Tuesday 19 April 2016

JIKA INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) HANYA SEKUPANG

IPG - Insentif Pengeluaran Getah

Dalam bajet 2016 yang dibentangkan pada Oktober 2015, PM mengumumkan IPG akan teraktif apabila harga getah sekerap (50% DRC/kandungan getah kering) turun dibawah paras RM2.20 sekilo. Pada tahun sebelumnya, IPG teraktif pada kadar RM1.70 sekilo.

Saya menjangkakan dengan aktifnya IPG pada 2016, kerajaan akan memperuntukkan dana khas IPG itu supaya penoreh tetap menerima RM2.20 sekilo - RM1.70 semasa jualan sekerap dan RM0.50 sewaktu mengemukakan tuntutan IPG.

Hari ini harga getah di semua daerah di Kedah berada di bawah parad RM1.70 sekilo. Ada kawasan seperti di Sik dan Baling, cuma RM1.50 sekilo. Adakah IPG memperuntukkan RM0.70? Jawabnya TIDAK!!! Malahan...

Seorang penoreh perlu mengisi borang tuntutan IPG, dikemukakan bersama resit jualan getah, Kad Permit Authoriti Transaksi Getah (PAT-G) dan salinan geran kebun getah. Penoreh atau pemilik mestilah memiliki kebun kurang daripada 100 ekar (40 hektar).

Borang dan dokumen tersebut hendaklah dikemukakan di pejabat LGM terdekat dan IPG yang akan dibayar hanyalah RM0.10 sekilo.

Saya ulang!... SEKUPANG saja sekilo.

Tuntutan hanya boleh dibuat sekali dalam sebulan. Bermaksud, jika dalam tempoh sebulan, penoreh dapat penjual sekerap 4 kali, empat resit itu dikumpul dan dibawa ke LGM.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang mengendalikan IPG dan hal ehwal orang motong sekelian...

Bagi yang motong 5 relong kebun getah milik sendiri (120 pokok serelong), purata hasil sekerapnya sehari ialah 45 kilo sehari (13 pokok sekilo), kalau tidak ditimpa hujan. Purata hari tanpa hujan (hari boleh motong) hanyalah 15-18 hari sebulan - ambil maksimum 18 hari.

Orang kampung yang memiliki kebun getah seluas 5 relong hanya boleh dibilang dengan jari. Yang memiliki 100 ekar kebun getah, tak payahlah buang masa mencarinya...

5 relong- dalam tempoh sebulan hasil sekerapnya ialah 810 kilo. Pada kadar harga RM1.50 sekilo, pendapatannya sebulan ialah RM1,215. Jika kebun itu milik orang lain, pendapatan maksimum mereka ialah RM607.50.

Jika kebun getah milik sendiri hanya seluas 2.5 relong, hasilnya 405 kilo dan pendapatannya RM607.50, jika kebun sekangkang kera itu milik orang, pendapatan mereka hanya RM303.70... MAKSIMUM tanpa hujan berterusan, tanpa kecurian, tanpa keuzuran.

Pejabat LGM paling dekat tersergam di Sungai Petani. Dari Belantek, Kota Aur, Chepir, Sik, Charok Padang ke Sungai Petani kos minyak kenderaan RM50. Dengan motosikal lebih jimat, tapi terlalu jauh. Dengan bas atau teksi juga jimat tetapi memakan masa sehari.

Tuntutan IPG dalam sebulan untuk kebun 5 relong milik sendiri ialah RM81.00

Tuntutan IPG untuk kebun 5 relong milik orang lain ialah RM40.50 sebulan!

Tuntutan IPG untuk kebun 2.5 relong milik sendiri ialah RM40.50 sebulan!

Kalau kebun sekangkang kera itu milik orang...dapatlah IPG RM20.25 sebulan!

Dengan kos pergi balik dan masa, mereka sebetulnya tak dapat apa-apa daripada IPG, malahan tidak berbaloi sama sekali. Hanya kerajaan dapat menayangkan papan tanda 'keprihatinan' kepada orang motong yang tak dapat apa-apa. Sebetulnya IPG SEKUPANG tidak memberi sebarang makna.

Saya mencadangkan, Tuan-Tuan tinggalkan pejabat berhawa dingin itu barang seminggu dua dalam sebulan, merantau ke kampung di pedalaman, menemui mak ayah pak cik mak cik yang motong getah... uruskan IPG dan PAT-G mereka.

Stesenkan staff LGM di kedai sekerap atau tempat orang motong  bertemu pembeli sekerap di bangsal atau bawah pokok kabu. Walaupun tempat itu harum dan dingin, orang motong akan terasa nikmat SEKUPANG IPG itu dengan ketinggian budi dan jasa tuan-tuan. Sebulan sekali saja satu kampung.

Saya yakin, dengan kejauhan, kepayahan, 'keciputan' untuk mendapatkan IPG, orang motong terpaksa mengabaikan saja insentif itu. Biar tak dapat IPG daripada dapat secupak tapi rugi segantang.

Hanya pekebun yang lebih senang dan lebih kaya, memiliki kebun lebih luas daripada 5 relong hingga 100 ekar, akan terasa nikmat IPG SEKUPANG itu. IPG ini untuk orang miskin atau orang kaya?



Sent from my Samsung device

Memorandum Penoreh dan Pesawah Ke Parlimen 5 April 2016

MEMORANDUM PENOREH GETAH SEMPENA HIMPUNAN PRIHATIN UNTUKMU PENOREH

2 APRIL 2016, SIK KEDAH



Kami telah mendengar berulang kali kerajaan mengumumkan pelbagai janji untuk mengambil langkah dan inisiatif bagi memperbaiki harga getah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kami telah berhimpun pada 5 April 2014 di Baling Kedah untuk menyuarakan Deklarasi Baling 2.0 yang mengandungi 10 tuntutan seperti yang di lampirkan.

Berikutan deklarasi itu, Ketua Pengarah LGM menyuarakan keyakinan tentang undang-undang baru akan digunakan untuk penetapan harga harian getah sekerap, namun harga tidak bertambah baik, malah semakin menjunam daripada RM2.50 sekilo (2014) hingga serendah RM1.70 sekilo pada tahun ini.(2016).

Kos kehidupan yang semakin meningkat sementara harga getah pula semakin rendah telah menjerumuskan penoreh dan pekebun kecil dalam situasi kesempitan yang meruncing, mengheret penoreh ke perangkap berhutang dan hilang daya saing.

Keperluan pendidikan, makanan asas, nutrisi, perubatan keluarga telah merosot malahan kegiatan sektor ekonomi lain terjejas dengan teruk. Pertanian dalam sector getah bukan lagi bisnes, sebaliknya berubah menjadi pemerasan terhormat oleh pengilang, traders dan pengawal industri serta agensi kerajaan yang berkaitan kerana penoreh dan pekebun sudah tiada pilihan.

Sempena Himpunan Prihatin Untukmu Penoreh pada 2 April 2016, kami para penoreh ingin mempertegaskan semula Deklarasi Baling 2.0 bertarikh 5 April 2014, dan menuntut perkara berikut dilaksanakan segera:



1. Mendedahkan harga kontrak komoditi getah seperti harga komoditi lain (minyak sawit mentah, emas, arang batu, kopi, dan lain-lain) yang menjadi asas penetapan harga di pasaran dan di ladang. Menyembunyikan harga ini membuka ruang manipulasi pengilang dan trader.

2. Kerajaan segera memperuntukkan dana khas negara berjumlah RM1.6 bilion untuk membantu melaksanakan skim harga lantai pada RM4 sekilogram. Jumlah itu tidaklah terlalu besar jika dibandingkan dengan jumlah penerima manfaat seramai 590,000 keluarga.



3. Kerajaan membatalkan sekatan eksport kayu getah bergergaji yang dikenakan oleh Malaysian Timber Industry Board (MTIC) untuk melonjak sektor tersebut menjadi sumber pendapatan pekebun selepas 15-20 tahun pokok getah ditoreh untuk susu. Pemintaan yang tinggi terhadap kayu getah bergergaji di pasaran dunia (600,000 meter padu) sewajarnya tidak hanya menjadi sumber kekayaan tauke-tauke industri perabut tempatan sahaja. Buka ruang kepada pekebun untuk menjalankan bisnes kayu getah jika kerajaan sudah tidak mampu lagi menangani harga getah sekerap. Melindungi bisnes pengusaha perabut yang berasaskan kayu getah telah menafikan peluang  pemilik kebun untuk memanfaatkan sumber yang mereka miliki. Sekatan eksport kayu hanya selari dengan harga getah sekerap yang munasabah.

4. Reformasi Agensi-agensi berkaitan getah dan sistem penetapan harga getah secara menyeluruh. Kerajaan tidak boleh memelihara kepentingan pengilang dan rantaian trader getah sahaja. Rakyat perlukan  pembelaan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.

5. Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dengan dana RM200 juta bukan penyelesaian harga getah. Ia dilihat sebagai  gulu-gula pemanis mulut pihak kerajaan. Tambahan 10 sen hingga 40 sen sekilo untuk menjadikan harga sekerap RM2.20 tidak akan mengeluarkan penoreh daripada lubang kesempitan. Sehingga kini belum ada seorangpun penoreh yang menerima tuntutan IPG sejak 3 bulan lalu. IPG tahun 2015 dengan dana RM100 juta jugak langsung tidak terusik.

6. Pemberhentian sementara kutipan cukai ses (14 sen sekilo) yang diumumkan minggu lepas harus dipastikan sampai manfaatnya kepada penoreh dan pekebun. Jika harga tidak meningkat, pengumuman itu hanya satu pengumuman yang tiada makna.



Kami memohon, pihak kerajaan segera menimbangkan tuntutan dan saranan kami, seluruh warga penoreh dan pekebun kecil seluruh negara. Kami akan terus berhimpun, dalam skala yang lebih besar dan lebih kerap sehingga nasib kami mendapat pembelaan sewajarnya.



PESERTA HIMPUNAN PRIHATIN UNTUKMU PENOREH

2 APRIL 2016

SIK KEDAH DARUL AMAN.









LAMPIRAN

Deklarasi Baling 2014 sempena Himpunan Derita Rakyat 2.0



Selepas empat dekad berlalu, tatkala kerajaan gah melaungkan slogan kejayaan, berbangga tentang pantasnya kemajuan dan pesatnya pembangunan, rakyat sebenarnya kian terhimpit dan tertekan.

• Empat puluh tahun lalu, bumi Baling ini telah memahat sejarah, membuka mata tentang keperitan derita rakyat, sengsara dihiris kemiskinan.

• Selepas empat dekad berlalu, tatkala kerajaan gah melaungkan slogan-slogan kejayaan, berbangga tentang pantasnya kemajuan dan pesatnya pembangunan, rakyat sebenarnya kian terhimpit dan tertekan.

• Derita rakyat makin parah dengan lonjakan kos sara hidup, peningkatan memuncak harga keperluan asas, bebanan kenaikan tarif elektrik dan bekalan air, saban tahun semakin berat.

• Tidak memadai dengan pengurangan subsidi, rampasan royalti, kenaikan kos insuran, pengangkutan, perubatan dan pendidikan tinggi, rakyat dipaksa berkorban lagi dengan kemunculan GST.

• Semua ini menambah sengsara, khususnya golongan penoreh dan pekebun kecil getah yang sedang terjerumus dalam kesukaran yang tiada kesudahan, akibat pendapatan mereka tidak lagi dapat menampung kos kehidupan harian.

• Kesejahteraan rakyat terus merosot apabila harga komoditi getah di ladang dibiarkan terus menjunam. Jurang pendapatan makin melebar antara penoreh dan pekebun kecil dengan pengilang, pemborong, dan syarikat-syarikat milik agensi yang bertanggunjawab menguruskan sektor ini;

• Tiada jaminan, tanpa rancangan pembelaan, manipulasi berleluasa, agensi dan syarikat menjadi super kaya, penoreh getah terus menerus sengsara.



MAKA, Peserta Himpunan Derita Rakyat 2.0, pada tanggal 5 April 2014, di Kupang, Baling Kedah Darul Aman, menegaskan bahawa:

1. Pembangunan Tanpa Kenaikan Kos.

Pembangunan negara tidak lagi berteraskan kenaikan kos sara hidup yang dipaksakan ke atas rakyat, sebaliknya wajib berasaskan pemimpin yang amanah, pengurusan bebas rasuah, peningkatan integriti, kecekapan agensi dan anti kebocoran dan keborosan.

2. Harga Lantai RM4.00/kg.

Penetapan harga lantai komodoti getah di ladang pada kadar RM4 sekilogram harus dilaksanakan segera. Kadar ini wajar kerana kos pengeluaran sebenar yang ditanggung oleh penoreh/pekebun kecil adalah sebanyak RM3.20 sekilogram.

3. Caj Kilang Dikawal Oleh Kerajaan.

Kos pengilangan getah yang terlalu tinggi tidak boleh ditanggung oleh pekebun kecil sepenuhnya, sebaliknya ditentukan dengan campurtangan kerajaan melalui pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang. Kadar maksima caj pengilang sewajarnya tidak melebihi RM1.00/kg, dikongsi bersama oleh pengilang dan pengeluar.

4. Sukatan DRC Secara Saintifik.

Dried Rubber Content (DRC) harus ditentukan secara saintifik. Lembaga Getah Malaysia (LGM) wajib menguatkuasakan penggunaan tolok penyukat DRC untukmengelak manipulasi harga akibat penentuan kadar DRC berdasarkan andaian oleh peraih dan pengilang.

5. Hentikan Pemotongan Cukai Ses.

Pemotongan cukai ses, yang mengakibatkan pekebun kehilangan sebahagian pendapatan mereka wajar ditamatkan. Kos penyelididikan dan tanaman semula getah tidak boleh dibebankan kepada pekebun kecil melalui cukai ses, sebaliknya dana untuk tujuan ini diperuntukan daripada sumber lain.

6. Subsidi Tanaman Semula Getah.

Bantuan tanaman semula getah diberikan sebagai subsidi, seperti yang dinikmati oleh pesawah dan nelayan. Malahan subsidi telah lama dinikmati oleh banyak sektor lain termasuk sektor industri tenaga.

7. Subsidi Baja.

Selaras dengan kepentingan industri berasaskan komoditi getah, dan sumbangan besar sektor ini kepada pembangunan rakyat dan negara Malaysia, kerajaan wajar memberikan subsidi baja selama 25 tahun kepada semua pekebun kecil bagi memastikan produktiviti pokok getah dapat dikekalkan selama ia dapat memberikan pulangan kepada pekebun kecil.

8. Penentuan Harga Tidak Dikawal Spenuhnya Oleh Pengilang.

Mekanisme penentuan harga SMR20 tidak lagi hanya bergantung kepada tawaran harga pengilang-pengilang yang menganggotai Panel Penasihat Harga LGM, tetapi harus mengambiilkira kos dan kesan yang ditanggung oleh penoreh dan pekebun kecil.

9. Rombakan Besar-besaran Agensi.

Agensi-agensi yang dirubuhkan untuk menguruskan industri getah dan membantu pekebun kecil dan penoreh harus dirombak, kembali berfungis selari dengan matlamat penubuhannya. Agensi agensi kini telah dilihat lebih berorentasikan perniagaan dan keuntungan mereka sahaja.

10. Kepimpinan Baharu Pertubuhan Kebangsaan Pekebun Kecil Getah.

Pertubuhan dan persatuan yang mewakili pekebun dan penoreh tidak boleh dibiarkan menjadi lubuk meraih pengaruh, habuan dan kuasa politik. Kepimpinan yang ada kini telah menjadi berubah menjadi wakil pihak industri dan agensi, daripada fungsi sebenar menyuarakan tuntutan pekebun kecil.



Dimeterai di Himpunan Derita Rakyat 2.0, Baling Kedah Darul Aman

5 April 2014 / 5 Jamadil Akhir 1435

 



Sent from my Samsung device

Pertanian Adalah Perniagaan- Slogan Untuk Siapa

Pertanian Adalah Perniagaan -Slogan Untuk Siapa?

Bahagian I.

Slogan ini terbit daripada pemimpin negara dan agensi kerajaan untuk menjinakkan hati rakyat yang menjadi petani. Petani juga boleh maju dan bersenang jika menyertai kelompok bisnes dengan hasil tani mereka.

Selepas 60 tahun merdeka, sektor pertanian diharapkan tidak lagi menjadi aktiviti saradiri, tetapi berubah dan berkembang menjadi aktiviti bisnes. Tetapi, hakikatnya bisnes kekal ditangan orang bisnes, petani kekal menjadi pengeluar yang terkeluar dari lingkungan kegiatan  bisnes yang menghasilkan untung.

Komoditi getah dan semua yang berkaitan dengan pokok getah ( hevea brasiliensis) adalah  sektor pertanian bukan makanan. Ia adalah bahan mentah industri. Oleh kerana getah tidak boleh dimakan, ia sewajarkan paling releven untuk terangkum dalam slogan pertanian adalah perniagaan. Produk getah adalah barang dagangan, bukan makanan.

Pekebun kecil di kampung dan desa menghasilkan 94% bekalan komoditi getah negara, 6% lagi melalui pemilik ladang dan estet.

Menghasilkan sekilogram getah sekerap perlukan modal wang dan keringat. Dalam bidang ekonomi, tanah, wang, upah dan keringat usahawan adalah modal (kapital). Membelanjakan wang dan memerah keringat dalam perniagaan adalah pelaburan, matlamatnya adalah keuntungan,  proses asasnyanya seperti berikut.

1. Tanah- dibeli, diteroka atau dipusakai.
2. Benih getah - dibeli atau disemai sendiri.
3. Penanaman - diupah atau dibuat sendiri.
4. Penjagaan awal (5-7 tahun) - diupah atau dibuat sendiri.
5. Baja dan racun tanaman - dibeli.
6. Menoreh dan mengumpul sekerap - diupah atau dibuat sendiri.

Perbelanjaan yang dikeluarkan bagi menghasilkan getah sekerap berupa perbelanjaan modal (capex) dan perbelanjaan operasi (opex).
Membaja, mencuci dan meracun, menyulam, menoreh dan memungut adalah opex yang berulang-ulang.

Setelah 100 tahun tanaman ini diperkenalkan dan menjadi kegiatan ekonomi yang membangunkan negara ini, penoreh dan pekebun kecil getah kekal menjadi pengeluar yang serba dhaif, miskin dan terpinggir dalam kitaran bisnes.

Hasil getah mereka dibeli dibawah paras kos modal dan kos operasi. Kos modal penoreh ialah RM2.80 -3.20 sekilo, tetapi sekerap hanya terjual pada kadar RM1.90-2.20 pada waktu ini.

Kegiatan yang mendatangkan kerugian lebih banyak daripada keuntungan bukanlah satu pelaburan yang bijak.

Kerajaan mengesyorkan sektor IKS wajar mencapai margin 30% untuk menentukan aliran tunai (cash flow) dan aktiviti mereka releven dalam pasaran. Pada kadar margin  keuntungan bisnes sekerap adalah negatif (-RM1.00 sekilo), pekebun wajar mengubah plan bisnes mereka. Pasaran getah menyumbang RM33 bilion pendapatan negara, tetapi bisnes bidang ini bukan untuk kita warga pekebun dan penoreh. Kita hanya kuli di kebun milik kita sendiri.

Pengilang-pengilang dan pengeksport getah menjana keuntungan dengan selamat dan terkawal, dijamin oleh agensi-agensi kerajaan- diatas kesempitan dan kerugian petani dan penoreh yang berterusan. Menjerit kelaparan pun tidak diendahkan. Inilah maksud slogan Pertanian Adalah Perniagaan. Bukankah perniagaan terdedah kepada persaingan, untung dan rugi?

Harga kayu getah pula dikawal dengan kuota eksport.

Selain sekerap, kayu getah adalah bahan industri yang semakin berkembang. Permintaan dunia untuk gayu getah bergergaji ialah 600,000 meter padu setahun. Ia berkembang sebagai bahan bernilai dalam industri perabut dan pembinaan. Daripada bernilai RM20 juta 30 tahun lalu, industri kayu getah bergergaji kini bernilai RM6 bilion. Industri perabut pula RM4 bilion. Industri ini dijangka berkembang hingga RM50 bilion beberapa tahun lagi.

Thailand, Malaysia, Indonesia, Veatnam, Kemboja adalah antara pengeluar getah dan kayu getah. Ketika negara-negara jiran kita berkejaran memenuhi permintaan untuk kayu getah bergergaji, Malaysia pula mengenakan kuota eksport bahan itu melalui MTIB- tidak lebih 100,000 meter padi saja setahun. Kenapa?

Harga kayu getah diladang-ladang Thailand meningkat sehingga RM25,000 hingga RM35,000 sehektar. Di Malaysia harga kayu kekal rendah antara RM2,000 hingga RM7,000 sehektar. Apakah rahsia yang diselindung disebalik sekatan eksport itu? Tauke-tauke perabot mahu harga bahan mentah industri mereka kekal murah untuk menjana untung yang maksimum.

Pekebun dan penoreh Malaysia terpaksa menyimpan pokok yang telah matang dan terus menoreh dalam bisnes rugi terus menerus untuk menjamin untung tauke-tauke. Bisnes bidang ini sebetulnya untuk mereka, bukan untuk kita semua, warga penoreh.

Muhammad Sanusi Md Nor
Pengerusi LATAS

Bahagian II

Agensi berbisnes - merekalah yang kaya.

Sektor getah 'bertuah' kerana berpuluh agensi kerajaan ditubuhkan untuk 'membantu' dan membabitkan diri, menyelia bagi memajukan petani dan perniagaan ini. Lembaga Getah Malaysia (LGM), RISDA, Kementerian Perladangan Industri dan komoditi (MPIC). Terdapat lagi kementerian lain seperti MITI, agensinya MIDA dan lain-lain untuk menguruskan urusan bisnes ini ke luar negara.

Diwujudkan juga agensi besar seperti Felda (dibawah Jabatan Perdana Menteri), Pihak Berkuasa Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra)- dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Mereka terbabit terus dan langsung dalam sektor getah.

Agensi-agensi besar ini pula menubuhkan berpuluh-puluh syarikat perniagaan dibawah mereka, sebahagiannya telah menjadi gergasi dalam bisnes berkaitan getah dan kebun getah. Mereka juga memiliki ladang mereka sendiri.

Agensi-agensi kerajaan ini terus berkembang menjadi gergasi dalam bisnes input pertanian, bukan outputnya (hasil pertanian). Kerja asas mereka ialah membuat dan menguatkuasakan undang-undang, memonopoli bekalan benih, baja dan input pertanian, menyedia khidmat penyelidikan dan menjualnya ke mana-mana saja.

Mereka mengutip cukai ses, mengumpul caruman penoreh untuk tanaman semula kebun, memulangkan caruman pekebun selepas 25 tahun dalam bentuk benih dan baja dari anak syarikat mereka, mengumumkan pemulangan itu sebagai bantuan tanaman semula oleh kerajaan.

Mereka juga menguruskan ladang-ladang besar milik agensi, mengadakan seminar, mesyuarat, dan menyampaikan anugerah tahunan.

Mereka menerima peruntukan daripada bajet negara RM800 juta setahun. Pejabat mereka berhawa dingin di menara-menara tinggi, pegawai mereka bergaji tetap dengan pelbagai imbuhan lain. Ahli-ahli politik pemerintah dan ahli perniagaan superkaya dihimpunkan sebagai ahli lembaga pengarah yang mengawal bisnes.

Mereka juga bertugas untuk mengumumkan harga getah sebagai bahan mentah bagi pihak kapitalis pengilang dan industri tempatan dan dunia. Dua kali sehari. Panel penetapan harga pulak terdedah kepada manupulasi para trader dan pengilang seperti Lee Rubber dan lain-lain.

Harga bahan mentah industri mestilah sentiasa murah dan bekalan harus sentiasa mencukupi untuk kilang beroperasi. Mereka dikawal oleh Ahli Lembaga Pengarah mewakili menteri, pengilang dan pemain industri. Agensi-agensi telah menjalani transformasi - daripada agensi diwujudkan untuk rakyat menjadi agensi korporat untuk memelihara industri.

Sekatan Kuota Eksport Kayu Getah pula untuk siapa?

Malaysian Timber Industry Baord (MTIB) kini menyertai agensi-agensi lain sebagai bodyguard kepada  pengilang perabut dan bahan binaan berasaskan kayu getah. Mereka ikut memayungi kapitalis dan orang kaya. Kuota eksport  dikenakan, 100,000 meter padu sahaja setahun sedangkan permintaan pasaran ialag 600,000 meter padu.

Jika pekebun memiliki 4 hektar (15 relong) tanah kebun getah, mereka boleh menjana minimum RM100,000 pada tahun ke 15- usia pokok getah matang dan boleh dibuat tanaman semula. Jika memiliki 7.5 relong, mereka boleh dapat sekurang-kurang RM50,000 daripada jualan kayu getah jika harga kayu kita menyamai Thailand. Hasil itu boleh dilabur dalam sektor lain sebagai sumber pendapatan sementara pokok baru boleh ditoreh.

Bagi mencapai tahap itu, kuota sekatan eksport kayu getah bergergaji harus dibatalkan. Sekerap yang murah boleh menjadi by-product (produk sampingan) dalam perniagaan kayu getah yang mendapat permintaan tinggi dunia.

Plan bisnes pekebun kecil dan penoreh boleh diubah untuk menjana pendapatan yang lebih baik berbanding kerugian yang dialami sekarang. Ini boleh berlaku dengan meruntuhkan kawalan kapitalis pengilang terhadap dasar-dasar kerajaan yang dikuatkuasakan oleh agensi kerajaan.

Reformasi terhadap dasar dan undang-undang perlu dilaksanakan. Kerajaan jangan menjadi 'suruhan' kapitalis. - Dalam istilah pasar- Jangan jadi barua orang kaya-kaya-.

Kalau ia sudah berakar tunjang berpuluh tahun dan tidak boleh diubah lagi, kita wajib menukar kerajaan ini.

Muhammad Sanusi Md Nor
Pengerusi LATAS







Sent from my Samsung device
   




Fakta-fakta tersembunyi dalam industri dan pasaran Getah SMR20. Inilah yg disembunyikan drpd kita ... Penoreh!

1. Bagaimana harga getah ditentukan?

Harga FOB (freight on board) @ RM5.10kg (24/32016)- harga yang diniagakan di pasaran.

Daripada setiap kilogram getah pada harga FOB, pekebun kecil/ penoreh hanya menerima RM1.90 setelah ditolak:

A. Cukai ses - RM0.14/kg (RM4.96)
B. Kos memproses getah di kilang - RM1.00 - RM2.30/kg (RM3.96)
C. DRC @ 50% = RM1.98

Baki untuk penoreh dan pekebun kecil - RM1.98

Dasar getah Malaysia: kos pemprosesan, pengangkutan, penyelidikan tanam semula getah ditanggung oleh pengeluar (penoreh/pekebun kecil)

2. Apakah DRC?

1. DRC (Dried Rubber Content) adalah assumption (andaian) LGM  dan pemain industri/pengilang besar. Harga ladang (farmgate price) selepas pemotongan 50% harga sekerap bagi menentukan DRC ini hanya tinggal sekitar RM2.20-2.40/kg.

2. Tolok pengukur DRC (tolok pengukur dried rubber content) yang dicipta oleh LGM  tidak digunakan sewajarnya, malah hanya disimpan!. Di pasaran, DRC ditentukan oleh peraih dan pengilang secara andaian mata kasar (assumption).

3. Di sesetengah negara lain, DRC ditentukan  di makmal, tetapi mengambil masa 4-5 hari. Bagi pekebun kecil di negara kita yang 'menoreh hari ini untuk makan esok'- yg perlukan duit harian-  ia tidak dapat dilakukan.

4. LGM ada kuasa untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang kecil bagi menyelaraskan kos memproses getah natural rubber (NR) di kilang. Kerajaan ada hak untuk campurtangan. Persatuan pengilang dikuasai oleh taiko besar pengilang industri getah seperti Lee Rubber Selain itu ialah Fong Keong Rubber dan Sime Tyres. 

5. Agensi agensi awam/GLC seperti Felcra, Risda dan Felda kalau bergabung dalam industri pengeluaran dan pemrosesan getah, mereka mampu  mengatasi Lee Rubber, tetapi memilih untuk menyerah. Agensi pemasaran yang ditubuhkan kerajaan, MARDEC kini telah dijual kepada tokoh perniagaan Syed Mokhtar AlBukhary

6. Harga lantai RM4 perlu laksanakan dengan menstabilkan harga FOB. Ia tidak boleh kurang daripada RM10/ kg. Kerajaan perlu wujudkan dana atau apa saja kaedah lain untuk stabilkan FOB pada kadar ini.

7. Kemeterian Perladangan Perindustrian & Komuditi (MPIC) ada LGM yang gubal dasar-dasar getah. Penyelidikan di LGM tidak membantu pekebun kecil, tetapi memberi kelebihan kepada pengeluar besar / estet.  

8. Risda dan Felcra berubah sepenuhnya menjadi agensi perniagaan yang mengutamakan keuntungan syarikat-syarikat milik agensi itu.

9. Dasar kerajaan sekarang ialah kos untuk memproses getah mesti ditanggung oleh pengeluar ( pekebun kecil/penoreh). Dasar kerajaan ini mesti diubah, paling tidakpun ditanggung bersama oleh pengeluar, pengilang dan peniaga.

Berapakah kos pengeluaran sekilogram getah?

Kos sebenar untuk pengeluaran getah sekerap bg setiap kilo ialah RM3.20 meliputi kos:

A. Baja
B. Racun
C. Upah menebas/mencuci
D. Upah2 lain.

Berapa kerugian terkumpul penoreh/ pekebun kecil?

Rumusan kerugian ketara terkumpul pekebun kecil akibat ketirisan sistem tadbir urus industri getah negara seperti berikut:

1. Manipulasi harga di peringkatt kilang akibat kos proses/caj kilang = purata $0.30/kg (katakan kos sebenar ialah RM0.60-1.10/kg, tetapi pemotongan dibuat RM1.40/kg

2. Manipulasi harga peringkat dealer akibat ketiadaan tolok DRC = RM0.30/kg

3. Manipulasi harga oleh rantaian dealer =RM0.20/kg

Jumlah kadar kerugian ketara pekebun = RM0.80/kg

Kerugian/ kehilangan ini tidak termasuk kerugian operasi akibat kejatuhan harga getah dunia:- (harga jualan semasa/harga ladang/farmgate-kos pengeluaran)-ie. 

$2.45-$3.20= -RM0.95/kg
SUM OF ALL LOSS= -RM0.95 + - RM0.80 = - RM1.75/kg

Pandangan kami, kos proses patut ditanggung separuh separuh antara pengilang dan pengeluar. Kuasa untuk tentukan kos proses ialah pengilang, pekebun tak tahu apakah kos sebenar.

kerugian tidak ketara seperti berikut:

1.Ketidakstabilan indeks harga pasaran dunia
2. Manipulasi dacing penimbang
3. manipulasi DRC
4. Manipulasi susut air
5. Alasan faktor turun-naik bahan api

Apakah tuntutan penoreh/ pekebun kecil?

Tuntutan yang munasabah

1. Harga lantai RM4/kg (tolak kos RM3.20, penoreh hanya dapat RM0.80/kg).

2. Penstabilan FOB pada kadar RM10/kg - dengan itu, farmgate price ( harga ladang) akan berada pada kadar RM4/kg.

3. Kos memproses ditanggung bersama antara pengilang peniaga dan pengeluar, kos memproses maksima yang boleh diterima /munasabah ialah RM1.00/kg (kini antara RM1.40-2.30).

4. DRC ditentukan secara saintifik, LGM perlu mengkormersialkan tolok penyukat DRC yang telah dicipta daripada wang yg diambil atas alasan R&D drpd pekebun kecil (0.40 sen/kg).

5. Cukai ses yang dipotong daripada pekebun kecil perlu dikira semula berdasarkan pengeluaran semasa. Pemulangan patut dibuat dengan kiraan yg munasabah. 

Subsidikan pengeluaran getah RM2 sekilo...jd 4/kg

Pengeluaran keseluruhan getah Malaysia pada 2013 ialah 845,000 metrik tan (845 juta kg). Andaikan pengeluaran ini tidak berubah pada tahun 2014 (Keluaran 2014 belum diterbitkan).

Purata harga sekerap ialah RM2 sekilo. Jika harga lantai getah yang dituntut oleh rakyat dipenuhi,  iaitu pada kadar RM4/kg, kerajaan perlu beri subsidi RM2 setiap kg getah, yang akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.690 bilion setahun. 

Jumlah sebanyak itu akan melegakan kira-kira 590,000 orang ketua keluarga penorah getah (kira-kira 2 juta jiwa dapat menikmati hidup lebih baik selama 365 hari).

Kalaulah RM2.6 bilion yang didedah WSJ itu benar.... Andaikan RM1.690 bilion itu 'dicubit' daripada akaun yang sedang riuh-rendah sekarang ini, dia dan konco-konco BNnya masih ada RM1,000 juta (1 bilion) untuk joli moli ataupun untuk berkempen pilihanraya.

Andaikan sebaliknya, WSJ didapati salah lapor, kerajaan tetap boleh 'cubit' RM1.690 bilion daripada penjimatan subsidi minyak untuk bantu penoreh getah menjual hasil torehan mereka pada harga lantai RM4 sekilo. 

Apalah sangat 1.69 bilion untuk jutaan orang setahun-  berbanding kebocoran 30-40 bilion setiap tahun untuk beberapa orang pak pacak?