Wednesday 30 October 2013

Saat ini saya amat merasai kekurangan satu perkara...

Assalamualaikum wbt.
 
 


Saat ini saya amat merasai kekurangan satu perkara.....

Alhamdulillah! Saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah swt di atas keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi 1, Alor Setar pada hari ini jam 10.40 pagi ini, yang telah menjatuhkan hukuman kepada pemfitnah tegar yang menggunakan blog dan media sosial untuk mencalarkan maruah dan kredibiliti, atas tuduhan yang sama sekali tidak berasas, berniat jahat dan menempa dosa. Dalam kes saya, yang telah difitnah oleh blogger padijantan.blogspot pada Julai 2012, di  bulan Ramadhan yang mulia, bahawa saya melakukan rasuah  bernilai RM1.3 juta dan sedang ditahan di lokap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), sedangkan pada waktu itu saya sedang menguruskan majlis berbuka puasa YAB Ustaz Azizan Abdul Razak di Masjid Alor Semela, Alor Setar. Pada bila-bila masa pun saya tak pernah melihat wang sebanyak itu, apalagi menerimanya untuk diri saya. Kesan fitnahnya merebak, melata, menghakis kepercayaan, harga diri dan maruah - menimbulkan sangsi dan benci.

Bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Ustaz Azizan selama 5 tahun dua bulan, bermula 10 Mac 2008 hinggalah PRU-13 pada Mei 2013 adalah tempoh yang penuh cabaran. Dalam bongkah-bongkah cabaran yng telah diredah, difitnah dengan berbagai tuduhan buruk, adalah bongkah yang pejal dan keras. Ia bukan sahaja meletihkan fizikal, menyemakkan fikiran, terpaksa menyeret maruah dan integriti yang tercalar ke sana ke mari dalam lirikan mata orang ramai, mengganggu emosi, menimpakan anak isteri dan keluarga dengan beban malu, dan merencatkan kegahirahan bekerja, malah lebih besar ialah nama baik Menteri Besar dan Parti yang yang cuba dijahanamkan.

Selepas beberapa bulan menggalas cabaran ini, bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah memberikan komennya. " Tugas anta sangat berat, bukan sahaja memberi khidmat kepada bos anta, tetapi antalah orang yang akan mendepang dada menahan peluru yang ditembak kepada MB dan pimpinan parti, siapkan diri seelok-eloknya".

Beberapa bulan kemudian saya memang menghadapi senario itu. Bukan sedikit usaha musuh mencalarkan imej dan integriti Ustaz Azizan dan PAS, dicuba siang malam dari pelbagai sudut, nampak dan tidak nampak, nyata dan tersembunyi. Hujan peluru pelbagai bentuk, datang dari pelbagai arah, bersarang merobek tubuh dan wajah, bersimpang siur. Mereka mengharapkan saya lemah, menyeret Ustaz Azizan rebah mengalah.

Strategi mereka mudah. Kalau tak berupaya memalitkan Ustaz Azizan dengan kekotoran, lemparkan saja kepada orang di sisinya. Kejatuhan, calar balar dan persepsi negatif yang berjaya ditimpakan kepada orang di sekeliling pemimpin, akan beri kesan langsung kepada pemimpin itu. Saya menyedari hal ini, dan inilah keutamaan paling tinggi saya sepanjang berkhidmat dengan Ustaz Azizan. Jika satu kesilapan dilakukan, atau membiarkan satu ruang untuk kesilapan berlaku, kesannya akan meluncur terus kepada Ustaz Azizan dan parti.

Saya pernah mengadu kepada Ustaz Azizan hal tuduhan, maki hamun dan fitnah yang datang mencurah dari luar dan dalam, Ustaz Azizan memberi nasihat: "Sanusi,  berjuang atas nama Islam memang akan berdepan dengan semua ini. Anta perhatikan fakta sirah para Nabi dan sejarah pemimpin- pemimpin terdahulu. Depa kena lagi teruk, lagi parah. Lihat saja zaman selepas Rasulullah, daripada  4 orang Khalifah Al-Rashidin, 3 daripadanya mati dibunuh oleh rakyat depa sendiri. Syaidina Omar, Syaidina Uthman dan Syaidina Ali, semua mati dibunuh. Apa salah depa? Depa tu sahabat paling kanan, berjuang bersama Rasulullah dari awal, berkorban dan berperang mengembangkan Islam, salah depa tang mana? Kita baru kena fitnah, kena maki, kena tuduh, tapi masih ada nyawa. Ringan sangat kalau nak banding dengan depa. Anta banyakkan bersabar, ini sunnah perjuangan.

Pesannya lagi. "Kita kena bekerja di waktu yang singkat untuk berehat di waktu yang panjang." Saya tanyakan maksudnya. "Dunia ini singkat dan pendek, di sinilah kita berjuang. Akhirat itu panjang, di sanalah kita berehat." Saya mendapat azimat daripadanya, biarpun mempertahankan kebenaran perjuangan yang dibawanya bagaikan menggenggam bara!

Selepas tuduhan padijantan ini keluar di Sinar Harian, dia memanggil saya. "Kesian kat hang noh. Terok hang kena. Hang pi cari lawyer yang bagus-bagus, saman depa ni. Depa ni orang jahat, kali ini hang jangan biaq!" Tegas betul dia pagi itu. Saya maklumkan sudah membuat laporan polis dan saya siarkan di blog saya dan fb supaya pemfitnah itu insaf dan memohon maaf.

Paling tidak dia menarik balik postingnya. Saya tak punya cukup masa untuk dihabiskan untuk berkelahi dengan blogger. Beberapa kali dia bertanya kes itu, saya katakan saya sudah dapat lawyer dan akan failkan kes. Kerana kesibukan dan bebanan kerja yang semakin banyak, pada Febuari 2013 yang agak lapang, saya minta peguam saya failkan kes ini di Mahkamah dan meneruskan prosesnya.

Yang Arif Hakim Abu Bakar Katar memutuskan dalam penghakimannya, bahawa exibit bertanda P2 ( posting blogger padijantan) dengan jelas memfitnah plaintif. Mengambilkira plaintif sebagai ahli dan pemimpin parti PAS dan bertugas sebagai Setiusaha Politik Menteri Besar Kedah sewaktu di fitnah, maka Mahkamah memutuskan defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM100 ribu dan kos sebanyak RM30 ribu. Jumlah wang RM130 ribu itu bukanlah matlamat saya, tetapi kebenaran, reputasi, integgriti yang cuba dicalarkan perlu dibersihkan.

Paling penting dalam kes ini ialah, sepanjang bertugas dalam kerajaan pimpinan Ustaz Azizan, sedaya upaya kami mahu buktikan bahawa PAS membentuk sebuah kerajaan yang bersih, telus dan beintegriti. Bebas rasuah, beramanah dan melaksanakan amanah Allah dan rakyat sebaik yang mampu. PAS berbeza dengan UMNO dan Barisan Nasional. Pemimpin dan kaum keluarga mereka kaya raya, rakyat menderita. " Sanusi! Buktikan kita berbeza. Jangan buat apa yang UMNO buat, depa ditolak kerana rakyat benci dengan perbuatan depa masa depa memerintah!"

Kerana budaya politik yang menjadi bisness telah bersarang sekian lama di bawah BN, budaya itulah yang cuba diulangi dengan PAS dan PR. Menutup ruang- ruang memperdagangkan kuasa untuk bisness, mengundang risiko besar. Setelah gagal mendapat apa yang dihajati,  fitnah dilempar dari kiri dan kanan untuk mencalarkan politik Islam yang sedang dilaksanakan. Dendam dan lepas geram!

Saya menanti juga sebelum ini malah hingga ke hari ini, kalau-kalau ada pihak yang sering bercakap tentang fitnah ini di merata-rata tempat untuk mengulanginya dalam bentuk tulisan atau rakaman, supaya tindakan yang sama dapat diambil. Kata saya kepada wartawan di mahkamah tadi. Tuntutan di dunia mungkin boleh dibayar dengan wang ringgit, tuntutan diakhirat nanti nak bayar dengan apa? Dosanya terlalu berat, tiada harga lagi kepada permohonan maaf di sana nanti, jadi janganlah memfitnah orang lain!

Saat ini, saya amat merasai saya terkurang satu perkara. Ustaz Azizan- yang saya menumpang untuk tumpahkan khidmat bakti kepadanya - sebagai ayah, guru, seorang mujahid dan pemimpin Islam terhebat - yang menyeret tangan saya untuk terus berdiri dan berlari, yang percaya di saat orang sangsi dan benci, yang menyuluh di laluan ketika kelam, yang memapah di saat saya lemah dan lemas...sudah pun tiada. Saya impikan keputusan pembersihan ini dapat saya tujukan kepadanya. Saya sudah tunaikan permintaannya. Kepercayaan kepada saya untuk berada di sisinya selama beberapa detik dalam perjuangannya, kembali sinarnya. Hujan peluru yang merobek saya dan dia kini telahpun reda, luka dan derita kian sembuh dengan penawarnya. Terima kasih Ustaz, Al-Fatihah!




Tuesday 22 October 2013

Depa Reti Punggah Sajaaa...

Nak Buat Tak Reti, Yang Depa Pandai PUNGGAH!

Saya terlibat secara langsung dalam merangka kurikulum perubatan KUIN. Template asal diambil dari UIA dan dipinda dengan menambah dan membuang mana mana bahagian dengan tujuan menjadikan kurikulum ini selaras dengan falsafah pendidikan KUIN. KUIN beli template ini dari UIA. Lebih kurang sama dengan harga sebiji Myvi.

Antaranya sabjek yang ditambah ialah Islamic Revealed Knowledge (IRK) iaitu tajuk yang menyentuh konsep dan panduan perubatan dalam islam. Tujuan IRK ini ialah untuk mengembalikan hak perubatan moden ini balik kepada orang Islam. Ramai yang tidak tahu bahawa perubatan moden ini asasnya dibina oleh orang islam.

Tokok perubatan dan sains islam seperti Ibn Sina, Ibn Rush, dll telah menulis buku teks islam yang kemudiannya menjadi rujukan dan asas kepada perubatan moden dibarat. Perubatan inilah yang dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh orang barat dengan diberi jenama baru iaitu allopathy medicine. Waktu itu tamaddun Islam terencat kerana umatnya sibuk bergaduh sesama sendiri.

Selain dari itu pelajar perubatan KUIN dimestikan mengambil subjek wajib univerisiti. Antaranya ialah Al-Quran dan subjek yang berkaitan dengan agama. Sabjek ini mempastikan doctor lulusan KUIN mempunyai asas yang kukuh sebagai hamba Allah beragama Islam. Lebih kurang jadi trade mark produk INSANIAH.

Semua ini adalah tambahan kepada template asal yang diambil dari UIA. Program perubatan KUIN lebih banyak kandungan ilmu islam dari program perubatan UIA asal.

Inilah yang menjadi daya tarikan kepada pelajar yang memilih membuat kursus perubatan di KUIN. Pelajar kohort pertama menduduki tahun 2 mulai bulan September ini. 4 dari 23 pelajar ini telah diiktirah sebagai hafiz. Yang lain lain sedang dalam berbagai fasa hafazan mereka. (saya dapati hafiz /hafizah ini diantara yang cemerlang dalam sabjek lain juga)

Inilah hakikat sebenar mengenai fakulti perubatan kuin (Kulliyyah of Medicine and Health Sciences (KMHS)). Bandingkan dengan propaganda dari Pemangku Rector dan sida-sidanya yang mengatakan:

• Fakulti ini mengambil pelajar yang tidak layak
• Program ini tidak boleh berjaya kerana bersaing dengan banyak u lain
• Malaysia sudah cukup dengan doctor dalam masa terdekat
• Kaedah pengajaran yang tidak sesuai
• program ini merugikan KUIN

Semua tohmahan ini dibuat sebagai strategi pentadbir KUIN untuk menutup KMHS. Alasan ini diadakan kerana memberi kewajaran kepada keputusan itu, walau pun palsu. Sebab itu juga usaha membetulkan keadaan tidak berhasil kerana keputusan telah dibuat.

Usaha lain kearah menutup KMHS ialah:

• Henti gaji kepada kt Insan Medic
• Henti pengambilan pelajar baru sessi 2013

Bila pelajar sudah tiada, k/t sudah berhenti, maka yang tinggal ialah bangkai KMHS.

Dijual atau dilelong

Hasil terakhir kepada usaha menjahanamkan KUIN ini ialah menjual KMHS. Kalau sebelum ini dihebohkan bahawa program perubatan ini merugikan, tiba tiba bangkainya boleh pula dijual. Inilah yang dibeli oleh MAHSA. Kalau selama ini anda percaya propaganda BERSIH, anda terpaksa percaya bahawa orang orang MAHSA juga jahil kerana sanggup membeli benda yang tak bernilai.

KMHS ibarat kereta lama, dibeli oleh peniaga barangan lama dengan harga scrap. Sekarang kereta ini sudah dileraikan satu satu. Mana mana yang tidak sesuai dibuang. Mana mana yang berharga dicat semula dan dijual dengan jenama baru. Jenama baru ialah Fakulti Perubatan INSANIAH-MAHSA. Nama INSANIAH masih dipakai kerana nilai komersial. Ini strategi perniagaan. Jangan tidak tahu MAHSA ialah kolej swasta.

Komponan yang tidak berharga yang dibuang dari KMHS ialah subjek Al-Quran dan IRK yang saya sebut diatas. Perkara ini awal-awal sekali disebut oleh dekan MAHSA sewaktu memberi taklimat kepada pelajar dan waris. Yang tinggal adalah sabjek perubatan, sama seperti program MAHSA dan U lain.

Saudara Sanusi Md Noor menulis tentang bodohnya UMNO dan BN (KUIN) tidak mengambil pelajar perubatan yang kembali dari Mesir. Saya tidak setuju atas alasan saya sendiri. Sekarang KMHS INSANIAH tinggal nama. Orang KUIN tidak ada kuasa tentukan hala tuju pendidikan Fakulti perubatan INSANIAH-MAHSA. MAHSA tidak berminat dengan pelajar Mesir atas sebab RINGGIT.

Sebab utama mereka membeli KMHS pun sebab RM. Mengambil pelajar university lain adalah kerja rumit. MQA tidak akan membenarkan pelajar pindah dari satu university keuniversiti lain dengan mudah. Ada isu kurikulum dsb yang perlu diselesaikan. Bukan tugas MAHSA membantu pelajar ini. Lagipun pelajar yang buat medic di Mesir dikalangan anak orang yang budget terhad. Anak orang kaya akan masuk IMU, Taylor, Australian atau UK.

Selain dari nama INSANIAH yang digadai, lesen kursus perubatan juga dibeli oleh MAHSA. Sebenarnya inilah yang paling menguntungkan. Lesen ini sukar diperolehi. Ia membolehkan MAHSA menambah bilangan pelajar baru. MAHSA sudah pun mengeluarkan iklan pengambilan pensyarah baru untuk fakulti perubatan di Alor Setar.

INSANIAH menjadi gah kerana digandingkan dengan MAHSA, IPTS yang tersohor di Malaysia. Orang orang terentu yang gigih menutup KMHS tentu bersorak. Disinilah muncul watak pak kadok; ayam menang kampong tergadai. Kalau Pak Pandir bodoh dan lurus, Pak Kadok lebih teruk dari itu. Dia ini merosakkan negeri kerana dia tidak tahu apa yang dia tidak tahu. Dia merasa pandai, sebab itu dia memandai mandai.

Bersoraklah Sang Rajuna Tapa, dendam sudah terbalas.

Nukilan dari..
Double H

- TERKINI, kerana penjualan kepada MAHSA tidak mengukut prosedur. Kerana tindakan ini telah memalukan kerajaan BN, diswastakan pula Fakulti Perubatan kepada Kolej Universiti Sains Perubatan Allianze atau Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) yang juga merupakan sebuah kolej universiti perubatan swasta. Hajat BN ialah ... Jangan bair ada tinggalan jasa-jasa Ustaz Azizan yang rakyat boleh nampak.  Punggahlah KUIN! Batalkan apa yang boleh, Jual apa yang laku.

Sanggupkah orang Sungai Limau membiarkan saja ini terjadi, dan melibatkan banyak lagi perkara lain. Jom TOLAK BN!

Monday 21 October 2013

Ustaz Azam Yang Aku Kenali... Santun dan humble

Orangnya santun berbudi bahasa tinggi, tidak pernah bersuara keras, senang ketawa, mudah tersenyum, teratur bahasanya. Mudah ditegur, sering merujuk dan bertanya jika terasa kurang di mana-mana.

Dia menimba ilmu di Al-Azhar Mesir dan Syiria, ilmunya terjelma menyerlah dalam akhlaknya.
Saya mula merasi auranya ketika dia mengimamkan solat subuh pada pagi jumaat, sewaktu aktiviti tamrin Dewan Pemuda PAS Kedah di Masjid kampung saya sekitar tahun 2006. Suaranya lunak dan ringan membaca surah As-Sajadah dan Surah Al Insan, jarang sekali mendengar bacaan seumpamanya... Tidak terasa panjangnya surah-surah itu, kerana tarikan lunak suara dan kefasihan lafaz-lafaznya.

Ayahnya sudah kembali ke Rahmatullah, meninggalkan dia bersama ibu dan adik-adiknya. Dia penyayang seperti ibunya, yang pernah beberapa kali menyambut panggilan telefon...

"Assaamualaikummm! Nak cakap dengan Azam kaaa?"

"Ya mak cik, Azam ada mak cik"

" Maaf laa nak, Azam tak dakk, dia keluaq sat pi kedai. Nama anak ni sapa? Satgi dia balik mak cik suruh dia telepon balik"

"Saya Sanusi mak cik, kawan dia dalam dewan pemuda"

" Ooo... Sanusi yang telepon hari tuu... Ada hal mutahak ka Sanusi? Tak pa naaa, satgi mak cik bagitau Azam Sanusi telefon"

"Ok mak cik, Assaamualaikum!"

"Waalaikumussalammmm!"

Sebeum meletakkan telepon ibunya siap berpesan " Adik! Sat lagi abang balik bagitau dia Sanusi telepon dia, suruh dia telepon balik.

Telefon saya masih di telinga gara-gara sambutan keibuan yang sangat menarik di talian, sayang untuk ditamatkan.

Demikian ibunya, demikianlah Ustaz Mohd Azam! Maka, sepanjang dalam Dewan Pemuda, dia diamanahkan mengendalikan pengurusan Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) yang melibatkan 12,000 pelajar pra sekolah, ribuan guru dan pengelola PASTI seluruh Kedah. Sekolah-sekolah PASTI berkembang pesat dan teratur dibawah pimpinannya. Dia mewujudkan koperasi dan pusat jualan untuk menambah dana membantu guru-guru PASTI yang bergaji rendah. Majlis Guru PASTI  (MGP) aktif dan cergas merencana berbagai program dibawah kelolaaan Ustaz Azam. Pelajar makin bertambah, guru-guru makin ramai, kokurikulum juga semakin hebat.

Usaha pentingnya ialah membantu menambah pendapatan guru-guru tanpa membebankan waris dengan kenaikan yuran. Setiap kali meneliti dan mendengar laporan tentang PASTI, dada sebak dengan kesungguhannya, dan kepala menjadi berat membayangkan kepayahan yang ditempoh oleh Ustaz Azam dan warga PASTI. Sukar mencari orang yang memiliki kesanggupan bertaraf tinggi seperti Azam!

Ustaz Azam sebelum menjadi Ketua Pemuda Jerai, dia berkhidmat di banyak posisi sama ada dalam pemuda dan MTD. Dia sentiasa ada di markaz. Sepanjang saya berkhidmat dengan Ustaz Azizan Abdul Razak, yang juga ADUN dan YDP PAS Jerai, yang terkenal dengan 'cengey' dan tegas, sukar berkompromi dengan kesilapan dan sentiasa mahukan hasil tugasan yang paling baik....Ustaz Azizan tidak pernah meninggikan suara dengan Ustaz Azam, di depan atau belakangnya.

"Azam tu budak baik tuuu..."
" Azam tu budak betoiii, beraluihh dengan orang tua-tua..."

Pada waktu lain, Ustaz Azizan menzahirkan belas kasihnya kepada Ustaz Azam....
"Kesian Ustaz Azam tuu...ayah dia tak dak dah... Nak urus menikah kahwin nanti tentu susah...nasib dia macam aku la jugak lahh! Untunglah siapa dapat menantu macam dia...orangnya baik sangat-sangat."

Ustaz Azam Samat telahpun dipilih memikul amanah menjadi calon PAS bagi menggantikan Allahyarham Ustaz Azizan. Sg Limau bertuah, dan masyarakatnya bakal beruntung sekali lagi kerana kelahiran susuk-susuk hebat ini dari buminya, menumpahkan khidmat dan limpahan anugerah Allah kepada watannya. Dialah pengganti Ustaz Azizan yang menghampiri kesempurnaan, dari semua sudut - kecuali Ustaz Azam tidak garang! Dia paling cocok dengan Sg Limau yang pernah mengirimkan TG Hj Yahya Joned, TG Ustaz Azahari dan Ustaz Azizan ke Dewan Undangan Negeri Kedah. Mereka semuanya adalah tokoh ilmuan dan aset besar kepimpinan di Kedah.

Sehingga kini, selepas bersahabat bertahun-tahun, Ustaz Azam masih memanggil saya "Abang Sanusi" walaupun jarak usia kami hanya dua tahun. Bertuahlah ibunya, adik-adiknya, sahabatnya, pimpinannya dan masyarakat yang bakal dipimpin oleh Ustaz Azam....Calon PAS DUN Sg Limau. Semoga dia tabah dan berupaya mengharungi amanah besar ini untuk ummah. Siiru 'ala barakatillah.



Sunday 13 October 2013

Catatan Dato' Profesor Dr Ismail Ibrahim

(Dato' Dr Ismail Ibrahim bekas Ketua Pengarah IKIM, Duta Besar Ke Arab Saudi, Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, bekas Dekan dan Pensyarah Di UKM.)

AZIZAN telah meninggal pada 26 September 2013 setelah berjuang melawan penyakitnya selama beberapa bulan dalam dua hospital, Pulau Pinang dan Alor Setar.

Saya melawatnya ketika dia berada di hospital Pulau Pinang, tetapi hanya dapat melihatnya melalui cermin dari luar bileknya, kerana dia hanya baru dua tiga hari masuk hospital, tidak sedar dan amat kritikal.

Pada petang hari itulah kedua-dua belah kakinya dipotong kerana jangkitan kuman.

Saya pergi melihatnya semula di Hospital Pulau Pinang (HPP). Dia telah sedar, dan hanya mampu tersenyum melihat saya, tanpa berkata sesuatu.

Kali ketiga, saya pergi melawatnya di Hospital Alor Setar.

Dia mampu tersenyum melihat saya, namun saya tidak mendengar suaranya, dan saya juga tidak mampu menahan kesedihan, lalu segera meminta izin dan meninggalkannya.

Lawatan saya di Hospital Alor Setar ini mengingatkan saya ke saat kesunyian dan keghaibannya tidak sedarkan diri  ketika saya melihatnya di HPP pada 7 Mei 2013 dan senyumannya yang mulai terukir di bibirnya ketika saya melihatnya kali kedua di hospital yang sama sebelum dia dibawa pulang ke Hospital Alor Setar.

Kini dia meninggalkan banyak kenangan kepada semua orang yang mengenalinya, dan saya mulai dapat mengimbas kembali kehidupan kami ketika bersama-sama belajar di Maahad Mahmud atau Maktab Mahmud Alor Setar dulu.

Dia "junior" saya 4 atau 5 tahun di Maktab Mahmud.

Ketika bertemu akhir-akhir ini, sebelum terlantar di hospital, dia juga pernah mengingatkan kembali saat-saat manis ketika kami berada di Maahad, tinggal di pondok, makan tengah hari berlaukkan gulai Mak Jah, bergurukan Ustaz Noh yang suka berjenaka, Ustaz Saad yang bersuara garau, Syaikh Adnan yang lemah lembut dan berbagai kenangan lain, termasuk pengetua Maahad, Shaikh Halim yang membawa kemodenan di sekolah Arab kami ini.

Kami sekali lagi bertemu di Mesir sebagai pelajar di Universiti Al-Azhar, termasuk pelajar-pelajar dari Kedah keluaran Maahad, Yusuf Ismail, Zainon Embun, Shaikh Abdul Razak, Fadhil Nor dan lain-lain.

Akhirnya kami berpisah buat sementara, kerana masing-masing meneruskan pengajian. Dia melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) dalam bidang undang-undang Islam di Kent University dan saya ke St. Andrews Universiti melanjutkan pengajian saya di peringkat ijazah PhD.

Ketika saya kembali ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semula, dia telah pun bertugas sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam dan sekali lagi kami bertemu.

Dia serius mengajar, suaranya nyaring, kadang-kadang pemanas dan amat kuat berhujah di dalam Mesyuarat Fakulti, termasuk ketika saya menjadi dekan dan mempengerusikan Mesyuarat Fakulti.

Tetapi dalam menegakkan hujah dan pandangannya dengan suara yang tinggi dan kelihatan panas itu, sebenarnya dia amat banyak bergurau dan menggelikan hati dengan cerita-cerita lucunya, serta gelak ketawanya yang melembutkan semula hatinya dan cara percakapannya.

Itulah orangnya, Allahyarham Azizan Abdul Razak yang saya kenali selama jangka masa yang agak lama itu, dengan kelucuan dan sikap seriusnya, tetapi ternyata bahawa dia adalah seorang yang amat komited terhadap pendidikan dan pelajaran, terutamanya ketika mengajar di UKM.

 Dia pernah dipinjamkan ke Mindanau State Universiti, Filipina, dan ketika dia berada di sana dia pernah mengundang kami dari Fakulti Pengajian Islam, Riseap dan Perkim, untuk mengambil bahagian dalam Kongres di sana anjuran universiti tersebut.

Saya turut ke sana menghadiri persidangan tersebut, dan ternyata bahawa dia mempunyai karier akademik dan kepimpinan yang berkualiti, kerana dia amat dihormati oleh kawan-kawan sekerjanya di dalam universiti tersebut.

Ketika menyertai politik secara aktif, dia masih menghayati kehidupan berilmunya yang mantap, dan sentiasa mempunyai kualiti kepemimpinan yang mementingkan ilmu pengetahuan.

Ketika menjadi Menteri Besar Kedah, dia mempelawa saya menjadi anggota Lembaga Pengarah Insaniah.

Saya mengajaknya melupakan ideologi politik di dalam institusi akademik ini, dan dia menyebut kepada saya bahawa dia sememangnya tidak mencampur adukkan antara politik kepartian dengan program akademik Insaniah ini.

Dia menganjurkan beberapa kali persidangan antarabangsa di Langkawi dan mengundang Tun Mahathir sebagai pembicara Ucapan Utama, kemudian bergurau dan duduk bersama dengan Tun dalam persidangan akhbar serta minuman teh. Amat mesra sekali.

Sikapnya yang terbuka dan profesional dalam kerjaya politik dan pemimpin akademik, menjadikan Azizan sentiasa lahir sebagai seorang yang berilmu dan berakhlak, menghayati nilai-nilai Islam yang tinggi, disamping mengendalikan tugasnya dengan adil dan saksama.

Kematiannya disambut dengan rasa sedih dan dukacita oleh kawan dan lawan, iaitu kawan dan lawan dalam politik, tetapi mungkin keseluruhan kawan dan lawannya tidak merasa terguris dengan sebarang permusuhan, kerana sepanjang ingatan saya, dia tidak pernah bermusuh dengan orang secara peribadi, dan tidak mengecam batang tubuh orang lain secara melulu.

Ketika saya melawatnya, selama tiga kali, saya selalu mendoakan agar dia sembuh segera, kerana tanpa kaki, kita tidak merasa rugi sedikit jua pun, kerana pemikiran dan pengetahuannya tidak terjejas dengan kehilangan kakinya,

Tetapi ALLAH SWT lebih berkuasa dan ALLAH sentiasa mentakdirkan sesuatu yang terbaik bagi hamba-NYA, maka Tan Sri Azizan, dipanggil-NYA terlebih dahulu, kembali kepada-NYA dengan aman dan damai.

Semoha ALLAH mencucurkan rahmat-NYA ke atas roh Allahyarham Ustaz Azizan...

 Al-Fatihah...

 Innalillah wa inna ilaihi raji'un.

* Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim


Catatan Awal Dr Ismail Ibrahim pada Mei 2013.

USTAZ AZIZAN ABDUL RAZAK: TIDAK ADA PILIHAN

Saya baru balik dari menziarahi sdra Dato' Seri Di Raja Ustaz Azizan  Abdul Razak , bekas MB Kedah, di hospital Pulau Pinang hari ini.. Saya masuk ke biliknya di Unit Rawatan Rapi kira-kira jam 2 petang. Dia terlentang di atas katil, mungkin tidur, kerana ditidurkan oleh ubat pemberian doktor, lalu saya tidak dapat menegur atau memberi apa-apa isyarat kepadanya, sebaliknya saya hanya berdoa dan memberikan salam kepadanya dalam senyap..

Saya keluar duduk di luar wad, dan melihat ramai sekali sahabat handai yang menunggu untuk masuk menjenguknya. Semua wajah kelihatan muram, tidak dapat mengukir senyuman seperti biasa ketika teman dan taulan bertemu beramai-ramai. Semuanya mungkin hanya dapat membayangkan di dalam kepala masing-masing betapa Azizan, yang semasa sehatnya amat periang, suka berjenaka, berseloroh, tetapi kini terlentang dalam sepi, tidak menyedari segala-segalanya yang berlaku di sekelilingnya.

Saya mendapat tahu dari sumber perubatan, bahawa penyakit beliau yang amat kritikal ialah jangkitan kakinya, yang telah merebak ke kedua-dua belah kakinya, dan keracunan darahnya itu jika dibiarkan akan merebak ke badannya, kejantungnya, yang amat membahayakan.

Ketika saya berbual dengan Ustaz Taib Azamuddin yang baru tiba ketika itu, saya memberitahunya tentang perkara ini, dan bertanyakan pandangannya apakah yang sepatutnya kita nasihatkan keluarganya tentang perkara ini, kerana para doktor memperakui supaya kaki Azizan di potong.

Bila Ustaz Taib masuk ke dalam, dia menceritakan kepada kaum keluarganya tentang perbincangan kami, iaitu untuk menyelamatkan Azizan, maka mereka seharunya mendengar nasihat doktor.

Ketika saya pulang ke KL, di dalam pesawat yang sama dari Pulau Pinang, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menceritakan  kepada saya, bahawa semasa lawatannya ke wad Azizan tadi, dia telah mengadakan perbincangan yang serius dengan ahli keluarga dan para doktor pakar, serta memberikan nasihat supaya melakukan sesuatu mengikut nasihat doktor, dan keputusannya para ahli keluarga telah bersetuju dengan cadangan itu, seperti yang diumumkan oleh pegawai peribadi Ustaz Azizan.

Keputusan ini sebenarnya bukanlah satu perkara mudah yang boleh dibuat. Gambaran yang dapat dibayangkan di dalam kepala para ahli keluarga, termasuk kita sendiri, sebagai teman rapatnya, mengheret ledakan emosi yang amat memilukan. Tetapi doktor yang mendalami pengetahuan perubatannya, dan telah mengalami perkembangan penyakit yang sama, tentulah lebeh mengetahui akan keadaan ini.

Saya pulang ke KL pun sebenarnya dengan perasaan yang berbelah bagi, berkecamok dengan kesedihan dan harapan, tetapi saya bersetuju dengan langkah doktor, bahawa hidup inil mestilah diteruskan, manusia bukan hanya hidup dan tampil dalam membangunkan diri dan keluarganya, bangsa dan negaranya, hanya dengan kekuatan dan kesempurnaan fizikalnya sahaja, malah kekuatan pemikiran dan minda, serta ilmu pengetahuan itulah yang merupakan sumbangan manusia yang paling berharga.

Kehilangan kedua belah kaki tidak bereerti bahawa hidup ini telah sampai ke penghujungnya, malah kekuatan kerohaniah dan pemikiran itulah yang lebeh penting untuk dimanfaatkan oleh masyarakat seluruhnya.

Dalam sepi inilah kita berdoa semoga pembedahannya selamat, dan apa bila tiba masanya, Ustaz akan bangun semula, walau pun bukan dengan kakinya yang asli, tetapi dengan kekuatan maknawinya sendiri...

Kita semua tentu mengingati Firman Allah SWT : Demi sesungguhnya akan kami ujikan kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, dan jiwa, serta hasil tanaman, dan  berilah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa kesusahan, mereka berkata:"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali" Al-Baqarah ayat 155-156

Allah Maha Besar.

.
Posted by Ismail Ibrahim at 5/09/2013 10:02:00 PM

Ustaz Azizan Dalam Kenangan Profesor Salleh Buang...

Profesor Salleh Buang

Kali pertama saya bersua muka  dengan Tan Sri Azizan Abdul Razak adalah pada akhir tahun 1985 atau awal tahun 1986. Ketika itu saya bertugas sebagai Timbalan Dekan di Kulliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Petaling Jaya. Beliau pula bertugas di Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Matlamat pertemuan awal itu adalah membincangkan rancangan lawatan kami (bersama beberapa orang tokoh ilmuan lain) ke Universiti Mindanao di selatan Filipina dan beberapa daerah berdekatan yang dihuni oleh penganut Agama Islam di negara itu (termasuklah Marawi City).

Azizan  “ketua misi lawatan” kami memandangkan dia pernah menjadi tenaga pengajar di pusat pengajian tinggi itu. Jika tidak kerana inisiatif Azizan, saya tidak akan berpeluang menjejakkan kaki ke selatan Filipina dan melihat dari dekat cara hidup orang Islam bangsa Moro di negara itu.

Hubungan kami bertambah erat selepas itu apabila dia menjadi tenaga pengajar di UIA. Kemampuan Azizan menguasai tiga bahasa (Melayu, Inggeris dan Arab) serta latar belakang akademiknya di Universiti Azhar Mesir (peringkat ijazah pertama) dan Universiti Kent United Kingdom (peringkat pasca ijazah)  menjadikannya aset amat bernilai kepada universiti kami.

Malangnya persahabatan kami terputus selepas dia meninggalkan menara gading untuk menumpukan khidmatnya dalam arena politik (sejak awal lagi kita memang sudah maklum dia penyokong kuat PAS) dan saya turut meletakkan jawatan dan kembali ke bidang guaman saya yang asal.



Pada akhir tahun 1996, apabila saya sekeluarga berhijrah ke Kedah, dan disebabkan itu terpaksa sering berulang alik dengan pesawat udara dari lapangan terbang Kepala Batas Kedah ke Subang (sebelum lapangan terbang KLIA beroperasi) untuk urusan kerja. kami sering berjumpa dan berbual – sama ada ketika menunggu hendak berlepas atau semasa dalam penerbangan.

Pada ketika itu, Azizan sering diiringi ketuanya, Allahyarham Dato Fadzil Noor (Presiden PAS). Pada masa itu, saya masih aktif lagi menyumbangkan makalah undang-undang ringan setiap minggu kepada kolum “Peguam Menulis” di Utusan Malaysia.  Saya tahu bahawa Azizan sering membaca ruangan itu, memandangkan dia juga ada latarbelakang perundangan.

Pada satu ketika, sewaktu kita hendak mendarat di lapangan terbang Subang, Azizan ada bertanya kepada saya apakah saya tidak berminat menulis bagi akhbar Harakah, selain menulis untuk Utusan Malaysia? Saya jawab, sambil ketawa, “Nantilah dulu. Saya fikirkan”.

Walaupun selepas itu kita sering berjumpa dan berbual, topik ini tidak pernah ditimbulkannya lagi. Saya rasa dia faham rasa hati saya dan menghormati pendirian saya.

Apabila saya kenang kembali isi perbualan kami  sejak mula kenal sehinggalah dia akhirnya menjadi Menteri Besar Kedah, saya sedar bahawa  jarang sekali topik perbualan kami menyentuh isu politik. Isu undang-undang, isu kemasyarakatan, isu sejagat – ya. Isu politik kepartian – amat jarang sekali.



Pada ketika itu lagi saya sudah dapat rasakan bahawa Azizan bukan ahli PAS biasa. Dia ada potensi yang lebih besar dari itu. Saya tidak sangka apabila saya keluar negara menjalankan tugas rasmi di Brunei pada tahun 2008, dia diberi peluang oleh Yang Maha Berkuasa untuk mentadbir Negeri Kedah Darul Aman.

Saya kembali ke Kedah dari Brunei dua hari selepas PAS merampas Kedah dari BN. Sebelum saya meninggalkan negara (seminggu sebelum PRU12), saya dapat rasakan “mood” orang Kedah dan  sudah dapat meramalkan BN akan jatuh kecuali satu “miracle” (keajaiban) akan berlaku.

Tiga minggu selepas Azizan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah oleh Sultan Kedah, saya (bersama seorang sahabat lain, Dato Abdul Wahab) membuat kunjung hormat di pejabatnya di Wisma Darul Aman. Selepas menunggu kira-kira setengah jam di ruang menunggu, kami dibenarkan masuk ke pejabatnya.

Biasanya kalau rakyat biasa (“orang kecil”) datang menemui “orang besar” seperti Menteri, Menteri Besar, ataupun Ketua Jabatan / Ketua Setiausaha Kementerian / CEO syarikat besar dan ternama di pejabatnya, “orang besar” itu akan terus duduk di kerusinya, tanpa bangun tanda hormat, bila tetamunya masuk ke pejabatnya.

Apabila mengundang tetamunya untuk duduk dikerusi yang disediakan pun, “orang besar” itu tidak akan bangun berdiri untuk menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan. Dia akan berjabat tangan sambil duduk sahaja.

Pada petang saya berkunjung ke pejabat Azizan itu, sebaik sahaja saya mengucapkan salam sewaktu masih ada di pintu (disambutnya dengan salam juga dari dalam), dia terus bergegas bangun dari kerusinya, mara ke depan mendapatkan saya dan kami terus bepelukan dengan penuh mesra. Ini menjadi amalan biasa kita antara sahabat semenjak zaman di UIA lagi. “Syukur kepada Allah,” kata hati kecil saya pada ketika  itu, “Azizan masih belum berubah”.



Kami berbual mesra macam biasa, seolah-olah seperti berada di universiti dulu. Saya masih ingat lagi soalan saya yang pertama setelah mengucapkan tahniah kepadanya kerana dilantik sebagai Menteri Besar Kedah. Saya tanya apakah dia ada baca komen saya mengenai perlantikannya dalam ruangan mingguan saya di akhbar New Straits Times? Jawapannya memeranjatkan dan menyedihkan saya.

Katanya jadual hariannya kini amat padat sekali, hinggakah tidak ada masa langsung hendak baca akhbar harian. Jadi dia minta maaf kerana tak sempat baca apa yang saya tulis. Saya nasihatkan padanya dia mesti ada suatu pegawai khas yang membantunya membaca semua akhbar (cetak atau di talian) dan bahan-bahan lain yang penting, dan kemudian menyediakan ringkasan untuk memaklumkannya pada awal pagi.

Sebagai pemimpin negeri, dia tidak boleh ketinggalan (atau tak tahu) perkembangan semasa – baik di peringkat negeri, negara atau global.

Dalam pertemuan lebih satu jam pada petang itu, di peringkat akhir pertemuan kami, dia memperkenalkan saya kepada seorang ahli Exco negeri yang baru dilantik bersamanya. Azizan berusia tiga tahun lebih muda dari saya, dan ahli Exco yang diperkenalkan kepada saya ini jauh lebih muda dari Azizan. Walaupun tidak disebut secara rasmi, orang ini de facto dilihat sebagai Timbalan Menteri Besar Kedah.

Saya tidak sangka bahawa orang inilah yang di kemudian hari menjadi “musuhnya dalam selimut” serta  duri dalam dagingnya. Disebabkan “perpecahan dalaman” parti PAS akibat tindak tanduk orang ini dan pengikut-pengikutnya, kerajaan PAS Kedah akhirnya dapat ditumbangkan oleh BN dalam PRU13. Tapi itu cerita lain untuk kemudian hari.

Selain pertemuan awal di pejabatnya itu, saya berpeluang menemuinya dan bersembang dengan Tan Sri Azizan beberapa kali di beberapa tempat sebelum dia jatuh sakit. Kali terakhir kita dapat berbual panjang adalah di dalam pesawat udara MAS sepanjang perjalanan pulang dari KLIA ke Alor Setar.

Pada satu hari saya terserampak dengannya di sebuah kedai makan di tepi jalan utama ke Kuala Kedah. Di masa lampau saya dan isteri memang pernah berkunjung ke kedai itu untuk menikmati ikan bakarnya. Saya tidak sangka bahawa kedai itu juga sering dikunjungi Azizan sejak zaman dia menjadi ADUN lagi. Kata pekedai, Azizan sering singgah di situ selepas melawat kawasannya.

Setelah melihat kehadirannya di situ, saya tinggalkan isteri buat sementara dan bersembang dengannya selama kira-kira 10 minit. Selepas itu saya minta diri lalu kembali ke meja asal kita untuk makan bersama isteri, dan saya tinggalkan dia dengan temannya (barangkali pembantu atau pemandunya). Setengah jam kemudian Azizan menghampiri kami untuk memaklumkan kami dia terpaksa pergi dulu kerana ada kerja lain. Saya kata “OK. YB. Nanti kita jumpa lagi”.

Setengah jam kemudian, setelah selesai makan dan saya pergi ke kaunter bayaran, seorang wanita yang duduk di kaunter itu berkata kepada saya “Datuk MB dah bayar”.

Itulah dia Azizan yang saya kenal. Sentiasa mesra. Pemurah. Baik hati.

Semoga Allah SWT cucuri rahmatNya kepada roh Allahyarham.

____________________________

* Tulisan ini pertama kali terbit di Malaysia Gazette
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.

Berita mula diterbitkan pada: September 28, 2013 09:00 (MYT)


Read more at: http://www.astroawani.com/election/news/show/azizan-selamanya-sahabat-sejati-salleh-buang-22897?cp

Thursday 3 October 2013

Kasih Sayang Merentasi Sempadan: Hanya Jauhari Mengenal Manikam

1. Kasih Sayang Merentasi Sempadan

Rabu, 14 Ogos 2013, Ustaz Azizan (UA) melakukan perjalanan pertamanya sejak di masukkan ke wad di Hospital Besar Pulau Pinang, juga yang terakhir sewaktu hayatnya. Ambulan bergerak perlahan, lembut penuh santun membawa seorang insan berjasa melintasi jambatan sekitar jam 10.30 pagi. Tiga buah kereta mengekori di belakang. Aku , Muhammad Rafi'iy (anak), Helmi Khalid dan Mazlan dalam sebuah kereta diekori Muzaini, Bukhari dan Muhammad  Izzatul Islam (anak), dan Pajero dipandu Abg Ghani di belakang mereka.

Sampai di Hospital Sultanah Bahiyah sekitar jam 12:00 tengahari, terus dibawa ke wad ICU di tingkat 3. Pengarah hospital, Dato' Dr Juwita menyambut di lobi, mengiringi UA dan kami ke kamar terakhir yang disinggahi.

"Kita di mana ni?" UA bertanya dengan gerakan bibir tanpa suara. " Kita dah sampai tanah tumpah darah Ustaz. Kita dah sampai Alor Setar. Ini Hospital Sultanah Bahiyah. Kita dah masuk Kedah semula setelah cukup-cukup 100 hari di Penang." "Alhamdulillah!" Katanya lalu tersenyum, rasanya dia gembira kerana berjaya pulang ke negeri yang dicintainya.

"Ustaz, sempena 100 hari, hari ni  BN buat sambutan depa rampas Kedah, depa lancarkan UTC - Urban Transformation Center, program Kerajaan Pusat". Aku melanjutkan.

"Depa buat apa dah? Tanya ustaz.

"Tak nampak apa lagi Ustaz, hanya nampak dok panas di KUIN".

"Depa buat apa (dengan KUIN)? Juai?" Dia menekan kerongkongnya supaya suaranya didengari, wajahnya berkerut. Aku berpaling melihat Muzaini dan Helmi, cuba mendapatkan pandangan sama ada patut bercerita atau tidak. Mereka selamba sahaja, seperti berkata "teruskan!"

"Depa tak ada orang macam Ustaz, tak ada yang faham tentang universiti. Depa punggah ikut dan saja. Dr Jamil dah berhenti, mungkin ramai lagi yang akan berenti juga." UA nampak seperti terkejut.

"Kata Dr Jamil, depa mai Kedah nak tolong Ustaz bangunkan KUIN, ramai profesor lain pun macam dia juga. Bila Ustaz dah tak ada, depa dah hilang selera nak bekerja". Dahinya makin berkerut. "Cukup lah Ustaz, nantilah kita sembang lagi. Ustaz kena berehat, tadi berjalan jauh".

UA menggamit supaya mendekatinya lagi. Tangannya memberi isyarat mahu aku terus bercerita. Mungkin hatinya belum puas tentang nasib anak buahnya "Berapa orang kena buang kerja, depa buang orang dak?" Itulah Ustaz Azizan, tebal kasihnya kepada semua, walaupun dirinya sedang bertarung dengan ketidakpastian.

Aku menyambung. "Dato' Latifah, Pendaftar KUIN dah ditamatkan kontrak. Dato' Shabudin di MBI pun dah tamat kontrak bulan Julai baru ni, tak disambung lagi. Lantikan zaman kita di GLC pun diarahkan berhenti. Yang masih ada mungkin tak lama dah". UA merenung ke atas. Aku cuba meneka ada yang berlegar di fikirannya. "BN tak punya jiwa seperti kita"!!!??

Sewaktu mula menjadi Menteri Besar, terdapat desakan yang kuat kepadanya "membersihkan" GLC dan beberapa pos strategik lantikan zaman BN dan pegawai-pegawai yang kuat berkempen untuk BN. Desakan dari banyak pihak untuk menukar pegawai, memecat, mengganti dan menekan telah ditolaknya berlapik kasih sayang.

"Kalau kita ambil tindakan pecat orang serta merta, tukar orang itu ke sana sini, saya takut kita berlaku zalim. Depa mungkin ada anak atau ibu bapa yang sakit, dengan gaji tu lah depa beli ubat dan rawat keluarga depa. Dengan duit yang depa bawa balik itulah anak depa ke sekolah, bayaq sewa rumah. Apa akan jadi kalau tiba-tiba depa hilang kerja, terpisah suami isteri anak beranak, kena tukaq. Kita marah kat depa, anak isteri depa tak salah apa-apa. Ingat! Doa orang dizalimi tiada hijab". Ada sepotong hadis yang sering diulang dalam ucapannya. "Cintailah siapa yang ada di bumi supaya kamu akan dicintai oleh makhluk yang berada di langit”. (At-Thibrani).

Namun pendiriannya ini kurang difahami, malah  membuahkan penentangan dan kritikan keras. Ada tuduhan dia terlalu lembut dengan musuh dan bengis dengan kawannya sendiri. Hingga ada yang mengingatkannya tentang ayat Al-Quran (Al-Maidah:54) bersabit sikap dengan kawan dan musuh. Reaksinya ringkas. "Suruh depa mengaji bagi habih dulu tentang ayat tuu...".

Seingat saya tidak ada sesiapapun yang diberhentikan atas dasar politik, (kecuali yang berhenti sendiri), hanya ada  tindakan diambil kerana kes lain mengikut undang-undang. Itupun terhadap pegawai yang dilantik di zaman PR. Ada kes seorang pegawai lantikan politik, tidak produktif agak lama. UA sering merungut dan marah bila kami berdua atau bertiga. Aku diam kerana mereka berdua pernah rapat.  Dia juga mengulangi beberapa kali depan Pak Chop ( Dato' Mohd Yusof Husin). Mesyuarat tertinggi parti yang dipengerusikan UA memutuskan pegawai itu tidak disambung kontrak lagi. Tiba masanya, pegawai itu mengadapnya membawa surat mohon disambung, UA serba salah, dia luluskan juga.

Sebaik keluar pegawai itu dari biliknya, dia memanggil aku. " Aku minta maaflah kat hampa semua, aku tak dapat tunaikan keputusan mesyuarat. Aku tak sampai hati. Aku terkenangkan anak, isteri dan mak ayah dia. Aku sambung kontrak dia setahun lagi. Kalau ada sesiapa boleh tolonglah nasihat dia kerja lah elok-elok."

Disebalik sikapnya yang dikatakan terlalu tegas dan keras, tersembunyi lautan kasih sayang yang melimpah ruah. Hanya yang sabar dan memahami, tahu menilai dan menghargai, akan terasa sejuknya limpah kasihnya kepada insan lain. Kata Mat Suji seorang kawan lamanya di Chepir, Sik. UA kena mengambil sikap seperti itu kerana hatinya terlalu baik. "Kalau dia tak cengey,  tak ada apa lagi untuk dirinya sendiri."

2. Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Dalam tempoh dua minggu selepas dipindahkan dari Hospital Besar Pulau Pinang ke Alor Setar, Ustaz Azizan (UA) sentiasa segar dan ceria. Di Hospital Sultanah Bahiyah, dia mula bercakap dan mengeluarkan suara, apabila tiub saluran pernafasan dilehernya ditutup, walaupun belum ditanggalkan. Dia mula makan melalui mulut selain susu melalui tiub di saluran hidungnya.

"Sehari dua lagi ayah dah boleh pindah ke wad biasa. Wad biasa tak ada mesin hemodyalisis. Abang Sanusi pi la sembang-sembang tengok, bagitau kat Ayah pasai nak buat dyalisis ayaq tu, rawatan jenis tu doktor kata sesuai untuk ayah." Kata Muhammad Rafi'iy anaknya. Doktor mencadangkan prosedur baru rawatan untuk buah pinggang melalui dyalisis air, menggantikan dyalisis darah. Aku tak tahu istilah perubatannya, tapi itulah penjelasannya.

Teknologi baru yang memerlukan mesin khas dan airnya yang perlu dibeli, boleh dibawa ke mana sahaja, boleh dilakukan di rumah sambil berehat, makan atau membaca. Cuma ia memakan masa yang panjang, 10 jam setiap hari berbanding prosedur dyalisis darah selama 4 jam, tiga kali seminggu  yang meletihkan fizikal UA. Aku tak sempat menyelesaikan tugasan ini.

Khamis 22 Ogos, Dato' Wira Dr Jamil Othman (bekas Rektor KUIN) meminta aku menunggu di hospital untuk menerima lawatan rakan lama UA dari Arab Saudi, Dato' Profesor Dr. Abdul Hamid AbuSulayman. Tokoh ternama dalam dunia pendidikan dan pemikiran Islam itu adalah bekas rektor UIAM (1989-99) sewaktu UA menjadi pensyarah sambilan di UIAM. Waktu aku sampai, Dato' Wira Syed Ismail Syed Azizan, bekas Ketua Polis Kedah yang kini menjawat Ketua Siasatan Jenayah Komersial sedang menanti untuk melawat di ruang menunggu. UA sedang menjalani prosedur medical dressing yang melibatkan sedikit ubat bius yang menjadikan dia lali.

Prof Dr. Hamid yang bertongkat tiba dengan Dato' Dr. Jamil  dan beberapa orang profesor dari KUIN. Tokoh pemikir dunia Islam berusia 77 tahun itu terbang dari Riyadh, Arab Saudi untuk menziarahi UA, membawa senaskah Al-Quran dan sekotak buah kurma. Ada aura terserlah pada tokoh itu. Lama dia merenung UA yang terpejam di katil, terpancar belas kasih kesayuan di wajahnya. "Ustaz! Ini kawan Ustaz mai! Dr Abdul Hamid AbuSulayman, dari Arab Saudi." Aku mengejutkan UA.  Dia membuka mata. Prof Hamid merapati katil dan membongkok merenung UA.

Prof. Dr Hamid berbicara sendirian dengan UA dalam bahasa Arab dan Inggeris. UA mengangguk dan tersenyum, kemudian memejam mata kemudian celik beberapa kali. Masih terkesan dengan ubat bius agaknya. "Saya membawa hadiah ini khas untuk kamu Ustaz Azizan, kurma ini dari ladang di Madinah. Ini Al-Quran, nanti kamu boleh membacanya. Saya doakan kamu cepat sembuh, InsyaAllah kamu akan segera pulih".  

Dr Jamil bertanya beberapa perkara kepada Kak Faekah yang berdiri di sisi UA dan memberi penerangan kepada Prof Hamid. Kak Faekah memaklumkan kesan prosedur dressing dan dia belum sedar 100 peratus. Prof Hamid seperti ingin berbual panjang, tetapi kondisi UA tidak mengizinkan. "Kalau mai waktu petang sikit, tentu dia sembang macam-macam". Kata Kak Faekah.

Sebelum berlalu, Prof Hamid membongkok, mencium dahi sahabatnya itu agak lama, sambil mengusap kepala UA. "Saya berdoa kamu cepat sihat. Banyakkan bersabar dan berzikir. Perjuangan masih jauh, dunia Islam masih memerlukan khidmat kamu, kami semua merindui kamu". Kata Prof Hamid dalam bahasa Inggeris. Dia berpaling kepada Dr Jamil. " He is a great scholar, he is a graet leader. Ummah seeking a leader like him." Lebih kurang demikian kalam Inggeris pelat Arab Prof Hamid  sebelum beredar mengesat lelehan air mata yang berjurai.

Kata Dr Jamil, Prof Dr Abdul Hamid sangat menyanjungi UA sejak dulu lagi, mereka kawan rapat ketika sama-sama di UIA. Dia telah lama bercadang menziarahi UA tetapi tertangguh. Walaupun bertongkat, digagahi juga terbang untuk menziarahi sahabatnya yang terlantar.

Beberapa hari kemudian, aku cuba mencari siapakah tokoh yang begitu menghormati UA itu di internet. Aku menemuinya di laman The Global Muslim Brotherhood Daily Report (globalmbreport) dan beberapa laman catatan lain. Laman islamicscholar.blogspot.com menulis tentang Prof Dr. Abdul Hamid, antaranya seperti berikut.

He is also known as the introducer of  a knowledge movement  named “Islamization of Knowledge”.... He was the Secretary General of the World Assembly of Muslim Youth (WAMY) for seven years (1973-79) and the Chairman of  Department of Political Science at King Saud University, Riyadh, Saudi Arabia, for two years  (1982 -84).

Dr. Abu Sulayman is the founding member of The Association of Muslim Social Scientists (AMSS, 1972), and its former President (1985-87). Presently he is the Rector of the International Islamic University (IIU), Malaysia and Chairman of the Board, trustee, former president, and founding member of the International Institute of Islamic Thought (IIIT).

Pada pertengahan tahun 2008, Dalam suatu perbualan, aku hampir lemas dengan asakan dan kritikan seorang sahabat yang aku kira mewakili alirannya, tentang sikap, tindakan dan pendekatan UA sebagai Menteri Besar. Banyak yang dinilai negatif. Akhirnya aku memberikan jawapan spontan. "Aku sudah banyak menjawab argument yang hang bangkitkan, aku minta maaf kalau tak mampu  bagi seketoi jawapan untuk hang puas hati malam ni. Jawapan akhir  aku untuk hang simpan...Hang akan memahami dan reti menghargai apa yang UA buat sebagai MB Kedah daripada PAS yang pertama, selepas dia sudah tak dak lagi (mati), hang kena tunggulah waktu itu". Jawapan tertangguh utnuk 5 tahun...

Aku berdoa sahabat itu sudah mendapat jawapan yang memuaskan hatinya, apabila dia membuka mata hatinya di petang yang redup dan sayu, pada tanggal 26 September 2013. Kata pepatah, 'Hanya Jauhari Mengenal Manikam'.