Sunday 2 March 2014

Perihal Harga Sekerap, Orang Motong, Agensi Superkaya dan Kementerian Lembab...




Perihal Getah Sekerap, orang motong, agensi superkaya dan kementerian lembab...

Senario 1


Pada waktu ini, orang motong (penoreh) dan tuan kebun (pekebun kecil getah) tidak mengeluh sendirian. Turut melengung ialah peniaga pasar malam, penjaja, pekedai runcit dan peraih sekerap (SMR20). Turut terbabit menahan lapar di sekolah dan mencipta berbagai bagai alasan  dengan cikgu-cikgu yang meminta macam-macam bayaran ialah anak- anak penoreh yang menitik air liur di kantin dan tebal mukanya di kelas.

Dalam situasi yang semakin panjang ini, harga bahan keperluan asas tidak menunjukkan tanda akan turun, malah makin memanjat tangga menjauhi kemampuan orang kampung. Ikan temenung di pasar malam Beris Jaya, Rabu lalu mencecah RM12 sekilo, minggu sebelumnya RM10, sebelumnya tiada seekor temenung pun dijual di semua 'kaunter'. Perit dengan harga sebelumnya RM15 sekilo, peniaga pun bimbang temenung pecah perut di tekan-tekan tapi tak dibeli.

Aku sampai jam 9.15 malam, peniaga sudahpun melipat meja dan payung. "Barang habih dah ka bang?" Aku cuma bertanya. "Malam ni bawak sikit jaa..orang tak ramei, kalau ramei pun, dema lalu saja , tapi tak beli".

Pasar malam Beris Jaya antara yang terbesar di Sik, selalunya jam 11:00 malam, barulah pengunjung susut. Minggu lepas aku singgah jam 10 malam, hanya 'kaunter' ikan saja yang tinggal. Ikan temenung lemak RM10 sekilo, aku ambil beberapa ekor penuh seraga kecil. Ikan kedera sekilo, sedap kalau digoreng. Boleh makan banyak ekor sekali dengan sisiknya. Tiba-tiba terliur kepala ikan nyok-nyok untuk digulai, saya ambil seketul dibelah dua. Semuanya Rm45 ringgit, aku tergamam, terus balik.

Minggu ini kena beli ayam dan ikan juga, kalau boleh untuk stok seminggu. Modal dalam poket ada RM70 pemberian seorang cikgu yang menjadi bini tersayang. Dengan modal sebanyak itu, hanya mampu beli ikan temenung sekilo, seekor ayam, secekak sotong, sepapan telur dan seraga sayur. Boleh tahan dua tiga hari saja kalau banyak ini.....Lepas beli apam balik dua keping, aku meraba kepingan dalam poket hanya tinggal beberapa keping saja, lembik! Tentu duit seringgit. Ini untuk anak-anak ke sekolah esok!

Dalam langkah ke moto di tepi jalan, berselisih dengan seorang kenalan lama. "Mu beli pa malam ni?" Aku menyapa. "Ni dok pakai topi ni..satni ada polis lalu dok kacau suruh pakai topi! Lama dah dok mari sini, tak besa polis dok kaco, pakai baju biasa pulak tu!" Dia merungut keras.

Aku sengaja merenung ke dalam bakul motornya. Kosong! "Mu baru sape ka"? Saja nak bertanya. " Dak eyy! Nak kelek dah nii, dok perati polis satni dok tang mana tak thu!" Katanya sambil matanya melilau, seperti tak mahu memandang aku. "Dah nak kelek buat pa lagi ikan tak beli, cari bini tak jamu nasik!" Aku bergurau seperti selalu. Dia memandang telur dan sayur yang tersangkut di handle motor aku, dengan pandangan "semacamm". "Ambo polis ni tak dak tepat leng dah ka nak takap orang!" Dia merungut lagi pasal polis.

"Jong aku nak kelek lu Nusi oo... Aku saja mari yaa, saja tengok-tengok barang. Sekerap tak dan jual lagi, hat jual dua hari sudah beda budak sekolah yaa.." Dia terus melintas jalan, membuat pusingan 'U' dan memecut.

Aku tertunduk sambil memutar kunci motosikal. Aduhh! Silap dah aku bertanya tadi. Patutlah dia mengajak aku bercakap pasal polis, rupanya cuba mengelak, dia tak beli apa-apa untuk dibawa pulang. Anak-anaknya makan apa malam ini? Dalam perjalanan balik itu, fikiran bersimpang siur tentang keadaan orang motong dan harga getah sekerap. Dia mewakili senario semasa kelompok orang motong. Timbul rasa seperti mahu berpatah balik memberi telur separuh papan kepadanya, atau setengah kilo ikan temenung, tapi aku tak pasti yang mana satu rumahnya diantara 600 rumah dalam Beris Jaya itu. Allah! Berapa puluh berapa ratus orang yang ke pasar malam tadi yang sepertinya? Patut lah peniaga lipat meja awal malam ni....

Ini cuma satu kisah diantara jutaan kisah waktu ini... Sudah berlarutan sejak hujan mencurah bulan Julai 2013 hingga hari ini 2 Mac 2014....

bersambunggggg!














No comments:

Post a Comment