Tuesday 13 May 2014

Peralihan Kuasa Di Terengganu? Perhatikan Juga Reaksi Pentadbiran Awamnya.

Sukar juga melihat krisis Terengganu sekarang ini dari semua sudut, selain peristiwa bersejarah di Perak dan pengaruh luar lingkaran politik yang akan memberi kesan besar. Tulisan ini mungkin tidak memberi nilai tambah kepada kepada pemimpin atau penganalisa politik, tetapi sistem yang 'tidak bertulis' (unwritten) atau yang sudah 'dipadam' (deleted) mungkin ada pengaruh.

Peralihan Kuasa Di Terengganu: Perhatikan Juga Reaksi Pentadbiran Awamnya.

Sejarah sesebuah negeri sering bergolek atas roda sejarahnya sahaja. Sukar sekali aplikasi yang berhasil di Negeri A dapat diulang di Negeri B. Dalam konteks Terangganu yang dilanda krisis baru, kaedah Perak 2009 tidak mungkin laku, kalaupun ia menjadi opsyen dan berlegar di fikiran pemerhati dan orang politik.

Terangganu berdiri atas Undang-Undang Bagi Diri Negeri Terengganu, seperti juga Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang mendirikan Perak atau Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah yang mendirikan Kedah, ia saling berbeza.

PAS Terengganu telah memilih untuk tidak terjebak dalam perangkap  yang pernah di pasang di Perak, walaupun situasi kerajaan-pembangkang sekarang berbeza. PAS telah memilih tidak akan mengulangi Kudeta BN Di Perak, sekalipun 3 Adun bebas itu menyebelahi pembangkang. Ini kebijaksanaan dan kematangan politik PAS.

Tindakan Ahmad Said dan dua lagi Adun itu adalah tindakan yang wajib dibaca sebagai - Sedang meletakkan harga kerusi mereka kepada satu pembeli sahaja, bukan di pasaran terbuka. PAS jangan tergelojoh bertanya harga. 

Apatah lagi hari ini, bila 3 Adun Bebas itu telah mengaku bahawa tetap menyokong kerajaan Barisan Nasional, mustahil boleh berlaku peralihan kuasa dengan mengadap Sultan mohon pelantikan MB dan kerajaan baru. Mustahil!

Menjadi Adun Bebas yang pelik!

Ini juga sangat pelik! Mutakhir ini, belum ada Adun atau MP yang pernah menyeberang jambatan ke pulau bebas, menyokong kerajaan yang dibentuk oleh parti yang ditinggalkan. Lihat saja Zulkifli Noordin, Zaharin Hashim, Radzi Salleh, Gobalakrishnan, Tan Wei Tsu, atau lihat Fairus Khairuddin bekas TKM Pulau Pinang yang diarah mengosongkan kerusinya. Sama ada mereka kecewa atau menerima tawaran habuan atau kedudukan, mereka tidak sesekali menyokong PR yang telah diceraikan. Semuanya menendang perut yang telah mengandungkan mereka. 

Dalam sejarah politik Malaysia moden, hanya dua orang saja yang diarahkan mengosongkan kerusi atau jawatan,  tetap meneruskan sokongan kepada partinya. V Arumugam (Adun Bukit Selambau - Exco Kedah) atas kes pribadinya, memberi laluan kepada S. Manikumar dan Lee Chin Cheh, Adun Kajang yang memberi laluan kepada Anwar-Azizah. Ini pun kes pelik!

Dalam kes seperti ini, pengurusannya sangatlah halus, tetapi berat dan membebankan. Tanpa sebarang tawaran harta dan kedudukan,  melalui pengalaman kes Bukit Selambau, saya tahu kesanggupan luar biasa yang dimilikinya. Namun, kerumitan menguruskannya juga luar biasa. Melepasi ke-luarbiasa-an inilah membolehkan mereka kekal tidak menentang. 

Terengganu adalah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Sejarah ini penting, sama seperti Kedah, tidak sama dengan Perak atau Selangor. Johor, Terengganu, Kelantan dan Kedah berkongsi beberapa ciri yang sama atas sejarah ini. Negeri-negeri ini memiliki sistem dan Pegawai Perkhidmatan Awam mereka sendiri, satu ciri penting untuk dipertimbangkan dalam sebarang tindakan politik. 

Kedah ada KCS, Kelantan KNCS, Terengganu TCS dan Johor ada JCS. Hal ini berkembar dengan kuasa dan pengaruh Sultan pemerintah, sebagai ketua negeri. Sejarah panjang Kesultanan dan perkhidmatan awam di Negeri-negeri Tidak Bersekutu  terlalu penting untuk diabaikan dalam mempertegaskan teori dan praktis pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi. Ia mungkin tidak berlaku walaupun perlembagaan menghendakinya.

Hubungan garis putus-putus dalam carta sistem perkhidmatan awam negeri-negeri ini, dalam kes tertentu lebih kuat daripada garisan bersambung, tebal lagi terang malah dikehendaki oleh undang-undang yang diterima pakai.

Ada ketikanya, dalam bab mentafsirkan beberapa perkara dalam Undang-Undang Tubuh Negeri, tafsiran Setiausaha Kerajaan Negeri dengan latar belakang Pengurusan Awam, lebih berautoriti, lebih sah daripada tafsiran Penasihat Undang-undang Negeri (LA) yang berlatar belakang undang-undang, bertugas di bawah bumbung Jabatan Peguam Negara. Itulah yang telah terjadi! Kenapa? Adakah LA terkhilaf? Tidak! Tiada khilaf! Habis? Jawab lah sendiri!

Negeri-negeri Melayu Bersekutu seperti Perak dan Selangor memiliki sistem Pentadbiran awam yang dikawal oleh Kerajaan Persekutuan melalui JPA, 
walaupun dalam sektor yang terletak dalam senarai negeri seperti pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah. Pegawai-pegawainya dilantik daripada kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). Mereka boleh bertukar ke Sabah, Negeri Sembilan atau Perlis, ke jabatan apapun menurut ketentuan JPA. 

Kudeta di Perak dipermudahkan prosesnya dengan penglibatan dan kerjasama penjawat awam, seperti peranan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada waktu itu. Lihat sahaja mereka mengusung speaker keluar dewan dan mengepung pintunya. 

Sebelum PRU-14, PAS Terengganu hanya ada satu opsyen - Membawa undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri. Kerajaan PAS Terengganu pernah tumbang melalui jalan ini, dan boleh mengulanginya kepada BN pula. Adakah akan mendapat majoriti bila diundi. Itu tidak penting! 

Melalui undi tidak percaya dalam DUN, BN akan mendapat satu undi tambahan iaitu undi Speaker. Di luar dewan dalam kaedah biasa, kerusi dan undi speaker tiada makna apa-apa.

Sejarah Undi Tak Percaya di Terengganu.

Dalam Pilihan raya umum Malaya 1959, DUN Terengganu dimenangi oleh PAS dengan majoriti kecil. PAS mendapat 13 kerusi, Perikatan/UMNO 7 kerusi dan Parti Negara (PN) 4 kerusi. Pas berjaya memujuk Adun PN Langkap (Ismail Abbas) menyokong mereka. Umno pula berusaha mendapat sokongan 3 lagi Adun PN.

Pada 24 Julai 1961 satu undi tidak percaya terhadap kerajaan PAS dibawa oleh seorang Adun PN Bukit Besar, Mohamad Abd Rahman. Undi tersebut gagal kerana PAS mendapat (12 undi) Umno + PN (11 undi). Seorang wakil Pas berkecuali iaitu Ahmad Azam Napiah. Ahmad Azam kecewa kerana tidak diberi jawatan Menteri Besar Terengganu atau pun Speaker (atas halangan Undang -Undang Bagi Diri Terengganu kerana beliau berasal dari Perak bukan anak jati Terengganu). Beliau kemudiannya mengisytihar sebagai Adun Bebas.

Kegawatan DUN Terengganu berlarutan apabila UMNO berjaya membeli dua Adun PAS - Mohamad Ismail dan Husin Jusoh. Kemudian, UMNO juga dapat membeli 3 Adun PN apabila mereka bertemu Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur. Adun PN yang terbabit adalah Wan Daud Mohamad (Ladang), Mohamad Abd Rahman (Bukit Besar) dan Haji Mutalib Salleh (Batu Buruk). Keadaan tersebut membawa kepada undi tidak percaya kali kedua dibawa dan akhirnya kerajaan PAS tewas.

Maka Parti Perikatan menubuhkan kerajaan baru yang diketuai Tan Sri Ibrahim Fikri pada November 1961.

Pengajaran Dari Perak

Ada sesetengah orang berpendirian: Pedulikan saja Istana, kita berada dalam negara dengan sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan, Apa  Istana boleh buat! Sah! Ini orang celupar tak tentu pasal, buta sejarah. Di Kedah dulupun, sesetengah orang yang buta ini sering marah-marah kepada pemimpin apabila situasi tertentu menghendaki istana dibenarkan melaksanakan fungsinya atau menghadkan fungsi kerajaan.

Kalau di Perak pun, istana dilihat berperanan besar, di Terengganu pula, kuasa dan pengaruh istana adalah lebih kuat dan besar daripada itu. Kalau di Perak Pegawai Perkhidmatan Awam membantu BN melaksanakan Kudeta atas kehendak BN yang menguasai Kerajaan Pusat, di Terengganu pula, reaksi istana akan menentukan sikap para pegawai perkhidmatan awamnya. Hubungan baik dengan istana jangan dikeruhkan. 

Kebijaksanaan PAS Pusat dan PAS Terengganu sedang diperhatikan oleh semua pihak yang berkepentingan ataupun sekadar berminat. Saya seperti mahu berkata, bila Ahmad Said dan kemnya diberi apa yang dimahukan oleh para pemimpin yang mengepalai UMNO, secara tradisinya, Terengganu akan kembali seperti biasa. 

Amat pelik untuk berharap Ahmad Said menelan ludahnya, mengharapkan dia menyertai kem yang dituduhnya Parti Ajaran Sesat tidak lama dulu. Rajuknya akan pulih segera, dia hanya membuat tawar menawar dengan majikannya sahaja. PAS kena tunggu PRU-14 untuk mengambil balik Terengganu kalau undi tak percaya didapati tidak akan menyebelahi kita sehari dua ini. Istana? Jangan lah lupaaa... walaupun ada orang akan berkata kita terlalu takut dengan feudalism...


Friday 9 May 2014

Menteri dan Pegawai Tinggi Agensi2 Getah.. Moga Bahagia Sentiasa Bersama Keluarga!

Dalam musim hujan ni, orang motong terpaksa memerah kudrat dua kali ganda. Hilanglah semua waktu bergembira bersama keluarga. Selepas motong selesai jam 12- 1 tengahari mereka laki bini akan balik ke rumah memasak untuk keluarga, makan apa saja yang ada di dapur. Suami pula menjemput- mengantar anak ke sekolah.

Selesai solat zohor, mereka ke kebun lagi, menjinjing baldi meletakkan ubat 'garam' ke setiap pot, supaya susu segera beku menjadi sekerap. Zaman dulu guna cuka, sekarang tidak lagi. Jika hujan turun sekitar jam 3 seperti hari ini, mereka akan basah lokoih (kuyup) dalam kebun, kerja membekukan getah perlu diteruskan juga. Jika tidak, susu bercampur air hujan akan memutih di permukaan tanah, kalau tidak hanyut lenyap bersama aliran air ke parit. Punah ranahlah kerja keras sejak subuh tadi.

Kalau kebun jauh dari rumah, mereka tidak balik lagi sehingga petang. Minyak motor perlu dijimatkan, untuk esok dan lusa. Berlabuhlah laki bini di perdu getah sambil mengibas nyamuk, hingga titisan susu di pancuran berhenti, sebelum ubat beku dititipkan. 


Anak-anak sekolah dikirimkan saja kepada jiran atau kawan. Di rumah, anak-anak yang belum mengerti itu diserahkan saja pada diri mereka sendiri, makanlah sisa nasi dan ikan masin semalam di bawah saji. Uruslah diri sementara  ibu ayah pulang menjelang petang. Jika tiada sisa semalam, menyanyilah perut anak-anak menunggu nasi mendidih malam nanti untuk mengalas perut dengan ikan tamban masin, cabai dan ulam dipetik dari semak di kebun.

Motong di kebun seluas 6 relong milik orang, dengan harga yang kian parah -RM1.70 sekilo, dapatlah habuan mereka sekeluarga RM213.55 sebulan! Saya ulangi kedaifan orang motong waktu ini...RM213.55 SEBULAN!!! Ada pemilik kebun yang pemurah, dicabut sedikit bahagiannya bersedekah kepada orang motong. Itupun jika dia punya sumber lain-  jika tidak, memiliki harta seluas itu tidak punya makna, apatah lagi yang tidak memiliki apa-apa.

Kak Na yang berhujan lokoih beberapa kali di kebun, demam sudah beberapa hari. Sejak itu, Abg Li seorang saja ke kebun, Kak Na tak dapat keluar rumah. Ke klinik berubat pun tidak mampu, hanya menelan panadol dan ubat 'cap tiga kaki' menunggu kebah! Demikian rutin orang motong menjalani hidup, menunggu fajar esok untuk ke kebun lagi.

Menteri mana, pegawai tinggi dari agensi apa, yang memahami situasi kedaifan ini? Menteri mana, pegawai tinggi agensi apa yang pernah melalui semua ini untuk dapat menjiwai peritnya hidup orang motong ketika ini. 

Masih bersisakah  titisan air mata mereka untuk bergenang, atau sisa air liur bercampur menu lazat di hotel untuk tersangkut di kerongkong mereka,  merenung ke lubuk hidup orang motong nun jauh terperosok di pinggir rimba! 

Tolong jangan ungkit waktu harga sekerap RM7 sekilo, kerana kami tidak pernah kaya sedikitpun dengan harga itu, kami tidak pernah sekalipun pergi melancong atau menjejak kaki ke Suria KLCC dengan duit sekerap waktu itu. Kami hanya pernah menikmati tomyam dengan ikan siakap masak 3 rasa, di restoren orang Pattani di Pekan Jeniang dua tahun lalu. Tidak lebih daripada itu! Hanya waktu itulah anak-anak kami bertukar baju seluar dari pasar malam. Kini semuanya lusuh semula.

Demikian kehidupan orang motong ketika ini, sekerap sekilo RM1.70, ikan temenung sekilo RM15. Anak-anak orang motong, waktu rehat di sekolah, mereka berlari ke sana ke mari, hingga loceng berbunyi... keletihan lebih mudah dilalui daripada perit menelan air liur kosong pahit kalau menjengok anak orang berduit di kantin.... 

..Sekerap aku pun tidak sempat beku hari ini....

Thursday 8 May 2014

Setahun BN Kembali Di Kedah: Ada Apa Untuk Rakyat?

Kata Dato' Mahfuz, BN Kedah di bawah DS Mukhriz ada 3B - Blur, Blind dan Blank

Menulis analisis ringkas tentang Kedah setahun pasca PRU13 memang sukar kerana 'tak ada apa' untuk dianalisa. Dari kaca mata rakyat yang prihatin, BN Kedah hambar dan statik! Pimpinan kerajaan negeri bagai mengurungkan diri dalam kerangka fasa-fasa yang mereka sendiri cipta, sekarang ini fasa baru 'berbulan madu'.

Seorang strategis UMNO dalam pentadbiran kerajaan pernah memberitahu saya, sekurang-kurangnya ada tiga fasa dalam stail pentadbiran politik UMNO/BN yang berjaya mengekalkan kuasanya selama 50 tahun di Kedah. Fasa pertama ialah melaksanakan tindakan-tindakan yang tidak popular, termasuk yang menimbulkan kemarahan dan kritikan rakyat. Tindakan penguatkuasaan peraturan baru, kenaan cukai dan bayaran baru, perobohan gerai dan bangunan, dasar dan polisi yang menekan rakyat, dilaksanakan dalam fasa ini.

Fasa kedua ialah fasa memperbaiki sebarang kerosakan, meredakan kemarahan, atau waktu untuk menjadi hero merungkai pertelingkahan. Paling tidak pun, dengan berdiam diri supaya kemarahan dan kritikan dapat dilupakan. Waktu pertengahan ini lazimnya pada tahun ke tiga dan empat selepas pilihanraya. 

Fasa terakhir ialah fasa gula-gula menjelang pilihanraya. Limpahkan rakyat dengan janji muluk-muluk dan pemberian manisan yang mengembirakan. Fasa terakhir inilah yang memenuhi ingatan dan perasaan rakyat ketika memangkah kertas undi. BR1M adalah contohnya.

KUIN dan Maahad Tahfiz: Satu kebal, satu lagi berjaya dibunuh

Saya masih ingat baris-baris ayat Almarhum Ustaz Azizan yang terbaring di katil KMC meminta pertolongan dua perkara sahaja kepada Dato' Mukhriz yang menggantikannya. Walaupun daripada parti yang berlawanan, atas dasar budaya tinggi seorang negarawan yang mencintai negeri dan rakyatnya, dia berharap KUIN dan Maahad Tahfiz Sains di Pulau Tuba diteruskan. 

Memang benar, itulah sasaran paling awal untuk dipunggah kepimpinan MB baru. Dua projek pendidikan ini jika dibiarkan akan mengubah lanskap sosio-politik Negeri Kedah. Rakyat marah dengan cubaan menjual Fakulti Perubatan kepada Kolej MAHSA dan pemindahan pelajar dari kampus induk Kuala Ketil balik ke Mergong. Pelajar KUIN berarak ke sana ke mari. Dewan kuliah menjadi sesak. Tenaga pakar yang dibawa masuk mengasaskan bidang-bidang baru KUIN mula angkat kaki meninggalkan Institusi yang sedang berkembang itu. Politik BN terlalu rakus, sanggup membunuh pendidikan dan prasarananya demi menghilangkan kesan kejayaan orang lain.

Cubaan mengosongkan Kampus Induk gagal. Kemasukan Rektor baru yang berpengalaman dalam selok belok pentadbiran universiti menamatkan keghairahan BN. Dia mengakui KUIN sudah berada di atas landasan yang benar untuk mencapai matlamat menjadi sebuah universiti penuh. Teruskan saja apa yang ada. KUIN yang disusun di zaman PAS/PR ternyata kebal, gagal dimatikan. Kegagalan itu menyebabkan BN serta merta melompat ke  fasa kedua- fasa memperbaiki kerosakan dan berdiam diri tentang KUIN supaya kemarahan rakyat reda dan kejahatan mereka dilupakan. Saya percaya, fasa tiga nanti akan ada gula-gula manis tentang KUIN.

Maahad Tahfiz Sains Pulau Tuba yang letakkan di bawah Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) berjaya dibunuh pada tahun pertama BN berkuasa semula. Walaupun bajet RM3 juta untuk fasa pertama sudah diluluskan dalam DUN, dan syarikat Seri Temin Development ( sebuah GLC) sudah memenangi tander pembinaan projek pusat pendidikan Islam bernilai RM9 juta itu, ketakutan politik mengatasi hasrat murni kerajaan sebelumnya. Kata mereka, Maahad Tahfiz itu nanti akan melebarkan pengaruh PAS ke Pulau Tuba, maka ia perlu dibatalkan. Terpadamlah sinar cahaya yang cuba menyuluh kesuraman di pulau itu. Kini isu pembatalan ini sunyi, dikurung dalam fasa kedua. Almarhum Ustaz Azizan mengharapkan dua program pendidikan untuk anak bangsanya ini diteruskan, berpesan sambil berbaring menahan derita sakitnya. Baringannya itu berlanjutan hingga ke hujung hayatnya, kerana dia tidak pernah bangun duduk, berdiri atau berjalan lagi selepas detik itu. Apakah rakyat mampu melupakan khianat BN kepada jiwa kependidikannya, dengan gula-gula di fasa 3 nanti?

Tukar Kereta

Kereta masih elok, berhabis duit untuk apa?

Isu pembelian kereta Mercedes Model S300 (SV221C) menggunakan nombor pendaftaran KBV 8, bagi menggantikan kereta yang digunakan oleh MB sebelumnya yang juga masih baru (KCX8) , telah menyerlahkan selera sebenar pemimpin BN. MB segera berdalih bahawa kereta baru itu untuk kegunaan YDP Agong di Langkawi selepas banyak pihak mendedahkan di laman sosial gambar kereta baru itu. Soalan kenapa mengunakan nombor pendaftaran KBV 8 yang diambil daripada kereta MB di zaman Dato Seri Mahdzir Khalid untuk kegunaan YDP Agong tidak dapat dijelaskan.Rakyat sudah maklum kenderaan DiRaja biasanya menggunakan plat warna kuning, tidak pernah pun dipamerkan nombor pendaftarannya. Selepas bersembunyi dibelakang istana, isu kereta menjadi senyap seketika. 

Selang dua bulan, kereta exco pula digantikan dengan Proton Perdana (Accord Perdana) baru, walaupun Toyota Camry yang sedia ada masih baik kondisinya. Untuk rekod, Camry itu dibeli pada 2011, selepas Proton Perdana yang digunakan sejak 2005 sudah tidak lagi ekonomik. Kenderaan itu sering rosak, termasuk meragam dalam perjalanan menghadiri program utama kerajaan.  Penggantian alat ganti memakan masa terlalu panjang, melebihi dua minggu, walaupun MB memanggil wakil Proton untuk merundingkan hal ini. 

Pembelian Camry dan Fortuner dibuat selepas tiga tahun (2008-2011) menggalas tugas memimpin kerajaan, dan setelah mengambilkira usia dan kondoisi kereta, bagi memastikan pergerakan anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan tidak tergendala dan bermasalah. Dari satu sudut lain, ia lebih menjimatkan perbelanjaan kerajaan, berbanding membaiki kerosakan kereta lama yang sudah uzur untuk pergerakan yang kerap dan perjalanan jauh.

Alasan MB untuk menghalalkan pemborosan ini ialah Camry dan Fortuner terpaksa dijual kerana bekas exco berhasrat membelinya. Kenapa Kerajaan Negeri tiba-tiba berubah menjadi kedai jualan kereta terpakai? Apakah kerajaan tidak mampu menolak hasrat bekas exco, atau tidak mampu menahan gelora nafsu citarasa para pemimpinnya? 

Tidak terkecuali pemimpin BN yang dihadiahkan pisisi penting di GLC, turut membeli kereta mewah. Antaranya seorang Adun senior dalam BN Kedah yang tidak diberi kerusi Exco, dihadiahkan kerusi Pengerusi Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan (KLPK), sebuah anak syarikat PKNK. Beliau mengarahkan syarikat membeli sebuah Range Rover baru berharga RM400 ribu untuk kegunaanya. Saya percaya selepas tiga tahun, dia akan memohon untuk membeli kereta itu daripada syarikat pada harga yang murah. Tercapailah hajatnya.

Kini, pada tahun pertama lagi, sebelum sebarang program untuk rakyat menampakkan hasilnya, pemimpin kerajaan sudah menyelesaikan sebahagian citarasa mewah yang selari dengan selera pribadi mereka. Mereka berkurung di fasa kedua untuk rakyat melupakannya.

Akujanji Tinggal Janji

Saya telah meneliti senarai Akijanji BN Kedah PRU13 setebal 18 mukasurat. Ia mengandungi ratusan janji muluk untuk memikat rakyat, sebahagiannya dicedok daripada program kerajaan PR sebelumnya, sebahagian lagi adalah program yang pembangunan yang sudah terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke10, 2011-2015 (RM-10). Tiada apa lahir dari perahan fikiran pemimpin BN Kedah.

Sepadan dengan Akujanji yang dicedok, tindakan pelaksanaannya juga terbantut. Semuanya menanti keputusan makmal transformasi, walaupun mereka sedang melangkah ke tahun kedua sebagai kerajaan. Pada 14 April 2014, dengan bangganya seorang Exco Kerajaan mengumumkan kerajaan BN sanggup hilang RM4 yang dikutip oleh 12 buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi melaksanakan akujanjinya menghapuskan bayaran lesen penjaja.

Rupa-rupanya, tidak ia tidak semudah itu. Bayaran lesen penjaja terkandung dalam Seksyen 107 Akta 171, tidak boleh dihapuskan tanpa pindaan terhadap akta itu di Parlimen. Pengumuman Kerajaan Negeri sanggup hilang RM4 juta itu sebenarnya patut dibaca sebagai - kerajaan negeri meningkatkan perbelanjaannya sebanyak RM4 juta setahun kerana membayar harga lesen bagi pihak penjaja yang layak. Kelayakan untuk menikmati 'bantuan' ini juga terlalu ketat dan menyusahkan. Tidak semua penjaja akan menikmatinya. Ia tidak menjadi 'Nikmat untuk Semua', slogan PR yang sedang dihapuskan oleh BN.

Selang 10 hari selepas itu, pihak PBT menguatkuasakan pula bayaran 'lesen meja' bagi penjaja kecil sebanyak RM15 sebuah meja setiap bulan, deposit RM500 dan penjaja perlu memiliki insuran perlindungan awam bernilai RM100 ribu. Beban apakah yang sedang menimpa para penjaja ini dalam tahun pertama BN memerintah semula Kedah? 

Mengumumkan 'pelaksanaan' akujanji kononnya 'kerajaan hilang' RM4 juta setahun itu hanyalah salah satu cubaan untuk menyaingi langkah awal kerajaan PR 2008-2013 yang menurunkan kadar cukai tanah antara 25-75% yang mengakibatkan kerajaan waktu itu hilang hasil sebanyak RM50 juta setahun. Ia benar-benar dilaksanakan dan kekal hingga sekarang. Kerajaan masa itu tidak membuat bayaran melalui 'pintu belakang' kepada pejabat tanah untuk bermain wayang dengan rakyat seperti yang dibuat oleh BN dalam hal lesen penjaja ini.


Akujanji yang menarik juga pada musim harga getah menjunam teruk ini ialah mewujudkan bandaraya getah di Padang Terap. Saya sudah menulisnya di sanusimdnor.blogspot.com. Hingga kini, tiada apapun yang berlaku dengan akujanji itu, malah semua janji manis BN Kedah terbantut dipintu makmal trasformasi yang diwujudkan.

Sepanjang setahun ini, rakyat Kedah ternanti-nanti apakah yang mampu dilakukan oleh Kerajaan Negeri selain turut serta merasmikan program kerajaan pusat iaitu Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC). 

Zipy dan Padi berkonflik

Tahun pertama BN Kedah ini ditutup dengan konflik besar, atara kepentingan pengeluaran padi dan pelancaran semula projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) di atas tanah sawah seluas 4300 ekar di Yan.

Pada 2007, satu pengambilan balik tanah telah diwartakan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Balik Tanah (1960), untuk membangunkan projek ini. Almarhum Ustaz Azizan selaku Adun Sungai Limau menentang keras pengambilan tanah sawah kerana bimbangkan kesannya terhadap sisioekonomi penduduk dan pengeluaran padi.

Pada hari pertama menjadi Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan membatalkan projek ini, dan mengarahkan syarikat yang mencadangkannya, Merapoh Resources Corporation (Merapoh) mengubah lokasinya ke dalam laut jika masih berminat meneruskannya. 

Projek itu diteruskan di tapak cadangan baru kemudiannya dinamakan Sungai Limau Hidrocarbon Hub (SULIH). Terselamatlah kawasan sawah paling subur dalam kawasan MADA seluas 4300 ekar. Waktu itu sedang berlaku krisis bekalan makanan seluruh dunia. Kerajaan PR turut menyekat sebarang  cadangan pembinaan bangunan perumahan atau komersil di atas tanah sawah padi untuk menjamin Food secuirity yang menjadi keutamaan kerajaan PR.


Pada 24 April lalu, DS Mukhriz Tun Mahadir telah menyampaikan ucapannya sempena Majlis Menandatangi Perjanjian Kerjasama antara Merapoh dan China Energy untuk meneruskan semula projek ZIPY di Yan. 

Agak mengejutkan projek tersebut kini membabitkan nama-nama besar seperti bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Dato’ Bistamam Ramli, selaku penasihat dan Pengerusi Merapoh. ZIPY adalah cadangan asal syarikat ini pada 2007, dia atas tanah sawah padi. Kini ia melibatkan taikon-taikon besar dalam politik pembolotan kekayaan negara.

Selang sepuluh hari, DS Mukhriz muncul pula di Kota Kuala Muda menggalas mesin menabur benih padi di tengah sawah, merasmikan pelancaran Estet padi di bawah kelolaan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). Di depan masyarakat pesawah, MB melahirkan kebimbangan kerana pengeluaran padi Kedah telah merosot dengan teruk, daripada 70% kepada 30% untuk bekalan beras negara. NCIA turut mendedahkan bahawa kerajaan pusat telah membelanjakan RM7.3 bilion membantu sektor padi di Kedah sejak 40 tahun lalu.

Saya percaya ZIPY melalui penglibatan tokoh-tokoh besar yang dilahirkan di zaman Tun Mahadir menjadi PM, akan tetap dilaksanakan di tapak cadangan asalnya. Saya juga percaya, kebimbangan tentang padi di Kota Kuala Muda itu hanyalah kesedaran palsu, menurut skrip ucapan yang disediakan oleh NCIA. Masakan tidak, projek estet padi menyediakan dana RM500 juta!

Dalam fasa pertama stail pemerintahan BN, hampir  semua program utama zaman PR untuk rakyat seperti Skim Kafalah, Maahad Tahfiz Sains, Bantuan IPTA, KUIN  dan seumpamanya sudah berjaya dibunuh ataupun dipadamkan. Penguatkuasaan peraturan baru juga telah mengambil tempat satu demi satu. Mereka sedang memasuki fasa kedua perlahan-lahan. 

Pembebasan pegawai tadbir dari cengkaman politik yang dilaksanakan oleh Ustaz Azizan pada minggu pertamanya sebagai MB, kini nampaknya sudah beransur hilang. Mereka nampaknya mulai diikat dan dikurung semula oleh pemimpin BN atas alasan transformasi dan pelaksanaan 'the new school of thought' dalam pentadbiran. 'Old school' warisan 100 tahun yang dipertahankan bermati-matian sebelum ini sudah 'outdated' dan terpaksa dilepaskan. Itulah harga kesetiaan.

Keutamaan kerajaan BN Kedah dalam tahun kedua ini adalah projek berskala besar untuk tokoh-tokoh besar. Program untuk rakyat, Akujanji dan transformasi akan diperam di makmal sepanjang fasa kedua.  Sehingga fasa ketiga (fasa gula-gula) menutup  tirai pasca PRU13, Kedah akan kekal hambar dan statik, pemimpinnya boleh bersuka ria dalam fasa baru mereka-  'berbulan madu'.

Harakah (Bil 1944) 9-11 Mei 2014