaan waktu itu hilang hasil sebanyak RM50 juta setahun. Ia benar-benar dilaksanakan dan kekal hingga sekarang. Kerajaan masa itu tidak membuat bayaran melalui 'pintu belakang' kepada pejabat tanah untuk bermain wayang dengan rakyat seperti yang dibuat oleh BN dalam hal lesen penjaja ini.


Akujanji yang menarik juga pada musim harga getah menjunam teruk ini ialah mewujudkan bandaraya getah di Padang Terap. Saya sudah menulisnya di sanusimdnor.blogspot.com. Hingga kini, tiada apapun yang berlaku dengan akujanji itu, malah semua janji manis BN Kedah terbantut dipintu makmal trasformasi yang diwujudkan.

Sepanjang setahun ini, rakyat Kedah ternanti-nanti apakah yang mampu dilakukan oleh Kerajaan Negeri selain turut serta merasmikan program kerajaan pusat iaitu Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). 

Zipy dan Padi berkonflik

Tahun pertama BN Kedah ini ditutup dengan konflik besar, atara kepentingan pengeluaran padi dan pelancaran semula projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) di atas tanah sawah seluas 4300 ekar di Yan.

Pada 2007, satu pengambilan balik tanah telah diwartakan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Balik Tanah (1960), untuk membangunkan projek ini. Almarhum Ustaz Azizan selaku Adun Sungai Limau menentang keras pengambilan tanah sawah kerana bimbangkan kesannya terhadap sisioekonomi penduduk dan pengeluaran padi.

Pada hari pertama menjadi Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan membatalkan projek ini, dan mengarahkan syarikat yang mencadangkannya, Merapoh Resources Corporation (Merapoh) mengubah lokasinya ke dalam laut jika masih berminat meneruskannya. 

Projek itu diteruskan di tapak cadangan baru kemudiannya dinamakan Sungai Limau Hidrocarbon Hub (SULIH). Terselamatlah kawasan sawah paling subur dalam kawasan MADA seluas 4300 ekar. Waktu itu sedang berlaku krisis bekalan makanan seluruh dunia. Kerajaan PR turut menyekat sebarang  cadangan pembinaan bangunan perumahan atau komersil di atas tanah sawah padi untuk menjamin Food secuirity yang menjadi keutamaan kerajaan PR.


Pada 24 April lalu, DS Mukhriz Tun Mahadir telah menyampaikan ucapannya sempena Majlis Menandatangi Perjanjian Kerjasama antara Merapoh dan China Energy untuk meneruskan semula projek ZIPY di Yan. 

Agak mengejutkan projek tersebut kini membabitkan nama-nama besar seperti bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Dato’ Bistamam Ramli, selaku penasihat dan Pengerusi Merapoh. ZIPY adalah cadangan asal syarikat ini pada 2007, dia atas tanah sawah padi. Kini ia melibatkan taikon-taikon besar dalam politik pembolotan kekayaan negara.

Selang sepuluh hari, DS Mukhriz muncul pula di Kota Kuala Muda menggalas mesin menabur benih padi di tengah sawah, merasmikan pelancaran Estet padi di bawah kelolaan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). Di depan masyarakat pesawah, MB melahirkan kebimbangan kerana pengeluaran padi Kedah telah merosot dengan teruk, daripada 70% kepada 30% untuk bekalan beras negara. NCIA turut mendedahkan bahawa kerajaan pusat telah membelanjakan RM7.3 bilion membantu sektor padi di Kedah sejak 40 tahun lalu.

Saya percaya ZIPY melalui penglibatan tokoh-tokoh besar yang dilahirkan di zaman Tun Mahadir menjadi PM, akan tetap dilaksanakan di tapak cadangan asalnya. Saya juga percaya, kebimbangan tentang padi di Kota Kuala Muda itu hanyalah kesedaran palsu, menurut skrip ucapan yang disediakan oleh NCIA. Masakan tidak, projek estet padi menyediakan dana RM500 juta!

Dalam fasa pertama stail pemerintahan BN, hampir  semua program utama zaman PR untuk rakyat seperti Skim Kafalah, Maahad Tahfiz Sains, Bantuan IPTA, KUIN  dan seumpamanya sudah berjaya dibunuh ataupun dipadamkan. Penguatkuasaan peraturan baru juga telah mengambil tempat satu demi satu. Mereka sedang memasuki fasa kedua perlahan-lahan. 

Pembebasan pegawai tadbir dari cengkaman politik yang dilaksanakan oleh Ustaz Azizan pada minggu pertamanya sebagai MB, kini nampaknya sudah beransur hilang. Mereka nampaknya mulai diikat dan dikurung semula oleh pemimpin BN atas alasan transformasi dan pelaksanaan 'the new school of thought' dalam pentadbiran. 'Old school' warisan 100 tahun yang dipertahankan bermati-matian sebelum ini sudah 'outdated' dan terpaksa dilepaskan. Itulah harga kesetiaan.

Keutamaan kerajaan BN Kedah dalam tahun kedua ini adalah projek berskala besar untuk tokoh-tokoh besar. Program untuk rakyat, Akujanji dan transformasi akan diperam di makmal sepanjang fasa kedua.  Sehingga fasa ketiga (fasa gula-gula) menutup  tirai pasca PRU13, Kedah akan kekal hambar dan statik, pemimpinnya boleh bersuka ria dalam fasa baru mereka-  'berbulan madu'.

Harakah (Bil 1944) 9-11 Mei 2014

Monday 14 April 2014

Akujanji BN PRU13: Bandaraya Getah Atau 'Kena Getah'!

Akujanji BN Kedah PRU13: Bandaraya Getah Kota Putra Padang Terap.... Mana Dia?



Apa Maksud Bandar Getah (rubber city)? 
Yang sahihnya, bukanlah seluruh bandar itu dibina dengan getah, jalannya daripada getah, rumah kedainya daripada getah, super marketnya daripada getah. juga tandas awam, pasar, pejabat kerajaan, stesen bas, dewan, sekolah, universiti, surau, masjid dan periuk belanga, maupun LRT getah, monorel getah, pencakar langit getah dan jambatan getah! Bukan! Pasti bukan ini maksudnya Bandar Getah yang dijanjikan itu. Rubber City juga bukanlah 'raba Siti'!!
Saya rasa, bandar getah yang BN jnjikan itu ialah menjadikan Padang Terap sebuah kawasan yang pesat membangun dan maju sehingga mencapai tahap bandar - dengan adanya kemajuan yang pesat dalam sektor getah! Ataupun sekurang-kurang jadilah Padang Terap  'Bandar Bergetah!'


Apakah Ciri-ciri Bandar Getah?
Bukan sahaja ada banyak pokok getah di Padang Terap Bandar Getah itu, tapi akan ada kilang memproses getah, industri berasaskan getah seperti kilang tayar, kilang tilam, kilang kondom, kilang sarung tangan, kilang permainan kanak-kanak dan 'orang dewasa' dan macam-macam lagi- semuanya berasaskan getah, seperti dalam kepala pemimpin BN yang menabur janji  pilihanraya ke 13 itu.
Oleh kerana BN tidak menjelaskan apakah ciri-ciri Padang Terap yang akan menjadi bandar getah itu, tak ada sesiapapun selain dari pemimpin BN yang membuat janji itu tahu, apakah rupabentuk sebenar Padang Terap setelah berstatus bandar getah.
Ada apa di Padang Terap?
Di daerah itu sekarang memang ada banyak pokok getah dan orang motong!  Motor ronggeng belemoih  dan pick-up 'piang' ala-ala lori hantu mengangkut sekerap, banyak mundar mandir di jalan dan lorong.  Selain mereka, ada juga kilang gula dan ladang tebu yang semakin mengecil. Tebu untuk gula lebih banyak dieksport kerana lebih murah daripada ditanam sendiri. 
Ada pintu sempadan baru di Kota Putra, Padang Sanai yang menghubungkan Malaysia (Kedah) dengan Thailand, sudah boleh dilalui, tetapi belum wujud sebarang pekan seperti Danok, Padang Besar, Wang Kelian atau Betong pada masa ini. Kalaupun ada, hanya orang 'pelari' benih getah dan sekerap Malaysia-Thailand-Malaysia! 
Mengapa Padang Terap mahu di'Bandar- Getah'kan?

Ada apa dengan daerah itu hingga hendak dibandarkan bersandar kepada getah? Mungkin ada tanah ladang tebu yang luas saujana mata memandang, dan tanah-tanah baru puluhan ribu ekar (22 atau 32 ribu ekar) diberikan kepada TRADEWINDS (M) Sdn Bhd, syarikat milik konglamerat Syed Mokhtar Al-Bukhari, sejak zaman BN dulu lagi.
Kilang gula itupun milik Syed Mokhtar, bukan 'Gula Padang Terap' lagi, tapi gula Syed Mokhtar! Tanah-tanah ini mungkin akan ditanam dengan getah? 
TRADEWINDS memiliki  bank tanah seluas 151,850 hektar semuanya,  87,515 hektar di Sarawak, 11,302 hektar di Sabah, dan 53,039 hektar lagi di Semenanjung Malaysia. Sebahagiannya di Padang Terap. Tapi core bisnessnya ialah kelapa sawit!

Sewaktu proses memberikan tanah kepada Tradewinds zaman Syed Razak hingga zaman Tok Det, puluhan orang kampung yang memugar tanah dihalau dan dituduh menceroboh. Mereka meneroka hutan menanam getah dan dusun. Ada yang membina rumah dan membuka kampung, mencari tapak mendirikan kediaman membesarkan anak dan mencari sesuap rezeki. 

Sewaktu kerajaan bertukar pada 2008, proses milikan oleh Tradewinds sudah selesai, dan tak ada apa-apa boleh dibuat untuk mengembalikan tanah itu kepada peneroka kecil-kecilan orang kampung yang daif. Banyak usaha dan cubaan dibuat, tidak berjaya! Kecuali dengan membayar balik belanja puluhan juta syarikat itu.

Apa Nikmat Bandar Getah kepada Orang Kampung?

Kalau kita abaikan saja hal orang-orang kaya ini dengan khazanah melimpah ruah milik mereka, dan merenung kepada orang-orang kampung penoreh getah di Padang Terap, apakah faedah bandar getah dalam Akujanji BN Kedah itu kepada mereka?

Pada masa ini, harga sekerap ialah RM2.10 sekilo, dan ikan temenung dijual RM12- RM15 sekilo di Pasar Malam Lubuk Merbau. Dengan pendapatan sebulan RM300-500, apakah nasib mereka dalam bandar getah nanti?
Soalan yang lebih mustahak ialah, apakah nasib mereka sekarang? Anak-anak ke sekolah atau tidak? Anak beranak yang sakit mampu berubat di klinik atau harapkan jampi sahaja? Beras di rumah ada atau tidak? Mampukah meraka  meneruskan 'kehidupan' sehingga wujudnya bandar getah di depan mata.

Apakah mereka akan diambil bekerja di kilang sarung tangan, kilang kondom, kilang tayar, atau kilang proses sekerap menjadi SMR20? Apa pula syarat menjadi buruh atau operator di kilang, adakah sama dengan syarat menjadi penoreh? Tentu tidak!

Dengan harga sekerap yang makin menjunam, dengan kos kehidupan, pendidikan, minyak, pengangkutan dan kesihatan yang kian memuncak, apa makna bandar getah kepada orang kampung di sana?


Ada Dah Jadi?
Hari ini, tiada siapapun yang nampak rupa paras dan batang hidung bandar getah, selepas setahun Akujanji BN dilafazkan oleh pemimpin berbaju merah dan biru, sambil menjerit-jerit menjulang tangan dan meluruskan telunjuk ke atas.
Saya hanya ternampak pemimpin UMNO/BN dari Padang Terap tersenyum tersengih dalam surat khabar, Badrul Hisham berjaya menjadi Exco, Tok Li jadi Pegawai Khas PM dan Tok Det jadi  Timbalan Menteri. Cyber trooper yang kipas mereka siang malam meneruskan budaya fitnah, jadi tukang caci maki! Hidup tidak berubah pun!

Ada juga dua tiga orang 'pembawa beg' pemimpin dari Padang Terap melabun di wisma, bersembang deras di cafe dan restoren berbincang tentang projek dan 'masyuukk', tentang pemilihan dan kedudukan. Bandar getah tak pernah 'tercuit' atau terpacul pun dalam borak-borak pemimpin!

Kena Getah!

Saya rasa orang Padang Terap sebenarnya 'kena getah', nasib mereka dilantun-lantun macam bola getah, dan lidah pemimpin BN makin 'elastik', seolah-olah diperbuat daripada getah di kilang sekerap di pinggir 'bandar getah'! Bersiap untuk membuat janji baru pulaaaa...

Sebulan dua ini, malah sejak Julai 2013, sekerap sangat murah, orang motong serba susah, sengsara derita. Bukan lagi nak berbandar-bandar, nak teruskan berkampung pun susah! Pemimpin yang menjerit-jerit menjanjikan bandar getah dulu itu sepatah haram pun tak bersuara, berdehem pun tidak. Selop kera!

Ada usaha rakyat berhimpun bersuara menuntut kerajaan berbuat sesuatu, dia conteng pulak rumahnya sendiri untuk memalit warna hodoh kepada orang, cuba-cuba memancing pihak keselamatan gagalkan himpunan. Jadinya seperti pencuri menjerit Pencuri! Pencuri! Yang best lagi, dia ajak orang berYaHaNaNa dekar-dekat tu jugak!! Alahaiiii!!!
Sejak dijanjikan bandar getah kepada orang-orang di Padang Terap, ada bezakah dengan orang Baling, Sik, Merbok, Jerlun, Kubang Pasu, Sungai Petani, Kulim, Pendang, Langkawi, Yan, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah dan Padang Serai? Sama saja!

Saturday 5 April 2014

Deklarasi Baling 2014: Himpunan Derita Rakyat 2.0

Deklarasi Baling 2014 Sempena Himpunan Derita Rakyat 2.0

Empat puluh tahun lalu, bumi Baling ini telah memahat sejarah, membuka mata tentang keperitan derita rakyat, sengsara dihiris kemiskinan. 

Selepas empat dekad berlalu, tatkala kerajaan gah melaungkan slogan-slogan kejayaan, berbangga tentang pantasnya kemajuan dan pesatnya pembangunan, rakyat sebenarnya kian terhimpit dan tertekan. 

Derita rakyat makin parah dengan lonjakan kos sara hidup, peningkatan memuncak harga keperluan asas, bebanan kenaikan tarif elektrik dan bekalan air, saban tahun semakin berat.

Tidak memadai dengan pengurangan subsidi, rampasan royalti, kenaikan kos insuran, pengangkutan, perubatan dan pendidikan tinggi, rakyat dipaksa berkorban lagi dengan kemunculan GST.

Semua ini menambah sengsara, khususnya golongan penoreh dan pekebun kecil getah yang sedang terjerumus dalam kesukaran yang tiada kesudahan, akibat pendapatan mereka tidak lagi dapat menampung kos kehidupan harian;

Kesejahteraan rakyat terus merosot apabila harga komoditi getah di ladang  dibiarkan terus menjunam. Jurang  pendapatan makin melebar antara penoreh dan pekebun kecil dengan pengilang, pemborong, dan syarikat-syarikat milik agensi yang bertanggunjawab menguruskan sektor ini;

Tiada jaminan, tanpa rancangan pembelaan, manipulasi berleluasa, agensi dan syarikat menjadi super kaya, penoreh getah terus menerus sengsara.

MAKA, Peserta Himpunan Derita Rakyat  2.0, pada tanggal 5 April 2014, di Kupang, Baling Kedah Darul Aman, menegaskan bahawa:

1. Pembangunan Tanpa Kenaikan Kos.
Pembangunan negara tidak lagi berteraskan kenaikan kos sara hidup yang dipaksakan ke atas rakyat, sebaliknya wajib berasaskan pemimpin yang amanah, pengurusan bebas rasuah, peningkatan integriti, kecekapan agensi dan anti kebocoran dan keborosan.

2. Harga Lantai RM4.00/kg.
Penetapan harga lantai  komodoti getah di ladang pada kadar RM4 sekilogram harus dilaksanakan segera. Kadar ini wajar  kerana kos pengeluaran sebenar yang ditanggung oleh penoreh/pekebun kecil adalah sebanyak RM3.20 sekilogram. 

3. Caj Kilang Dikawal oleh Kerajaan.
Kos pengilangan getah yang terlalu tinggi tidak boleh ditanggung oleh pekebun kecil sepenuhnya, sebaliknya ditentukan dengan campurtangan kerajaan melalui pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang. Kadar maksima caj pengilang sewajarnya tidak melebihi RM1.00/kg, dikongsi bersama oleh pengilang dan pengeluar.

4. Sukatan DRC Secara Saintifik.
Dried Rubber Content (DRC) harus ditentukan secara saintifik. Lembaga Getah Malaysia (LGM) wajib menguatkuasakan penggunaan tolok penyukat DRC untuk mengelak manipulasi harga akibat penentuan kadar DRC berdasarkan andaian oleh peraih dan pengilang. 

5. Hentikan Pemotongan Cukai Ses.
Pemotongan cukai ses, yang mengakibatkan pekebun kehilangan sebahagian pendapatan mereka wajar ditamatkan. Kos penyelididikan dan tanaman semula getah tidak boleh dibebankan kepada pekebun kecil melalui cukai ses, sebaliknya dana untuk tujuan ini diperuntukan daripada sumber lain.

 6. Subsidi Tanaman Semula Getah.
Bantuan tanaman semula getah diberikan sebagai subsidi, seperti yang dinikmati oleh pesawah dan nelayan. Malahan subsidi telah lama dinikmati oleh banyak sektor lain termasuk sektor industri tenaga. 

7. Subsidi Baja.
Selaras dengan kepentingan industri berasaskan komoditi getah, dan sumbangan besar sektor ini kepada pembangunan rakyat dan negara Malaysia, kerajaan wajar memberikan subsidi baja selama 25 tahun kepada semua pekebun kecil bagi memastikan produktiviti pokok getah dapat dikekalkan selama ia dapat memberikan pulangan kepada pekebun kecil.

8. Penentuan Harga Tidak Dikawal Spenuhnya Oleh Pengilang.
Mekanisme penentuan harga SMR20 tidak lagi hanya bergantung kepada  tawaran harga pengilang-pengilang yang menganggotai Panel Penasihat Harga LGM, tetapi harus mengambiilkira kos dan kesan yang ditanggung oleh penoreh dan pekebun kecil.

9. Reformasi Agensi 
Agensi-agensi yang ditubuhkan untuk menguruskan industri getah dan membantu pekebun kecil dan penoreh harus dirombak, kembali berfungsi selari dengan matlamat penubuhannya. Agensi agensi kini telah dilihat lebih berorentasikan perniagaan dan keuntungan mereka sahaja. 

10. Rombakan Kepimpinan Pertubuhan Kebangsaan Pekebun Kecil Getah.
Pertubuhan dan persatuan yang mewakili pekebun dan penoreh tidak boleh dibiarkan menjadi lubuk meraih pengaruh, habuan dan kuasa politik, sehingga ia berubah menjadi wakil pihak industri dan agensi, daripada fungsi sebenar menyuarakan tuntutan pekebun kecil.


Dimeterai di Himpunan Derita Rakyat 2.0, Baling Kedah Darul Aman
5 April 2014 / 5 Jamadil Akhir 1435

Saturday 15 March 2014

Pengeluaran Komoditi Getah, Cukai Ses dan Siapa Yang Kaya?


Pengeluaran Getah dan cukai ses.


Selain menjadi komoditi utama eksport negara, yang menjadi teras ekonomi Malaysia sejak sekian lama, getah juga menyumbang pendapatan kepada agensi-agensi kerajaan. Setiap sekilo getah akan menyumbang cukai ses sebanyak 14 sen kepada kerajaan. 10 sen disalurkan kepada RISDA (tanam semula) dan 4 sen kepada LGM (penyelidikan). Agensi-agensi ini akan menggunakan dana terkumpul ini untuk berniaga semula dengan pekebun kecil dengan mewujudkan anak-anak syarikat yang menjalankan aktiviti membekalkan benih, baja, ternakan, pengangkutan, menubuhkan syarikat di sektor pembinaan, lanskap, insuran, pengurusan harta dan memiliki ladang mereka sendiri.

Pegawai dan kakitangan syarikat dan agensi menikmati pelbagai keistimewaan dan dibayar faedah dan gaji tetap bulanan yang tinggi. Siap dengan bonus lagiiii! Orang motong? Motong hari ini, esok lusa belum tentu dapat makan!

Berapa cukai ses sebulan? Setahun?

Pengeluaran getah asli pada Januari 2013 dicatat sebanyak 87,957 tan metrik, meningkat 11,694 tan metrik (+15.3%) daripada Disember 2012.

Perbandingan tahun atas tahun juga menunjukkan peningkatan sebanyak 2,798 tan metrik (+3.3%) . Sektor kebun kecil menyumbang sebanyak 93.1 peratus dari keseluruhan pengeluaran getah asli manakala sektor estet hanya 6.9 peratus.

Negeri yang mengeluarkan getah asli tertinggi di estet adalah Kedah (23.0%), diikuti Negeri Sembilan (20.1%) dan Perak (16.3%) (Jadual 14). Pekebun kecil menyumbang 93.1% estet 6.9% daripada keseluruhan keluaran getah.

Cukai Ses Januari 2013
Keluaran Januari  87,957 tan x 1000 (kg) x 0.14= RM 12,313,980 (juta) sebulan.

Cukai ses Bagi tahun 2013 
keluaran keseluruhan 845,000 tan  x 1000 (kg)  x 0.14sen = RM118,300,000 ( seratus lapan belas juta tiga ratus ringgit). Inilah jumlah cukai ses terkumpul bagi setahun.

Apa yang penoreh dan pekebun kecil dapat? 

Kadang-kadang tak melepasi belanja keperluan, tetapi terpaksa menjual getah dibawah kos pengeluaran. Yang pasti pekebun kecil telah mengkayakan puluhan syarikat dan Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai-pegawai di agensi.

Bantaun Tanam Semula? Bukankah Ini Satu Penipuan?

Bantuan Tanam Semula? Bukankah Ini Satu Penipuan?

Data RISDA berkaitan  pengeluaran hasil (kg) kebun getah milik pekebun kecil adalah seperti berikut:

1 hektar kebun mengeluarkan 100 kg sebulan, iaitu1200 kg setahun. Cukai Ses 10 sen sekilo x 1200kg = RM120 setahun. Hayat pokok getah ialah 25 tahun sebelum dibuat tanaman semula.
RM120 x 25 tahun = RM3000.

Mengikut RISDA, cukai ses yang dipotong selama 25 tahun yang dikatakan pengeluaran sebenar  pekebun kecil cuma RM3000. Maka kerajaan  melalui RISDA mendakwa telah membantu pekebun kecil apabila membayar bayaran tanam semula sebanyak RM9,230 sehektar - berupaya benih, baja dan bayaran kemajuan - yg dibayar berperingkat peringkat dalam tempoh  5 tahun.

Sebenarnya ia boleh dipertikaikan dengan kiraan yang munasabah seperti berikut:

Purata keluaran kebun ialah 400kg/hektar sebulan (1 hektar menyamai 3,475 relong) untuk 10-20 hari torehan mengambil kira faktor cuaca @ 4800 kg setahun. Ini bermakna, Cukai ses  yang diambil oleh RISDA ialah RM 480 ringgit setahun.

Sepanjang 25 tahun hayat pokok getah, potongan sebenar ses ialah RM480 x 25 = RM12,000. Mereka ambil RM12,000, selepas dilaburkan dalam berbagai perniagaan, dibayar balik hanya RM9,230. Wajarkah ini dipanggil BANTUAN?

Tanggungjawab Siapakah Ini? Nasib Orang Motong, Agensi Super Kaya dan Kementerian Lembap:

Industri Getah Tanggungjawab Siapa?

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC)
2. Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) 
3. Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa ( MITI) - kawal selia    perdagangan antarabangsa termasuk komoditi getah.
3. FELDA - Dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM)

Agensi-agensi di bawah Kementerian:

1. Lembaga Getah Malaysia (LGM) di bawah MPIC - ditubuhkan pada 1 Januari 1998, hasil gabungan Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Getah Malaysia (MRRDB) dan Lembaga Pasaran Getah Malaysia (MRELB) untuk meneruskan usaha memajukan serta membangunkan industri getah. Bertanggungjawab menggubal dasar dan pembangunan Industri. Pengerusi: Dato Wira Hj Ahmad bin Hamzah Ahli Parlimen BN Jasin, Melaka.

2. RISDA di bawah KKLW-  Pembimbing pekebun kecil, pembangunan penyelidikan dan tanam semula getah. Sebelum ini Pengerusinya oleh Tan Sri Rahim Thambi Chik, kini dipangku oleh Ketua Pengarah.

3. FELCRA Bhd (Di bawah KKLW)- Entiti perniagaan untuk penyatuan tanah, meningkatkan penyertaan, membangunkan ekonomi dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

4. Mardec- Agensi Pemasaran getah (telah dijual kepada pihak swasta).

Dengan segala peruntukan, kemudahan, keistimewaan, kekayaan dan kuasa di semua kementerian dan agensi, pada ketika ini bagaimana kehidupan penoreh dan pekebun kecil getah?

Siapa yang terlibat dalam isdustri getah?

1. Jumlah ketua keluarga pekebun kecil - 590,000 orang (U. Malaysia 29 Dis 2013)
(3.1 orang isi rumah x 590,000 = 1,829,000 orang.
2. Jumlah keluasan tanah pekebun kecil hetah 900,000 hektar

3. Jumlah pekebun kecil mengikut kaum:
Melayu 77%
Cina 20%
India 1%
Org Asli 0.4 %
Lain2 0.9%

4. Bajet Kerajaan Persekutuan 2014 kepada RISDA - 800 juta (Lapan Ratus Juta)

Siapa Paling Untung?

Setiap kilogram getah yang dijual di pasaran, 0.14 sen dipotong sebagai cukai ses. 10 sen kepada RISDA sebagai kumpulan wang untuk tanaman semula selepas 25 tahun, 4 sen dibayar kepada LGM untuk penyelidikan.


Selepas 25 tahun, ses terkumpul dari setiap kilogram keluaran getah akan dipulangkan kepada pekebun kecil mengikut saiz tanah kebun sebanyak RM9,230 sehektar - dibayar dalam bentuk baja, benih dan bayaran kemajuan selama tempoh lima tahun.

Sebenarnya, berapakah jumlah cukai ses terkumpul selama 25 tahun daripada sehektar kebun getah yang diambil daripada pekebun kecil? Berapakah pula keuntungan pihak RISDA dalam perniagaan membekal baja, benih dan lain-lain kepada pekebun kecil?



Sunday 9 March 2014

Nasib Orang Motong, Agensi Super Kaya dan Kementerian Lembab

Fakta-fakta tersembunyi dalam industri dan pasaran Getah SMR20. 

1. DRC (Dried Rubber Content) 50% yg dipotong daripada harga FOB adalah assumption (andaian) LGM  dan pemain industri/pengilang besar seperti Lee Rubber. Harga ladang (farmgate price) selepas pemotongan sebesar ini hanya tinggal sekitar RM2.20-2.40/kg.

2. Mesin DRC (tolok pengukur dried rubber content) yang dicipta oleh LGM  tidak dikomersilkan a.k.a disimpan!. Di pasaran, DRC ditentukan oleh peraih dan pengilang secara andaian mata kasar (assumption).

3. Di sesetengah negara lain, DRC ditentukan  guna makmal...tetapi mengambil masa 4-5 hari. Bagi pekebun kecil di negara kita yang 'menoreh hari ini untuk makan esok'- yg perlukan duit harian-  ia tidak dapat dilakukan.

4. LGM ada kuasa untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang kecil bagi menyelaraskan kos memproses getah natural rubber (NR) di kilang. Kerajaan ada hak untuk campurtangan. Persatuan pengilang dikuasai oleh taiko besar pengilang industri getah seperti Lee Rubber Selain itu ialah Fong Keong Rubber dan sime tyre. 

5. Agensi agensi awam/GLC seperti Felcra, Risda dan Felda kalau bergabung dalam industri pengeluaran dan pemrosesan getah, mereka mampu  mengatasi Lee Rubber, tetapi memilih untuk menyerah. Agensi pemasaran yang ditubuhkan kerajaan, MARDEC kini telah dijual kepada tokoh perniagaan Syed Mokhtar AlBukhary

6. Harga lantai RM4 perlu laksanakan dengan menstabilkan harga FOB. Ia tidak boleh kurang daripada RM10/ kg. Kerajaan perlu wujudkan dana atau apa saja kaedah lain untuk stabilkan FOB pada kadar ini.

7. Kemeterian Perladangan Perindustrian & Komuditi (MPIC) ada LGM yang gubal dasar-dasar getah. Penyelidikan di LGM tidak membantu pekebun kecil, tetapi memberi kelebihan kepada pengeluar besar / estet.  

8. Risda dan Felcra berubah sepenuhnya menjadi agensi perniagaan yang mengutamakan keuntungan syarikat-syarikat milik agensi itu.

9. Dasar kerajaan sekarang ialah kos untuk memproses getah mesti ditanggung oleh pengeluar ( pekebun kecil/penoreh). Dasar kerajaan ini mesti diubah, paling tidakpun ditanggung bersama oleh pengeluar, pengilang dan peniaga.

Kos sebenar untuk pengeluaran getah sekerap bg setiap kilo ialah RM3.20 meliputi kos:

A. Baja
B. Racun
C. Upah menebas/mencuci
D. Upah2 lain.

The sum of all losses

Rumusan kerugian ketara terkumpul pekebun kecil akibat ketirisan sistem tadbir urus industri getah negara seperti berikut:

1. Manipulasi harga di peringkatt kilang akibat kos proses/caj kilang = purata $0.30/kg (katakan kos sebenar ialah RM0.60-1.10/kg, tetapi pemotongan dibuat RM1.40/kg

2. Manipulasi harga peringkat dealer akibat ketiadaan tolok DRC = $0.30/kg

3. Manipulasi harga oleh rantaian dealer =$0.20/kg

Jumlah kadar kerugian ketara pekebun =$$0.80/kg

Kerugian/ kehilangan ini tidak termasuk kerugian operasi akibat kejatuhan harga getah dunia:- (harga jualan semasa/harga ladang/farmgate-kos pengeluaran)-ie. $2.45-$3.20= -$0.95/kg
SUM OF ALL LOSS= -$1.75/kg

Pandangan kami, kos proses patut ditanggung separuh separuh antara pengilang dan pengeluar. Kuasa utk tentukan kos proses ialah pengilang, pekebun tak tahu apakah kos sebenar.

kerugian tidak ketara spt berikut
1. ketidakstabilan indeks harga pasaran dunia
2. manipulasi dacing
3. manipulasi drc
4. manipulasi susut air
5. alasan faktor turun-naik bahan api

Tuntutan yang munasabah

1. Harga lantai RM4/kg (tolak kos RM3.20, penoreh hanya dapat RM0.80/kg).

2. Penstabilan FOB pada kadar RM10/kg - dengan itu, farmgate price ( harga ladang) akan berada pada kadar RM4/kg.

3. Kos memproses ditanggung bersama antara pengilang peniaga dan pengeluar, kos memproses maksima yang boleh diterima /munasabah ialah RM1.00/kg (kini antara RM1.40-2.30).

4. DRC ditentukan secara saintifik, LGM perlu mengkormersialkan tolok penyukat DRC yang telah dicipta daripada wang yg diambil atas alasan R&D drpd pekebun kecil (0.40 sen/kg).

5. Cukai ses yang dipotong daripada pekebun kecil perlu dikira semula berdasarkan pengeluaran semasa. Pemulangan patut dibuat dengan kiraan yg munasabah. 

Perihal Orang Motong, Agensi Super Kaya dan Kementerian Lembab

Demonstrasi Baling 2.0 bakal menyusul...

ROSLINDA HASHIM (Sinar Harian)

ALOR SETAR - Pas Kedah akan mengadakan himpunan 40 tahun Demonstrasi Baling 1974 pada 5 April depan bagi membela nasib penoreh-penoreh gerah yang sedang berdepan kemelut penurunan harga getah.
            Himpunan yang juga dikenali Demonstrasi Baling 2.0 itu turut mendapat kerjasama beberapa NGO, serta aktivis politik dan tani seluruh negara.
            Ketua Penerangannya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perhimpunan di Baling itu adalah bagi menuntut kenaikan harga getah berikutan kejatuhan teruk harga komoditi utama negara, apabila perkara itu seolah dipandang sepi kerajaan, biarpun keluhan penoreh sudah diutarakan.
            “Sudah beberapa bulan perkara ini dibangkitkan, namun masih tiada tindakan. Jika dibiar berlarutan, apakah nasib pekebun kecil yang majoritinya golongan miskin tegar,” katanya.
             Menurutnya, selain memperingati demonstrasi bersejarah petani dan penoreh getah di Baling pada 1974 yang digerakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau masih melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, ia sebagai usaha mendesak kerajaan menangani segera isu terbabit.
            “Kejatuhan harga getah yang menjunam kebelakangan ini menyebabkan ada anak penoreh getah di seluruh negara terpaksa ke sekolah tanpa membawa duit belanja dan mengikat perut. Cuaca kemarau yang melanda negara menyukarkan lagi keadaan kerana susu getah berkurangan,” katanya.
            Berikutan itu, katanya, Pas Kedah melalui Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar pernah mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan harga lantai untuk mengatasi harga getah yang tidak menentu.
            “Antara cadangan harga lantai getah pada kadar RM4 sekilogram berbanding sekarang serendah RM1.90 sekilogram di sesetengah tempat. Cadangan ini relevan kerana selepas ditolak kos pengeluaran RM3.20/kg, penoreh hanya dapat RM0.80/kg,” katanya.
            Muhammad Sanusi berkata, beberapa tuntutan yang perlu diberi perhatian termasuk, penstabilan Free On Board (FOB) pada kadar RM10/kg, bagi membolehkan harga ladang berada pada kadar RM4/kg.

            “FOB bermaksud, harga yang dikemukakan hanyalah sehingga pelabuhan atau gudang di negara yang kita ingin import barangan itu. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi perlu main peranan dalam perkara ini,” katanya.

            Menurutnya, cadangan lain ialah kos memproses di kilang-kilang ditanggung bersama antara pengilang dan pemain industri serta pengeluar, di mana kos memproses maksima yang munasabah ialah RM1.00/kg (kini antara RM1.40-2.30). “Lembaga Getah Malaysia (LGM) perlu mengkomersialkan tolok penyukat DRC yang telah dicipta daripada wang yang diambil daripada pekebun kecil atas alasan R&D (sekitar 4 sen/kg). Undang-undang kecil perlu diwujudkan untuk menjamin DRC tidak ditentukan secara andaian mata kasar sahaja,” katanya.

Tambahnya, cukai ses yang dipotong daripada pekebun kecil (10 sen/kg kepada Risda dan 4 sen/kg kepada LGM) perlu dinilai semula berdasarkan pengeluaran semasa. “Pemulangan sewaktu penanaman semula patut dibuat dengan kiraan lebih munasabah,” katanya.

Muhammad Sanusi turut menempelak LGM dan Risda serta anak syarikat milik agensi terbabit yang tidak memberi fokus kepada masalah pekebun kecil/penoreh, sebaliknya hanya bertumpu pada strategi menjana keuntungan syarikat. “BN Kedah dalam akujanji akan wujudkan bandaraya getah di Padang Terap. Apa manfaatnya jika ia wujud namun harga komoditi tetap rendah, kerana rakyat tetap merana,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Pas dan beberapa NGO tani mengadakan perhimpunan di Baling, Padang Terap dan Pendang, iaitu kawasan yang ramai pekebun kecil getah, bagi menuntut penstabilan harga getah.
Ketua Pemuda Pas, Suhaizat Kaiat yang turut serta dalam demonstrasi di Padang Terap, baru-baru ini turut mendesak kerajaan mengambil tindakan segera menyelesaikan isu ini.
CAPTION:
MUHAMMAD SANUSI

Sunday 2 March 2014

Perihal Harga Sekerap, Orang Motong, Agensi Superkaya dan Kementerian Lembab...




Perihal Getah Sekerap, orang motong, agensi superkaya dan kementerian lembab...

Senario 1


Pada waktu ini, orang motong (penoreh) dan tuan kebun (pekebun kecil getah) tidak mengeluh sendirian. Turut melengung ialah peniaga pasar malam, penjaja, pekedai runcit dan peraih sekerap (SMR20). Turut terbabit menahan lapar di sekolah dan mencipta berbagai bagai alasan  dengan cikgu-cikgu yang meminta macam-macam bayaran ialah anak- anak penoreh yang menitik air liur di kantin dan tebal mukanya di kelas.

Dalam situasi yang semakin panjang ini, harga bahan keperluan asas tidak menunjukkan tanda akan turun, malah makin memanjat tangga menjauhi kemampuan orang kampung. Ikan temenung di pasar malam Beris Jaya, Rabu lalu mencecah RM12 sekilo, minggu sebelumnya RM10, sebelumnya tiada seekor temenung pun dijual di semua 'kaunter'. Perit dengan harga sebelumnya RM15 sekilo, peniaga pun bimbang temenung pecah perut di tekan-tekan tapi tak dibeli.

Aku sampai jam 9.15 malam, peniaga sudahpun melipat meja dan payung. "Barang habih dah ka bang?" Aku cuma bertanya. "Malam ni bawak sikit jaa..orang tak ramei, kalau ramei pun, dema lalu saja , tapi tak beli".

Pasar malam Beris Jaya antara yang terbesar di Sik, selalunya jam 11:00 malam, barulah pengunjung susut. Minggu lepas aku singgah jam 10 malam, hanya 'kaunter' ikan saja yang tinggal. Ikan temenung lemak RM10 sekilo, aku ambil beberapa ekor penuh seraga kecil. Ikan kedera sekilo, sedap kalau digoreng. Boleh makan banyak ekor sekali dengan sisiknya. Tiba-tiba terliur kepala ikan nyok-nyok untuk digulai, saya ambil seketul dibelah dua. Semuanya Rm45 ringgit, aku tergamam, terus balik.

Minggu ini kena beli ayam dan ikan juga, kalau boleh untuk stok seminggu. Modal dalam poket ada RM70 pemberian seorang cikgu yang menjadi bini tersayang. Dengan modal sebanyak itu, hanya mampu beli ikan temenung sekilo, seekor ayam, secekak sotong, sepapan telur dan seraga sayur. Boleh tahan dua tiga hari saja kalau banyak ini.....Lepas beli apam balik dua keping, aku meraba kepingan dalam poket hanya tinggal beberapa keping saja, lembik! Tentu duit seringgit. Ini untuk anak-anak ke sekolah esok!

Dalam langkah ke moto di tepi jalan, berselisih dengan seorang kenalan lama. "Mu beli pa malam ni?" Aku menyapa. "Ni dok pakai topi ni..satni ada polis lalu dok kacau suruh pakai topi! Lama dah dok mari sini, tak besa polis dok kaco, pakai baju biasa pulak tu!" Dia merungut keras.

Aku sengaja merenung ke dalam bakul motornya. Kosong! "Mu baru sape ka"? Saja nak bertanya. " Dak eyy! Nak kelek dah nii, dok perati polis satni dok tang mana tak thu!" Katanya sambil matanya melilau, seperti tak mahu memandang aku. "Dah nak kelek buat pa lagi ikan tak beli, cari bini tak jamu nasik!" Aku bergurau seperti selalu. Dia memandang telur dan sayur yang tersangkut di handle motor aku, dengan pandangan "semacamm". "Ambo polis ni tak dak tepat leng dah ka nak takap orang!" Dia merungut lagi pasal polis.

"Jong aku nak kelek lu Nusi oo... Aku saja mari yaa, saja tengok-tengok barang. Sekerap tak dan jual lagi, hat jual dua hari sudah beda budak sekolah yaa.." Dia terus melintas jalan, membuat pusingan 'U' dan memecut.

Aku tertunduk sambil memutar kunci motosikal. Aduhh! Silap dah aku bertanya tadi. Patutlah dia mengajak aku bercakap pasal polis, rupanya cuba mengelak, dia tak beli apa-apa untuk dibawa pulang. Anak-anaknya makan apa malam ini? Dalam perjalanan balik itu, fikiran bersimpang siur tentang keadaan orang motong dan harga getah sekerap. Dia mewakili senario semasa kelompok orang motong. Timbul rasa seperti mahu berpatah balik memberi telur separuh papan kepadanya, atau setengah kilo ikan temenung, tapi aku tak pasti yang mana satu rumahnya diantara 600 rumah dalam Beris Jaya itu. Allah! Berapa puluh berapa ratus orang yang ke pasar malam tadi yang sepertinya? Patut lah peniaga lipat meja awal malam ni....

Ini cuma satu kisah diantara jutaan kisah waktu ini... Sudah berlarutan sejak hujan mencurah bulan Julai 2013 hingga hari ini 2 Mac 2014....

bersambunggggg!