Wednesday 30 October 2013

Saat ini saya amat merasai kekurangan satu perkara...

Assalamualaikum wbt.
 
 


Saat ini saya amat merasai kekurangan satu perkara.....

Alhamdulillah! Saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah swt di atas keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi 1, Alor Setar pada hari ini jam 10.40 pagi ini, yang telah menjatuhkan hukuman kepada pemfitnah tegar yang menggunakan blog dan media sosial untuk mencalarkan maruah dan kredibiliti, atas tuduhan yang sama sekali tidak berasas, berniat jahat dan menempa dosa. Dalam kes saya, yang telah difitnah oleh blogger padijantan.blogspot pada Julai 2012, di  bulan Ramadhan yang mulia, bahawa saya melakukan rasuah  bernilai RM1.3 juta dan sedang ditahan di lokap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), sedangkan pada waktu itu saya sedang menguruskan majlis berbuka puasa YAB Ustaz Azizan Abdul Razak di Masjid Alor Semela, Alor Setar. Pada bila-bila masa pun saya tak pernah melihat wang sebanyak itu, apalagi menerimanya untuk diri saya. Kesan fitnahnya merebak, melata, menghakis kepercayaan, harga diri dan maruah - menimbulkan sangsi dan benci.

Bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Ustaz Azizan selama 5 tahun dua bulan, bermula 10 Mac 2008 hinggalah PRU-13 pada Mei 2013 adalah tempoh yang penuh cabaran. Dalam bongkah-bongkah cabaran yng telah diredah, difitnah dengan berbagai tuduhan buruk, adalah bongkah yang pejal dan keras. Ia bukan sahaja meletihkan fizikal, menyemakkan fikiran, terpaksa menyeret maruah dan integriti yang tercalar ke sana ke mari dalam lirikan mata orang ramai, mengganggu emosi, menimpakan anak isteri dan keluarga dengan beban malu, dan merencatkan kegahirahan bekerja, malah lebih besar ialah nama baik Menteri Besar dan Parti yang yang cuba dijahanamkan.

Selepas beberapa bulan menggalas cabaran ini, bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah memberikan komennya. " Tugas anta sangat berat, bukan sahaja memberi khidmat kepada bos anta, tetapi antalah orang yang akan mendepang dada menahan peluru yang ditembak kepada MB dan pimpinan parti, siapkan diri seelok-eloknya".

Beberapa bulan kemudian saya memang menghadapi senario itu. Bukan sedikit usaha musuh mencalarkan imej dan integriti Ustaz Azizan dan PAS, dicuba siang malam dari pelbagai sudut, nampak dan tidak nampak, nyata dan tersembunyi. Hujan peluru pelbagai bentuk, datang dari pelbagai arah, bersarang merobek tubuh dan wajah, bersimpang siur. Mereka mengharapkan saya lemah, menyeret Ustaz Azizan rebah mengalah.

Strategi mereka mudah. Kalau tak berupaya memalitkan Ustaz Azizan dengan kekotoran, lemparkan saja kepada orang di sisinya. Kejatuhan, calar balar dan persepsi negatif yang berjaya ditimpakan kepada orang di sekeliling pemimpin, akan beri kesan langsung kepada pemimpin itu. Saya menyedari hal ini, dan inilah keutamaan paling tinggi saya sepanjang berkhidmat dengan Ustaz Azizan. Jika satu kesilapan dilakukan, atau membiarkan satu ruang untuk kesilapan berlaku, kesannya akan meluncur terus kepada Ustaz Azizan dan parti.

Saya pernah mengadu kepada Ustaz Azizan hal tuduhan, maki hamun dan fitnah yang datang mencurah dari luar dan dalam, Ustaz Azizan memberi nasihat: "Sanusi,  berjuang atas nama Islam memang akan berdepan dengan semua ini. Anta perhatikan fakta sirah para Nabi dan sejarah pemimpin- pemimpin terdahulu. Depa kena lagi teruk, lagi parah. Lihat saja zaman selepas Rasulullah, daripada  4 orang Khalifah Al-Rashidin, 3 daripadanya mati dibunuh oleh rakyat depa sendiri. Syaidina Omar, Syaidina Uthman dan Syaidina Ali, semua mati dibunuh. Apa salah depa? Depa tu sahabat paling kanan, berjuang bersama Rasulullah dari awal, berkorban dan berperang mengembangkan Islam, salah depa tang mana? Kita baru kena fitnah, kena maki, kena tuduh, tapi masih ada nyawa. Ringan sangat kalau nak banding dengan depa. Anta banyakkan bersabar, ini sunnah perjuangan.

Pesannya lagi. "Kita kena bekerja di waktu yang singkat untuk berehat di waktu yang panjang." Saya tanyakan maksudnya. "Dunia ini singkat dan pendek, di sinilah kita berjuang. Akhirat itu panjang, di sanalah kita berehat." Saya mendapat azimat daripadanya, biarpun mempertahankan kebenaran perjuangan yang dibawanya bagaikan menggenggam bara!

Selepas tuduhan padijantan ini keluar di Sinar Harian, dia memanggil saya. "Kesian kat hang noh. Terok hang kena. Hang pi cari lawyer yang bagus-bagus, saman depa ni. Depa ni orang jahat, kali ini hang jangan biaq!" Tegas betul dia pagi itu. Saya maklumkan sudah membuat laporan polis dan saya siarkan di blog saya dan fb supaya pemfitnah itu insaf dan memohon maaf.

Paling tidak dia menarik balik postingnya. Saya tak punya cukup masa untuk dihabiskan untuk berkelahi dengan blogger. Beberapa kali dia bertanya kes itu, saya katakan saya sudah dapat lawyer dan akan failkan kes. Kerana kesibukan dan bebanan kerja yang semakin banyak, pada Febuari 2013 yang agak lapang, saya minta peguam saya failkan kes ini di Mahkamah dan meneruskan prosesnya.

Yang Arif Hakim Abu Bakar Katar memutuskan dalam penghakimannya, bahawa exibit bertanda P2 ( posting blogger padijantan) dengan jelas memfitnah plaintif. Mengambilkira plaintif sebagai ahli dan pemimpin parti PAS dan bertugas sebagai Setiusaha Politik Menteri Besar Kedah sewaktu di fitnah, maka Mahkamah memutuskan defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM100 ribu dan kos sebanyak RM30 ribu. Jumlah wang RM130 ribu itu bukanlah matlamat saya, tetapi kebenaran, reputasi, integgriti yang cuba dicalarkan perlu dibersihkan.

Paling penting dalam kes ini ialah, sepanjang bertugas dalam kerajaan pimpinan Ustaz Azizan, sedaya upaya kami mahu buktikan bahawa PAS membentuk sebuah kerajaan yang bersih, telus dan beintegriti. Bebas rasuah, beramanah dan melaksanakan amanah Allah dan rakyat sebaik yang mampu. PAS berbeza dengan UMNO dan Barisan Nasional. Pemimpin dan kaum keluarga mereka kaya raya, rakyat menderita. " Sanusi! Buktikan kita berbeza. Jangan buat apa yang UMNO buat, depa ditolak kerana rakyat benci dengan perbuatan depa masa depa memerintah!"

Kerana budaya politik yang menjadi bisness telah bersarang sekian lama di bawah BN, budaya itulah yang cuba diulangi dengan PAS dan PR. Menutup ruang- ruang memperdagangkan kuasa untuk bisness, mengundang risiko besar. Setelah gagal mendapat apa yang dihajati,  fitnah dilempar dari kiri dan kanan untuk mencalarkan politik Islam yang sedang dilaksanakan. Dendam dan lepas geram!

Saya menanti juga sebelum ini malah hingga ke hari ini, kalau-kalau ada pihak yang sering bercakap tentang fitnah ini di merata-rata tempat untuk mengulanginya dalam bentuk tulisan atau rakaman, supaya tindakan yang sama dapat diambil. Kata saya kepada wartawan di mahkamah tadi. Tuntutan di dunia mungkin boleh dibayar dengan wang ringgit, tuntutan diakhirat nanti nak bayar dengan apa? Dosanya terlalu berat, tiada harga lagi kepada permohonan maaf di sana nanti, jadi janganlah memfitnah orang lain!

Saat ini, saya amat merasai saya terkurang satu perkara. Ustaz Azizan- yang saya menumpang untuk tumpahkan khidmat bakti kepadanya - sebagai ayah, guru, seorang mujahid dan pemimpin Islam terhebat - yang menyeret tangan saya untuk terus berdiri dan berlari, yang percaya di saat orang sangsi dan benci, yang menyuluh di laluan ketika kelam, yang memapah di saat saya lemah dan lemas...sudah pun tiada. Saya impikan keputusan pembersihan ini dapat saya tujukan kepadanya. Saya sudah tunaikan permintaannya. Kepercayaan kepada saya untuk berada di sisinya selama beberapa detik dalam perjuangannya, kembali sinarnya. Hujan peluru yang merobek saya dan dia kini telahpun reda, luka dan derita kian sembuh dengan penawarnya. Terima kasih Ustaz, Al-Fatihah!




No comments:

Post a Comment