Saturday 15 March 2014

Pengeluaran Komoditi Getah, Cukai Ses dan Siapa Yang Kaya?


Pengeluaran Getah dan cukai ses.


Selain menjadi komoditi utama eksport negara, yang menjadi teras ekonomi Malaysia sejak sekian lama, getah juga menyumbang pendapatan kepada agensi-agensi kerajaan. Setiap sekilo getah akan menyumbang cukai ses sebanyak 14 sen kepada kerajaan. 10 sen disalurkan kepada RISDA (tanam semula) dan 4 sen kepada LGM (penyelidikan). Agensi-agensi ini akan menggunakan dana terkumpul ini untuk berniaga semula dengan pekebun kecil dengan mewujudkan anak-anak syarikat yang menjalankan aktiviti membekalkan benih, baja, ternakan, pengangkutan, menubuhkan syarikat di sektor pembinaan, lanskap, insuran, pengurusan harta dan memiliki ladang mereka sendiri.

Pegawai dan kakitangan syarikat dan agensi menikmati pelbagai keistimewaan dan dibayar faedah dan gaji tetap bulanan yang tinggi. Siap dengan bonus lagiiii! Orang motong? Motong hari ini, esok lusa belum tentu dapat makan!

Berapa cukai ses sebulan? Setahun?

Pengeluaran getah asli pada Januari 2013 dicatat sebanyak 87,957 tan metrik, meningkat 11,694 tan metrik (+15.3%) daripada Disember 2012.

Perbandingan tahun atas tahun juga menunjukkan peningkatan sebanyak 2,798 tan metrik (+3.3%) . Sektor kebun kecil menyumbang sebanyak 93.1 peratus dari keseluruhan pengeluaran getah asli manakala sektor estet hanya 6.9 peratus.

Negeri yang mengeluarkan getah asli tertinggi di estet adalah Kedah (23.0%), diikuti Negeri Sembilan (20.1%) dan Perak (16.3%) (Jadual 14). Pekebun kecil menyumbang 93.1% estet 6.9% daripada keseluruhan keluaran getah.

Cukai Ses Januari 2013
Keluaran Januari  87,957 tan x 1000 (kg) x 0.14= RM 12,313,980 (juta) sebulan.

Cukai ses Bagi tahun 2013 
keluaran keseluruhan 845,000 tan  x 1000 (kg)  x 0.14sen = RM118,300,000 ( seratus lapan belas juta tiga ratus ringgit). Inilah jumlah cukai ses terkumpul bagi setahun.

Apa yang penoreh dan pekebun kecil dapat? 

Kadang-kadang tak melepasi belanja keperluan, tetapi terpaksa menjual getah dibawah kos pengeluaran. Yang pasti pekebun kecil telah mengkayakan puluhan syarikat dan Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai-pegawai di agensi.

Bantaun Tanam Semula? Bukankah Ini Satu Penipuan?

Bantuan Tanam Semula? Bukankah Ini Satu Penipuan?

Data RISDA berkaitan  pengeluaran hasil (kg) kebun getah milik pekebun kecil adalah seperti berikut:

1 hektar kebun mengeluarkan 100 kg sebulan, iaitu1200 kg setahun. Cukai Ses 10 sen sekilo x 1200kg = RM120 setahun. Hayat pokok getah ialah 25 tahun sebelum dibuat tanaman semula.
RM120 x 25 tahun = RM3000.

Mengikut RISDA, cukai ses yang dipotong selama 25 tahun yang dikatakan pengeluaran sebenar  pekebun kecil cuma RM3000. Maka kerajaan  melalui RISDA mendakwa telah membantu pekebun kecil apabila membayar bayaran tanam semula sebanyak RM9,230 sehektar - berupaya benih, baja dan bayaran kemajuan - yg dibayar berperingkat peringkat dalam tempoh  5 tahun.

Sebenarnya ia boleh dipertikaikan dengan kiraan yang munasabah seperti berikut:

Purata keluaran kebun ialah 400kg/hektar sebulan (1 hektar menyamai 3,475 relong) untuk 10-20 hari torehan mengambil kira faktor cuaca @ 4800 kg setahun. Ini bermakna, Cukai ses  yang diambil oleh RISDA ialah RM 480 ringgit setahun.

Sepanjang 25 tahun hayat pokok getah, potongan sebenar ses ialah RM480 x 25 = RM12,000. Mereka ambil RM12,000, selepas dilaburkan dalam berbagai perniagaan, dibayar balik hanya RM9,230. Wajarkah ini dipanggil BANTUAN?

Tanggungjawab Siapakah Ini? Nasib Orang Motong, Agensi Super Kaya dan Kementerian Lembap:

Industri Getah Tanggungjawab Siapa?

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC)
2. Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) 
3. Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa ( MITI) - kawal selia    perdagangan antarabangsa termasuk komoditi getah.
3. FELDA - Dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM)

Agensi-agensi di bawah Kementerian:

1. Lembaga Getah Malaysia (LGM) di bawah MPIC - ditubuhkan pada 1 Januari 1998, hasil gabungan Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Getah Malaysia (MRRDB) dan Lembaga Pasaran Getah Malaysia (MRELB) untuk meneruskan usaha memajukan serta membangunkan industri getah. Bertanggungjawab menggubal dasar dan pembangunan Industri. Pengerusi: Dato Wira Hj Ahmad bin Hamzah Ahli Parlimen BN Jasin, Melaka.

2. RISDA di bawah KKLW-  Pembimbing pekebun kecil, pembangunan penyelidikan dan tanam semula getah. Sebelum ini Pengerusinya oleh Tan Sri Rahim Thambi Chik, kini dipangku oleh Ketua Pengarah.

3. FELCRA Bhd (Di bawah KKLW)- Entiti perniagaan untuk penyatuan tanah, meningkatkan penyertaan, membangunkan ekonomi dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

4. Mardec- Agensi Pemasaran getah (telah dijual kepada pihak swasta).

Dengan segala peruntukan, kemudahan, keistimewaan, kekayaan dan kuasa di semua kementerian dan agensi, pada ketika ini bagaimana kehidupan penoreh dan pekebun kecil getah?

Siapa yang terlibat dalam isdustri getah?

1. Jumlah ketua keluarga pekebun kecil - 590,000 orang (U. Malaysia 29 Dis 2013)
(3.1 orang isi rumah x 590,000 = 1,829,000 orang.
2. Jumlah keluasan tanah pekebun kecil hetah 900,000 hektar

3. Jumlah pekebun kecil mengikut kaum:
Melayu 77%
Cina 20%
India 1%
Org Asli 0.4 %
Lain2 0.9%

4. Bajet Kerajaan Persekutuan 2014 kepada RISDA - 800 juta (Lapan Ratus Juta)

Siapa Paling Untung?

Setiap kilogram getah yang dijual di pasaran, 0.14 sen dipotong sebagai cukai ses. 10 sen kepada RISDA sebagai kumpulan wang untuk tanaman semula selepas 25 tahun, 4 sen dibayar kepada LGM untuk penyelidikan.


Selepas 25 tahun, ses terkumpul dari setiap kilogram keluaran getah akan dipulangkan kepada pekebun kecil mengikut saiz tanah kebun sebanyak RM9,230 sehektar - dibayar dalam bentuk baja, benih dan bayaran kemajuan selama tempoh lima tahun.

Sebenarnya, berapakah jumlah cukai ses terkumpul selama 25 tahun daripada sehektar kebun getah yang diambil daripada pekebun kecil? Berapakah pula keuntungan pihak RISDA dalam perniagaan membekal baja, benih dan lain-lain kepada pekebun kecil?



Sunday 9 March 2014

Nasib Orang Motong, Agensi Super Kaya dan Kementerian Lembab

Fakta-fakta tersembunyi dalam industri dan pasaran Getah SMR20. 

1. DRC (Dried Rubber Content) 50% yg dipotong daripada harga FOB adalah assumption (andaian) LGM  dan pemain industri/pengilang besar seperti Lee Rubber. Harga ladang (farmgate price) selepas pemotongan sebesar ini hanya tinggal sekitar RM2.20-2.40/kg.

2. Mesin DRC (tolok pengukur dried rubber content) yang dicipta oleh LGM  tidak dikomersilkan a.k.a disimpan!. Di pasaran, DRC ditentukan oleh peraih dan pengilang secara andaian mata kasar (assumption).

3. Di sesetengah negara lain, DRC ditentukan  guna makmal...tetapi mengambil masa 4-5 hari. Bagi pekebun kecil di negara kita yang 'menoreh hari ini untuk makan esok'- yg perlukan duit harian-  ia tidak dapat dilakukan.

4. LGM ada kuasa untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang kecil bagi menyelaraskan kos memproses getah natural rubber (NR) di kilang. Kerajaan ada hak untuk campurtangan. Persatuan pengilang dikuasai oleh taiko besar pengilang industri getah seperti Lee Rubber Selain itu ialah Fong Keong Rubber dan sime tyre. 

5. Agensi agensi awam/GLC seperti Felcra, Risda dan Felda kalau bergabung dalam industri pengeluaran dan pemrosesan getah, mereka mampu  mengatasi Lee Rubber, tetapi memilih untuk menyerah. Agensi pemasaran yang ditubuhkan kerajaan, MARDEC kini telah dijual kepada tokoh perniagaan Syed Mokhtar AlBukhary

6. Harga lantai RM4 perlu laksanakan dengan menstabilkan harga FOB. Ia tidak boleh kurang daripada RM10/ kg. Kerajaan perlu wujudkan dana atau apa saja kaedah lain untuk stabilkan FOB pada kadar ini.

7. Kemeterian Perladangan Perindustrian & Komuditi (MPIC) ada LGM yang gubal dasar-dasar getah. Penyelidikan di LGM tidak membantu pekebun kecil, tetapi memberi kelebihan kepada pengeluar besar / estet.  

8. Risda dan Felcra berubah sepenuhnya menjadi agensi perniagaan yang mengutamakan keuntungan syarikat-syarikat milik agensi itu.

9. Dasar kerajaan sekarang ialah kos untuk memproses getah mesti ditanggung oleh pengeluar ( pekebun kecil/penoreh). Dasar kerajaan ini mesti diubah, paling tidakpun ditanggung bersama oleh pengeluar, pengilang dan peniaga.

Kos sebenar untuk pengeluaran getah sekerap bg setiap kilo ialah RM3.20 meliputi kos:

A. Baja
B. Racun
C. Upah menebas/mencuci
D. Upah2 lain.

The sum of all losses

Rumusan kerugian ketara terkumpul pekebun kecil akibat ketirisan sistem tadbir urus industri getah negara seperti berikut:

1. Manipulasi harga di peringkatt kilang akibat kos proses/caj kilang = purata $0.30/kg (katakan kos sebenar ialah RM0.60-1.10/kg, tetapi pemotongan dibuat RM1.40/kg

2. Manipulasi harga peringkat dealer akibat ketiadaan tolok DRC = $0.30/kg

3. Manipulasi harga oleh rantaian dealer =$0.20/kg

Jumlah kadar kerugian ketara pekebun =$$0.80/kg

Kerugian/ kehilangan ini tidak termasuk kerugian operasi akibat kejatuhan harga getah dunia:- (harga jualan semasa/harga ladang/farmgate-kos pengeluaran)-ie. $2.45-$3.20= -$0.95/kg
SUM OF ALL LOSS= -$1.75/kg

Pandangan kami, kos proses patut ditanggung separuh separuh antara pengilang dan pengeluar. Kuasa utk tentukan kos proses ialah pengilang, pekebun tak tahu apakah kos sebenar.

kerugian tidak ketara spt berikut
1. ketidakstabilan indeks harga pasaran dunia
2. manipulasi dacing
3. manipulasi drc
4. manipulasi susut air
5. alasan faktor turun-naik bahan api

Tuntutan yang munasabah

1. Harga lantai RM4/kg (tolak kos RM3.20, penoreh hanya dapat RM0.80/kg).

2. Penstabilan FOB pada kadar RM10/kg - dengan itu, farmgate price ( harga ladang) akan berada pada kadar RM4/kg.

3. Kos memproses ditanggung bersama antara pengilang peniaga dan pengeluar, kos memproses maksima yang boleh diterima /munasabah ialah RM1.00/kg (kini antara RM1.40-2.30).

4. DRC ditentukan secara saintifik, LGM perlu mengkormersialkan tolok penyukat DRC yang telah dicipta daripada wang yg diambil atas alasan R&D drpd pekebun kecil (0.40 sen/kg).

5. Cukai ses yang dipotong daripada pekebun kecil perlu dikira semula berdasarkan pengeluaran semasa. Pemulangan patut dibuat dengan kiraan yg munasabah. 

Perihal Orang Motong, Agensi Super Kaya dan Kementerian Lembab

Demonstrasi Baling 2.0 bakal menyusul...

ROSLINDA HASHIM (Sinar Harian)

ALOR SETAR - Pas Kedah akan mengadakan himpunan 40 tahun Demonstrasi Baling 1974 pada 5 April depan bagi membela nasib penoreh-penoreh gerah yang sedang berdepan kemelut penurunan harga getah.
            Himpunan yang juga dikenali Demonstrasi Baling 2.0 itu turut mendapat kerjasama beberapa NGO, serta aktivis politik dan tani seluruh negara.
            Ketua Penerangannya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perhimpunan di Baling itu adalah bagi menuntut kenaikan harga getah berikutan kejatuhan teruk harga komoditi utama negara, apabila perkara itu seolah dipandang sepi kerajaan, biarpun keluhan penoreh sudah diutarakan.
            “Sudah beberapa bulan perkara ini dibangkitkan, namun masih tiada tindakan. Jika dibiar berlarutan, apakah nasib pekebun kecil yang majoritinya golongan miskin tegar,” katanya.
             Menurutnya, selain memperingati demonstrasi bersejarah petani dan penoreh getah di Baling pada 1974 yang digerakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau masih melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, ia sebagai usaha mendesak kerajaan menangani segera isu terbabit.
            “Kejatuhan harga getah yang menjunam kebelakangan ini menyebabkan ada anak penoreh getah di seluruh negara terpaksa ke sekolah tanpa membawa duit belanja dan mengikat perut. Cuaca kemarau yang melanda negara menyukarkan lagi keadaan kerana susu getah berkurangan,” katanya.
            Berikutan itu, katanya, Pas Kedah melalui Pesuruhjayanya, Datuk Mahfuz Omar pernah mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan harga lantai untuk mengatasi harga getah yang tidak menentu.
            “Antara cadangan harga lantai getah pada kadar RM4 sekilogram berbanding sekarang serendah RM1.90 sekilogram di sesetengah tempat. Cadangan ini relevan kerana selepas ditolak kos pengeluaran RM3.20/kg, penoreh hanya dapat RM0.80/kg,” katanya.
            Muhammad Sanusi berkata, beberapa tuntutan yang perlu diberi perhatian termasuk, penstabilan Free On Board (FOB) pada kadar RM10/kg, bagi membolehkan harga ladang berada pada kadar RM4/kg.

            “FOB bermaksud, harga yang dikemukakan hanyalah sehingga pelabuhan atau gudang di negara yang kita ingin import barangan itu. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi perlu main peranan dalam perkara ini,” katanya.

            Menurutnya, cadangan lain ialah kos memproses di kilang-kilang ditanggung bersama antara pengilang dan pemain industri serta pengeluar, di mana kos memproses maksima yang munasabah ialah RM1.00/kg (kini antara RM1.40-2.30). “Lembaga Getah Malaysia (LGM) perlu mengkomersialkan tolok penyukat DRC yang telah dicipta daripada wang yang diambil daripada pekebun kecil atas alasan R&D (sekitar 4 sen/kg). Undang-undang kecil perlu diwujudkan untuk menjamin DRC tidak ditentukan secara andaian mata kasar sahaja,” katanya.

Tambahnya, cukai ses yang dipotong daripada pekebun kecil (10 sen/kg kepada Risda dan 4 sen/kg kepada LGM) perlu dinilai semula berdasarkan pengeluaran semasa. “Pemulangan sewaktu penanaman semula patut dibuat dengan kiraan lebih munasabah,” katanya.

Muhammad Sanusi turut menempelak LGM dan Risda serta anak syarikat milik agensi terbabit yang tidak memberi fokus kepada masalah pekebun kecil/penoreh, sebaliknya hanya bertumpu pada strategi menjana keuntungan syarikat. “BN Kedah dalam akujanji akan wujudkan bandaraya getah di Padang Terap. Apa manfaatnya jika ia wujud namun harga komoditi tetap rendah, kerana rakyat tetap merana,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Pas dan beberapa NGO tani mengadakan perhimpunan di Baling, Padang Terap dan Pendang, iaitu kawasan yang ramai pekebun kecil getah, bagi menuntut penstabilan harga getah.
Ketua Pemuda Pas, Suhaizat Kaiat yang turut serta dalam demonstrasi di Padang Terap, baru-baru ini turut mendesak kerajaan mengambil tindakan segera menyelesaikan isu ini.
CAPTION:
MUHAMMAD SANUSI

Sunday 2 March 2014

Perihal Harga Sekerap, Orang Motong, Agensi Superkaya dan Kementerian Lembab...




Perihal Getah Sekerap, orang motong, agensi superkaya dan kementerian lembab...

Senario 1


Pada waktu ini, orang motong (penoreh) dan tuan kebun (pekebun kecil getah) tidak mengeluh sendirian. Turut melengung ialah peniaga pasar malam, penjaja, pekedai runcit dan peraih sekerap (SMR20). Turut terbabit menahan lapar di sekolah dan mencipta berbagai bagai alasan  dengan cikgu-cikgu yang meminta macam-macam bayaran ialah anak- anak penoreh yang menitik air liur di kantin dan tebal mukanya di kelas.

Dalam situasi yang semakin panjang ini, harga bahan keperluan asas tidak menunjukkan tanda akan turun, malah makin memanjat tangga menjauhi kemampuan orang kampung. Ikan temenung di pasar malam Beris Jaya, Rabu lalu mencecah RM12 sekilo, minggu sebelumnya RM10, sebelumnya tiada seekor temenung pun dijual di semua 'kaunter'. Perit dengan harga sebelumnya RM15 sekilo, peniaga pun bimbang temenung pecah perut di tekan-tekan tapi tak dibeli.

Aku sampai jam 9.15 malam, peniaga sudahpun melipat meja dan payung. "Barang habih dah ka bang?" Aku cuma bertanya. "Malam ni bawak sikit jaa..orang tak ramei, kalau ramei pun, dema lalu saja , tapi tak beli".

Pasar malam Beris Jaya antara yang terbesar di Sik, selalunya jam 11:00 malam, barulah pengunjung susut. Minggu lepas aku singgah jam 10 malam, hanya 'kaunter' ikan saja yang tinggal. Ikan temenung lemak RM10 sekilo, aku ambil beberapa ekor penuh seraga kecil. Ikan kedera sekilo, sedap kalau digoreng. Boleh makan banyak ekor sekali dengan sisiknya. Tiba-tiba terliur kepala ikan nyok-nyok untuk digulai, saya ambil seketul dibelah dua. Semuanya Rm45 ringgit, aku tergamam, terus balik.

Minggu ini kena beli ayam dan ikan juga, kalau boleh untuk stok seminggu. Modal dalam poket ada RM70 pemberian seorang cikgu yang menjadi bini tersayang. Dengan modal sebanyak itu, hanya mampu beli ikan temenung sekilo, seekor ayam, secekak sotong, sepapan telur dan seraga sayur. Boleh tahan dua tiga hari saja kalau banyak ini.....Lepas beli apam balik dua keping, aku meraba kepingan dalam poket hanya tinggal beberapa keping saja, lembik! Tentu duit seringgit. Ini untuk anak-anak ke sekolah esok!

Dalam langkah ke moto di tepi jalan, berselisih dengan seorang kenalan lama. "Mu beli pa malam ni?" Aku menyapa. "Ni dok pakai topi ni..satni ada polis lalu dok kacau suruh pakai topi! Lama dah dok mari sini, tak besa polis dok kaco, pakai baju biasa pulak tu!" Dia merungut keras.

Aku sengaja merenung ke dalam bakul motornya. Kosong! "Mu baru sape ka"? Saja nak bertanya. " Dak eyy! Nak kelek dah nii, dok perati polis satni dok tang mana tak thu!" Katanya sambil matanya melilau, seperti tak mahu memandang aku. "Dah nak kelek buat pa lagi ikan tak beli, cari bini tak jamu nasik!" Aku bergurau seperti selalu. Dia memandang telur dan sayur yang tersangkut di handle motor aku, dengan pandangan "semacamm". "Ambo polis ni tak dak tepat leng dah ka nak takap orang!" Dia merungut lagi pasal polis.

"Jong aku nak kelek lu Nusi oo... Aku saja mari yaa, saja tengok-tengok barang. Sekerap tak dan jual lagi, hat jual dua hari sudah beda budak sekolah yaa.." Dia terus melintas jalan, membuat pusingan 'U' dan memecut.

Aku tertunduk sambil memutar kunci motosikal. Aduhh! Silap dah aku bertanya tadi. Patutlah dia mengajak aku bercakap pasal polis, rupanya cuba mengelak, dia tak beli apa-apa untuk dibawa pulang. Anak-anaknya makan apa malam ini? Dalam perjalanan balik itu, fikiran bersimpang siur tentang keadaan orang motong dan harga getah sekerap. Dia mewakili senario semasa kelompok orang motong. Timbul rasa seperti mahu berpatah balik memberi telur separuh papan kepadanya, atau setengah kilo ikan temenung, tapi aku tak pasti yang mana satu rumahnya diantara 600 rumah dalam Beris Jaya itu. Allah! Berapa puluh berapa ratus orang yang ke pasar malam tadi yang sepertinya? Patut lah peniaga lipat meja awal malam ni....

Ini cuma satu kisah diantara jutaan kisah waktu ini... Sudah berlarutan sejak hujan mencurah bulan Julai 2013 hingga hari ini 2 Mac 2014....

bersambunggggg!