Monday 14 April 2014

Akujanji BN PRU13: Bandaraya Getah Atau 'Kena Getah'!

Akujanji BN Kedah PRU13: Bandaraya Getah Kota Putra Padang Terap.... Mana Dia?



Apa Maksud Bandar Getah (rubber city)? 
Yang sahihnya, bukanlah seluruh bandar itu dibina dengan getah, jalannya daripada getah, rumah kedainya daripada getah, super marketnya daripada getah. juga tandas awam, pasar, pejabat kerajaan, stesen bas, dewan, sekolah, universiti, surau, masjid dan periuk belanga, maupun LRT getah, monorel getah, pencakar langit getah dan jambatan getah! Bukan! Pasti bukan ini maksudnya Bandar Getah yang dijanjikan itu. Rubber City juga bukanlah 'raba Siti'!!
Saya rasa, bandar getah yang BN jnjikan itu ialah menjadikan Padang Terap sebuah kawasan yang pesat membangun dan maju sehingga mencapai tahap bandar - dengan adanya kemajuan yang pesat dalam sektor getah! Ataupun sekurang-kurang jadilah Padang Terap  'Bandar Bergetah!'


Apakah Ciri-ciri Bandar Getah?
Bukan sahaja ada banyak pokok getah di Padang Terap Bandar Getah itu, tapi akan ada kilang memproses getah, industri berasaskan getah seperti kilang tayar, kilang tilam, kilang kondom, kilang sarung tangan, kilang permainan kanak-kanak dan 'orang dewasa' dan macam-macam lagi- semuanya berasaskan getah, seperti dalam kepala pemimpin BN yang menabur janji  pilihanraya ke 13 itu.
Oleh kerana BN tidak menjelaskan apakah ciri-ciri Padang Terap yang akan menjadi bandar getah itu, tak ada sesiapapun selain dari pemimpin BN yang membuat janji itu tahu, apakah rupabentuk sebenar Padang Terap setelah berstatus bandar getah.
Ada apa di Padang Terap?
Di daerah itu sekarang memang ada banyak pokok getah dan orang motong!  Motor ronggeng belemoih  dan pick-up 'piang' ala-ala lori hantu mengangkut sekerap, banyak mundar mandir di jalan dan lorong.  Selain mereka, ada juga kilang gula dan ladang tebu yang semakin mengecil. Tebu untuk gula lebih banyak dieksport kerana lebih murah daripada ditanam sendiri. 
Ada pintu sempadan baru di Kota Putra, Padang Sanai yang menghubungkan Malaysia (Kedah) dengan Thailand, sudah boleh dilalui, tetapi belum wujud sebarang pekan seperti Danok, Padang Besar, Wang Kelian atau Betong pada masa ini. Kalaupun ada, hanya orang 'pelari' benih getah dan sekerap Malaysia-Thailand-Malaysia! 
Mengapa Padang Terap mahu di'Bandar- Getah'kan?

Ada apa dengan daerah itu hingga hendak dibandarkan bersandar kepada getah? Mungkin ada tanah ladang tebu yang luas saujana mata memandang, dan tanah-tanah baru puluhan ribu ekar (22 atau 32 ribu ekar) diberikan kepada TRADEWINDS (M) Sdn Bhd, syarikat milik konglamerat Syed Mokhtar Al-Bukhari, sejak zaman BN dulu lagi.
Kilang gula itupun milik Syed Mokhtar, bukan 'Gula Padang Terap' lagi, tapi gula Syed Mokhtar! Tanah-tanah ini mungkin akan ditanam dengan getah? 
TRADEWINDS memiliki  bank tanah seluas 151,850 hektar semuanya,  87,515 hektar di Sarawak, 11,302 hektar di Sabah, dan 53,039 hektar lagi di Semenanjung Malaysia. Sebahagiannya di Padang Terap. Tapi core bisnessnya ialah kelapa sawit!

Sewaktu proses memberikan tanah kepada Tradewinds zaman Syed Razak hingga zaman Tok Det, puluhan orang kampung yang memugar tanah dihalau dan dituduh menceroboh. Mereka meneroka hutan menanam getah dan dusun. Ada yang membina rumah dan membuka kampung, mencari tapak mendirikan kediaman membesarkan anak dan mencari sesuap rezeki. 

Sewaktu kerajaan bertukar pada 2008, proses milikan oleh Tradewinds sudah selesai, dan tak ada apa-apa boleh dibuat untuk mengembalikan tanah itu kepada peneroka kecil-kecilan orang kampung yang daif. Banyak usaha dan cubaan dibuat, tidak berjaya! Kecuali dengan membayar balik belanja puluhan juta syarikat itu.

Apa Nikmat Bandar Getah kepada Orang Kampung?

Kalau kita abaikan saja hal orang-orang kaya ini dengan khazanah melimpah ruah milik mereka, dan merenung kepada orang-orang kampung penoreh getah di Padang Terap, apakah faedah bandar getah dalam Akujanji BN Kedah itu kepada mereka?

Pada masa ini, harga sekerap ialah RM2.10 sekilo, dan ikan temenung dijual RM12- RM15 sekilo di Pasar Malam Lubuk Merbau. Dengan pendapatan sebulan RM300-500, apakah nasib mereka dalam bandar getah nanti?
Soalan yang lebih mustahak ialah, apakah nasib mereka sekarang? Anak-anak ke sekolah atau tidak? Anak beranak yang sakit mampu berubat di klinik atau harapkan jampi sahaja? Beras di rumah ada atau tidak? Mampukah meraka  meneruskan 'kehidupan' sehingga wujudnya bandar getah di depan mata.

Apakah mereka akan diambil bekerja di kilang sarung tangan, kilang kondom, kilang tayar, atau kilang proses sekerap menjadi SMR20? Apa pula syarat menjadi buruh atau operator di kilang, adakah sama dengan syarat menjadi penoreh? Tentu tidak!

Dengan harga sekerap yang makin menjunam, dengan kos kehidupan, pendidikan, minyak, pengangkutan dan kesihatan yang kian memuncak, apa makna bandar getah kepada orang kampung di sana?


Ada Dah Jadi?
Hari ini, tiada siapapun yang nampak rupa paras dan batang hidung bandar getah, selepas setahun Akujanji BN dilafazkan oleh pemimpin berbaju merah dan biru, sambil menjerit-jerit menjulang tangan dan meluruskan telunjuk ke atas.
Saya hanya ternampak pemimpin UMNO/BN dari Padang Terap tersenyum tersengih dalam surat khabar, Badrul Hisham berjaya menjadi Exco, Tok Li jadi Pegawai Khas PM dan Tok Det jadi  Timbalan Menteri. Cyber trooper yang kipas mereka siang malam meneruskan budaya fitnah, jadi tukang caci maki! Hidup tidak berubah pun!

Ada juga dua tiga orang 'pembawa beg' pemimpin dari Padang Terap melabun di wisma, bersembang deras di cafe dan restoren berbincang tentang projek dan 'masyuukk', tentang pemilihan dan kedudukan. Bandar getah tak pernah 'tercuit' atau terpacul pun dalam borak-borak pemimpin!

Kena Getah!

Saya rasa orang Padang Terap sebenarnya 'kena getah', nasib mereka dilantun-lantun macam bola getah, dan lidah pemimpin BN makin 'elastik', seolah-olah diperbuat daripada getah di kilang sekerap di pinggir 'bandar getah'! Bersiap untuk membuat janji baru pulaaaa...

Sebulan dua ini, malah sejak Julai 2013, sekerap sangat murah, orang motong serba susah, sengsara derita. Bukan lagi nak berbandar-bandar, nak teruskan berkampung pun susah! Pemimpin yang menjerit-jerit menjanjikan bandar getah dulu itu sepatah haram pun tak bersuara, berdehem pun tidak. Selop kera!

Ada usaha rakyat berhimpun bersuara menuntut kerajaan berbuat sesuatu, dia conteng pulak rumahnya sendiri untuk memalit warna hodoh kepada orang, cuba-cuba memancing pihak keselamatan gagalkan himpunan. Jadinya seperti pencuri menjerit Pencuri! Pencuri! Yang best lagi, dia ajak orang berYaHaNaNa dekar-dekat tu jugak!! Alahaiiii!!!
Sejak dijanjikan bandar getah kepada orang-orang di Padang Terap, ada bezakah dengan orang Baling, Sik, Merbok, Jerlun, Kubang Pasu, Sungai Petani, Kulim, Pendang, Langkawi, Yan, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah dan Padang Serai? Sama saja!

Saturday 5 April 2014

Deklarasi Baling 2014: Himpunan Derita Rakyat 2.0

Deklarasi Baling 2014 Sempena Himpunan Derita Rakyat 2.0

Empat puluh tahun lalu, bumi Baling ini telah memahat sejarah, membuka mata tentang keperitan derita rakyat, sengsara dihiris kemiskinan. 

Selepas empat dekad berlalu, tatkala kerajaan gah melaungkan slogan-slogan kejayaan, berbangga tentang pantasnya kemajuan dan pesatnya pembangunan, rakyat sebenarnya kian terhimpit dan tertekan. 

Derita rakyat makin parah dengan lonjakan kos sara hidup, peningkatan memuncak harga keperluan asas, bebanan kenaikan tarif elektrik dan bekalan air, saban tahun semakin berat.

Tidak memadai dengan pengurangan subsidi, rampasan royalti, kenaikan kos insuran, pengangkutan, perubatan dan pendidikan tinggi, rakyat dipaksa berkorban lagi dengan kemunculan GST.

Semua ini menambah sengsara, khususnya golongan penoreh dan pekebun kecil getah yang sedang terjerumus dalam kesukaran yang tiada kesudahan, akibat pendapatan mereka tidak lagi dapat menampung kos kehidupan harian;

Kesejahteraan rakyat terus merosot apabila harga komoditi getah di ladang  dibiarkan terus menjunam. Jurang  pendapatan makin melebar antara penoreh dan pekebun kecil dengan pengilang, pemborong, dan syarikat-syarikat milik agensi yang bertanggunjawab menguruskan sektor ini;

Tiada jaminan, tanpa rancangan pembelaan, manipulasi berleluasa, agensi dan syarikat menjadi super kaya, penoreh getah terus menerus sengsara.

MAKA, Peserta Himpunan Derita Rakyat  2.0, pada tanggal 5 April 2014, di Kupang, Baling Kedah Darul Aman, menegaskan bahawa:

1. Pembangunan Tanpa Kenaikan Kos.
Pembangunan negara tidak lagi berteraskan kenaikan kos sara hidup yang dipaksakan ke atas rakyat, sebaliknya wajib berasaskan pemimpin yang amanah, pengurusan bebas rasuah, peningkatan integriti, kecekapan agensi dan anti kebocoran dan keborosan.

2. Harga Lantai RM4.00/kg.
Penetapan harga lantai  komodoti getah di ladang pada kadar RM4 sekilogram harus dilaksanakan segera. Kadar ini wajar  kerana kos pengeluaran sebenar yang ditanggung oleh penoreh/pekebun kecil adalah sebanyak RM3.20 sekilogram. 

3. Caj Kilang Dikawal oleh Kerajaan.
Kos pengilangan getah yang terlalu tinggi tidak boleh ditanggung oleh pekebun kecil sepenuhnya, sebaliknya ditentukan dengan campurtangan kerajaan melalui pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang. Kadar maksima caj pengilang sewajarnya tidak melebihi RM1.00/kg, dikongsi bersama oleh pengilang dan pengeluar.

4. Sukatan DRC Secara Saintifik.
Dried Rubber Content (DRC) harus ditentukan secara saintifik. Lembaga Getah Malaysia (LGM) wajib menguatkuasakan penggunaan tolok penyukat DRC untuk mengelak manipulasi harga akibat penentuan kadar DRC berdasarkan andaian oleh peraih dan pengilang. 

5. Hentikan Pemotongan Cukai Ses.
Pemotongan cukai ses, yang mengakibatkan pekebun kehilangan sebahagian pendapatan mereka wajar ditamatkan. Kos penyelididikan dan tanaman semula getah tidak boleh dibebankan kepada pekebun kecil melalui cukai ses, sebaliknya dana untuk tujuan ini diperuntukan daripada sumber lain.

 6. Subsidi Tanaman Semula Getah.
Bantuan tanaman semula getah diberikan sebagai subsidi, seperti yang dinikmati oleh pesawah dan nelayan. Malahan subsidi telah lama dinikmati oleh banyak sektor lain termasuk sektor industri tenaga. 

7. Subsidi Baja.
Selaras dengan kepentingan industri berasaskan komoditi getah, dan sumbangan besar sektor ini kepada pembangunan rakyat dan negara Malaysia, kerajaan wajar memberikan subsidi baja selama 25 tahun kepada semua pekebun kecil bagi memastikan produktiviti pokok getah dapat dikekalkan selama ia dapat memberikan pulangan kepada pekebun kecil.

8. Penentuan Harga Tidak Dikawal Spenuhnya Oleh Pengilang.
Mekanisme penentuan harga SMR20 tidak lagi hanya bergantung kepada  tawaran harga pengilang-pengilang yang menganggotai Panel Penasihat Harga LGM, tetapi harus mengambiilkira kos dan kesan yang ditanggung oleh penoreh dan pekebun kecil.

9. Reformasi Agensi 
Agensi-agensi yang ditubuhkan untuk menguruskan industri getah dan membantu pekebun kecil dan penoreh harus dirombak, kembali berfungsi selari dengan matlamat penubuhannya. Agensi agensi kini telah dilihat lebih berorentasikan perniagaan dan keuntungan mereka sahaja. 

10. Rombakan Kepimpinan Pertubuhan Kebangsaan Pekebun Kecil Getah.
Pertubuhan dan persatuan yang mewakili pekebun dan penoreh tidak boleh dibiarkan menjadi lubuk meraih pengaruh, habuan dan kuasa politik, sehingga ia berubah menjadi wakil pihak industri dan agensi, daripada fungsi sebenar menyuarakan tuntutan pekebun kecil.


Dimeterai di Himpunan Derita Rakyat 2.0, Baling Kedah Darul Aman
5 April 2014 / 5 Jamadil Akhir 1435