Sunday 10 November 2013

Interview Harakah Bil 1893 (7-10 Muharram/ 14 Nov 2013)

Interview Dengan Izuan Abd Halim, Wartawan Harakah dalam keluaran Bil 1893 7-10 Muharram (14Nov 2013).

1. BN nampaknya mengerah seluruh media untuk memberi kelebihan pada publisiti mereka khususnya media arus perdana. Apa komen saudara?

Jawapan 1

Ketidakadilan akses kepada media utama adalah kelaziman politik yang 'sah' dalam demokrasi di Malaysia. Senario ini bukan baru dan semua rakyat tahu. walaupun bermacam-macam bantahan kecaman dan teguran dibuat, ia masih tidak berubah malah makin berleluasa. Media utama sudah jadi tembok besar yang melindungi BN, pada bila-bila masa akan digunakan untuk memberi persepsi paling buruk kepada pembangkang. Kita bersedia awal untuk menghadapinya.

2. Ketika sama mereka juga memberi imej sangat negatif kepada PAS. Bagaimana jentera penerangan pimpinan saudara telah menanganinya?

Jawapan 2

Kebenaran akan datang juga walaupun lambat. Media utama boleh terus berbohong dan berat sebelah, lambat laun akan terdedah juga.  Kami aplikasikan sepenuhnya media internet, guna berbagai kaedah, walaupun sukar kerana kos dan akses yang belum menyeluruh, ia sangat membantu.

Kami diarahkan untuk 'mengepong' dan mengekalkan jumlah undi yang diterima oleh PAS dalam PRU13 sebelum ini. Inilah strategi dan matlamat yang ditentukan. Oleh yang demikian, Kempen dan penerangan PRK kali ini lebih memberi fokus kepada pertemuan secara lansung antara jentera kempen dengan pengundi kita. Kita fokus kepada ziarah dan kunjungan terus ke rumah, ke kedai kopi, ke mana sahaja ada pengundi. Semua pemimpin utama dan penceramah diminta membuat ziarah dan kunjungan di sebelah pagi dan petang sebelum berceramah di waktu malam.

Penerangan juga bergantung kepada medium tradisi iaitu ceramah untuk menyampaikan maklumat dan menjawab propaganda BN. Di PRK Sg Limau, tidak kurang 120 majlis ceramah dan forum diadakan dalam masa 11 hari berkempen. Ceramah yang disusun di tentukan dulu isu dan lokasinya.

Kami membuat kajian dan andaian awal apakah isu yang akan dimainkan oleh BN, apakah isu yang paling rapat dengan pengundi, apa yang pengundi patut tahu, dan isu yang berkesan untuk kawasan ini. Kami tidak mahu ceramah menjadi medan melepas geram sahaja, tetapi ia mesti spesifik dan objektif.

Kajian-kajian awal dan pengalaman banyak membantu menetukan apakah isu yang releven dan lokasi yang strategik. Untuk itu, penerangan menyiapkan kit panduan untuk penceramah supaya matlamat itu dapat dicapai.

Banner, billboard dan risalah juga mendadi alat yang berkesan. Kami  rancang dan mengawal dengan teliti bahan-bahan bercetak suoaya ia selarai dengan strategi kempen yang ditetapkan.

Penerangan juga ingin merakam penghargaan kepada akhbar harian yang masih memberi ruang kepada PAS dan PR seperti Sinar Harian, dan tentunya Harakah sebagai akhbar PAS dan akhbar parti PKR dan DAP.

Saya dimaklumkan edaran Sinar Harian adalah yangbtertinggi di Kedah, mencecah 46 ribu naskah setiap hari, berbanding Utusan dan Berita Harian sekitar 10 hingga 11 ribu sahaja. Ini baik untuk bisness akhbar, dan ia  patut memberi petunjuk kepada akhbar yang berat sebelah untuk berubah.

3. Didapati BN berjaya membuat pertambahan undi. Adakah bermakna penerangan PAS yang digerakkan masih gagal mengubah kecenderungan pengundi BN?

Jawapan 3.

Sg Limau adalah kawasan pilihanraya yang unik dan kompleks. Sejarah dan pendekatan politik sebelumnya membentuk segmen-segmen pengundi yang berbeza dengan kawasan lain.

Kami bekerja berdasarkan startegi dan matlamat yang ditentukan oleh parti, mengekalkan pengundi tradisi (46%) dan meraih sebanyak mungkin undi atas pagar. Kajian kami mendapati sekitar 10% daripada jumlah pengundi, adalah pengundi atas pagar yang akan mengundi berdasarkan pendekatan kempen yang dijalankan oleh parti.

Jika diambilkira jumlah pengundi yang keluar seramai 23,177 orang, BN hanya berjaya menambah 465 undi tambahan dengan menggunakan seluruh jentera parti, jentera kerajaan negeri dan persekutuan, media utama, pemberian kewangan dan tawaran-tawaran projek yang dibuat, saya rasa ia tidak berbaloi.

Jumlah itu hanya sekitar 20% daripada jumlah pengundi dalam segmen atas pagar (2,317 orang). Saya rasa jentera penerangan PAS/PR sudah cukup efisyen dalam mencapai matlamat yang ditetapkan dengan memperolehi 52% undi keseluruhan.

Undi PAS berkurang disumbangkan oleh jumlah kegagalan pengundi PAS di luar kawasan untuk pulang kerana hari bekerja, dan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah.


4. Sebagai individu yang sangat rapat dengan Almarhum Ustaz Azizan, ada pandangan menyatakan penonjolan karismatik Almarhum adalah doktrin yang saudara tekankan pada saingan PRK ini. Sejauh mana imej tersebut boleh terus di bawa dalam politik Kedah?

Jawapan 4.

Faktor Ustaz Azizan memang kuat mempengaruhi undi di Sg Limau. Lima penggal menjadi wakil rakyat mereka bukanlah waktu yang singkat untuk diketepikan begitu saja. Kajian yang dijalankan oleh pengkaji juga merumuskan bahawa faktor 'Ustaz Azizan' memberi kesan yang besar kepada pengundi.

Ustaz Azizan dalam pembentukan persekitaran sosio-politik Sg Limau, dan pencapaian yang ditempa di bawah pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kedah sudah menjadi 'institusi' yang besar. Sebagai seorang tokoh pemimpin, dia sudah mencapai tahap seorang lagenda. Pengaruhnya tidak boleh dinafikan.

Ia jelas dapat dilihat pada pendekatan BN sekalipun, yang cuba meraih kesan daripada pengaruhnya. Mereka sedaya upaya cuba dilihat mencontohi pendekatannya, baik dan mesra dengan Ustaz Azizan, meskipun pada masa lalu mereka menentangnya.

Pengalaman bersama beliau dan memahami sedikit sebanyak pendekatannya di Sg Limau membantu menentukan strategi kempen dan pendekatan penerangan di PRK Sg Limau.

Dalam konteks politik Kedah, pencapaian yang luar biasa dalam serba kesukaran, dan pendekatannya sebagai pemimpin unggul sewaktu menjadi MB akan terus releven untuk menghadapi Barisan Nasional. Lima tahun pemerintahan PAS/PR di bawah pimpinannya sentiasa segar sebagai perbandingan dengan pencapaian BN selama beberapa puluh tahun.

5. Apa keberkesanan gerak kerja penerangan pada PRK ini yang saudara lihat boleh dikemaskini dan diperkasakan atau diperbaharui oleh seluruh jentera penerangan PAS ke arah menghadapi PRU14?

Jawapan 5.

Saya berpendapat strategi dengan pendekatan yang fokus pengundi secara spesifik- bukan fokus isu yang popular - wajar diperkemaskan. Kajian awal yang objektif, sasaran yang jelas dan strategi yang betul akan membantu jentera kempen dan penerangan merangka aktiviti yang berkesan.

Semua medium penyampaian maklumat digerakkan secara agresif dengan pelbagai pendekatan, bagi mencapai set matlamat yang sama. Ia harus dikemudi oleh individu yang memiliki kepakaran yang khusus. Melambakkan terlalu banyak tugas pada seorang dua tenaga penting akan melambatkan kerja penerangan.

Saya rasa ini aspek pengurusan penerangan yang mustahak untuk diberi perhatian. Ziarah bertemu pengundi secara berdepan lebih efisyen daripada menghabiskan banyak sumber menjalankan aktiviti yang boleh dilaksanakan pada waktu lain. Ini patut menjadi aktiviti utama pada masa akan datang.

Saya rasa amat mustahak untuk kita menyediakan set isu yang releven dengan sosio-politik setempat sebagai panduan tenaga penerangan, walaupun tidak popular, tidak sensasi tetapi ia menyentuh semua segmen pengundi di situ.

Kami di PRK Sg Limau menyediakan kit khas kepada penceramah, mengandungi pelbagai  isu yang sesuai, rekod-rekod pencapaian, risalah dan artikel yang spesifik, bahan-bahan yang dibina sesuai dengan kelompok pengundi. Kami menggariskan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dibangkitkan mengambilkira semua faktor.

Kami sediakan bahan yang sesuai untuk program ziarah dari rumah ke rumah, dan memberi taklimat isu dan hujjah sebagai panduan perayu undi.  Penting untuk tenaga kempen dan penerangan faham siapa audien dan mad'u mereka. Saya rasa aspek ini perlu diperkemaskan lagi pada masa akan datang.

Secara keseluruhan, kami telah mendapat arahan yang jelas, memahami serta dapat menterjemahkan strategi yang ditentukan oleh pengarah Jkuasa Induk PRK , Dato' Hj Mahfuz Omar yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah. Ini sangat penting untuk memilih pendekatan yang sesuai dalam kerja-kerja kempen dan penerangan.

No comments:

Post a Comment