Sunday 13 October 2013

Ustaz Azizan Dalam Kenangan Profesor Salleh Buang...

Profesor Salleh Buang

Kali pertama saya bersua muka  dengan Tan Sri Azizan Abdul Razak adalah pada akhir tahun 1985 atau awal tahun 1986. Ketika itu saya bertugas sebagai Timbalan Dekan di Kulliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Petaling Jaya. Beliau pula bertugas di Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Matlamat pertemuan awal itu adalah membincangkan rancangan lawatan kami (bersama beberapa orang tokoh ilmuan lain) ke Universiti Mindanao di selatan Filipina dan beberapa daerah berdekatan yang dihuni oleh penganut Agama Islam di negara itu (termasuklah Marawi City).

Azizan  “ketua misi lawatan” kami memandangkan dia pernah menjadi tenaga pengajar di pusat pengajian tinggi itu. Jika tidak kerana inisiatif Azizan, saya tidak akan berpeluang menjejakkan kaki ke selatan Filipina dan melihat dari dekat cara hidup orang Islam bangsa Moro di negara itu.

Hubungan kami bertambah erat selepas itu apabila dia menjadi tenaga pengajar di UIA. Kemampuan Azizan menguasai tiga bahasa (Melayu, Inggeris dan Arab) serta latar belakang akademiknya di Universiti Azhar Mesir (peringkat ijazah pertama) dan Universiti Kent United Kingdom (peringkat pasca ijazah)  menjadikannya aset amat bernilai kepada universiti kami.

Malangnya persahabatan kami terputus selepas dia meninggalkan menara gading untuk menumpukan khidmatnya dalam arena politik (sejak awal lagi kita memang sudah maklum dia penyokong kuat PAS) dan saya turut meletakkan jawatan dan kembali ke bidang guaman saya yang asal.



Pada akhir tahun 1996, apabila saya sekeluarga berhijrah ke Kedah, dan disebabkan itu terpaksa sering berulang alik dengan pesawat udara dari lapangan terbang Kepala Batas Kedah ke Subang (sebelum lapangan terbang KLIA beroperasi) untuk urusan kerja. kami sering berjumpa dan berbual – sama ada ketika menunggu hendak berlepas atau semasa dalam penerbangan.

Pada ketika itu, Azizan sering diiringi ketuanya, Allahyarham Dato Fadzil Noor (Presiden PAS). Pada masa itu, saya masih aktif lagi menyumbangkan makalah undang-undang ringan setiap minggu kepada kolum “Peguam Menulis” di Utusan Malaysia.  Saya tahu bahawa Azizan sering membaca ruangan itu, memandangkan dia juga ada latarbelakang perundangan.

Pada satu ketika, sewaktu kita hendak mendarat di lapangan terbang Subang, Azizan ada bertanya kepada saya apakah saya tidak berminat menulis bagi akhbar Harakah, selain menulis untuk Utusan Malaysia? Saya jawab, sambil ketawa, “Nantilah dulu. Saya fikirkan”.

Walaupun selepas itu kita sering berjumpa dan berbual, topik ini tidak pernah ditimbulkannya lagi. Saya rasa dia faham rasa hati saya dan menghormati pendirian saya.

Apabila saya kenang kembali isi perbualan kami  sejak mula kenal sehinggalah dia akhirnya menjadi Menteri Besar Kedah, saya sedar bahawa  jarang sekali topik perbualan kami menyentuh isu politik. Isu undang-undang, isu kemasyarakatan, isu sejagat – ya. Isu politik kepartian – amat jarang sekali.



Pada ketika itu lagi saya sudah dapat rasakan bahawa Azizan bukan ahli PAS biasa. Dia ada potensi yang lebih besar dari itu. Saya tidak sangka apabila saya keluar negara menjalankan tugas rasmi di Brunei pada tahun 2008, dia diberi peluang oleh Yang Maha Berkuasa untuk mentadbir Negeri Kedah Darul Aman.

Saya kembali ke Kedah dari Brunei dua hari selepas PAS merampas Kedah dari BN. Sebelum saya meninggalkan negara (seminggu sebelum PRU12), saya dapat rasakan “mood” orang Kedah dan  sudah dapat meramalkan BN akan jatuh kecuali satu “miracle” (keajaiban) akan berlaku.

Tiga minggu selepas Azizan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah oleh Sultan Kedah, saya (bersama seorang sahabat lain, Dato Abdul Wahab) membuat kunjung hormat di pejabatnya di Wisma Darul Aman. Selepas menunggu kira-kira setengah jam di ruang menunggu, kami dibenarkan masuk ke pejabatnya.

Biasanya kalau rakyat biasa (“orang kecil”) datang menemui “orang besar” seperti Menteri, Menteri Besar, ataupun Ketua Jabatan / Ketua Setiausaha Kementerian / CEO syarikat besar dan ternama di pejabatnya, “orang besar” itu akan terus duduk di kerusinya, tanpa bangun tanda hormat, bila tetamunya masuk ke pejabatnya.

Apabila mengundang tetamunya untuk duduk dikerusi yang disediakan pun, “orang besar” itu tidak akan bangun berdiri untuk menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan. Dia akan berjabat tangan sambil duduk sahaja.

Pada petang saya berkunjung ke pejabat Azizan itu, sebaik sahaja saya mengucapkan salam sewaktu masih ada di pintu (disambutnya dengan salam juga dari dalam), dia terus bergegas bangun dari kerusinya, mara ke depan mendapatkan saya dan kami terus bepelukan dengan penuh mesra. Ini menjadi amalan biasa kita antara sahabat semenjak zaman di UIA lagi. “Syukur kepada Allah,” kata hati kecil saya pada ketika  itu, “Azizan masih belum berubah”.



Kami berbual mesra macam biasa, seolah-olah seperti berada di universiti dulu. Saya masih ingat lagi soalan saya yang pertama setelah mengucapkan tahniah kepadanya kerana dilantik sebagai Menteri Besar Kedah. Saya tanya apakah dia ada baca komen saya mengenai perlantikannya dalam ruangan mingguan saya di akhbar New Straits Times? Jawapannya memeranjatkan dan menyedihkan saya.

Katanya jadual hariannya kini amat padat sekali, hinggakah tidak ada masa langsung hendak baca akhbar harian. Jadi dia minta maaf kerana tak sempat baca apa yang saya tulis. Saya nasihatkan padanya dia mesti ada suatu pegawai khas yang membantunya membaca semua akhbar (cetak atau di talian) dan bahan-bahan lain yang penting, dan kemudian menyediakan ringkasan untuk memaklumkannya pada awal pagi.

Sebagai pemimpin negeri, dia tidak boleh ketinggalan (atau tak tahu) perkembangan semasa – baik di peringkat negeri, negara atau global.

Dalam pertemuan lebih satu jam pada petang itu, di peringkat akhir pertemuan kami, dia memperkenalkan saya kepada seorang ahli Exco negeri yang baru dilantik bersamanya. Azizan berusia tiga tahun lebih muda dari saya, dan ahli Exco yang diperkenalkan kepada saya ini jauh lebih muda dari Azizan. Walaupun tidak disebut secara rasmi, orang ini de facto dilihat sebagai Timbalan Menteri Besar Kedah.

Saya tidak sangka bahawa orang inilah yang di kemudian hari menjadi “musuhnya dalam selimut” serta  duri dalam dagingnya. Disebabkan “perpecahan dalaman” parti PAS akibat tindak tanduk orang ini dan pengikut-pengikutnya, kerajaan PAS Kedah akhirnya dapat ditumbangkan oleh BN dalam PRU13. Tapi itu cerita lain untuk kemudian hari.

Selain pertemuan awal di pejabatnya itu, saya berpeluang menemuinya dan bersembang dengan Tan Sri Azizan beberapa kali di beberapa tempat sebelum dia jatuh sakit. Kali terakhir kita dapat berbual panjang adalah di dalam pesawat udara MAS sepanjang perjalanan pulang dari KLIA ke Alor Setar.

Pada satu hari saya terserampak dengannya di sebuah kedai makan di tepi jalan utama ke Kuala Kedah. Di masa lampau saya dan isteri memang pernah berkunjung ke kedai itu untuk menikmati ikan bakarnya. Saya tidak sangka bahawa kedai itu juga sering dikunjungi Azizan sejak zaman dia menjadi ADUN lagi. Kata pekedai, Azizan sering singgah di situ selepas melawat kawasannya.

Setelah melihat kehadirannya di situ, saya tinggalkan isteri buat sementara dan bersembang dengannya selama kira-kira 10 minit. Selepas itu saya minta diri lalu kembali ke meja asal kita untuk makan bersama isteri, dan saya tinggalkan dia dengan temannya (barangkali pembantu atau pemandunya). Setengah jam kemudian Azizan menghampiri kami untuk memaklumkan kami dia terpaksa pergi dulu kerana ada kerja lain. Saya kata “OK. YB. Nanti kita jumpa lagi”.

Setengah jam kemudian, setelah selesai makan dan saya pergi ke kaunter bayaran, seorang wanita yang duduk di kaunter itu berkata kepada saya “Datuk MB dah bayar”.

Itulah dia Azizan yang saya kenal. Sentiasa mesra. Pemurah. Baik hati.

Semoga Allah SWT cucuri rahmatNya kepada roh Allahyarham.

____________________________

* Tulisan ini pertama kali terbit di Malaysia Gazette
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.

Berita mula diterbitkan pada: September 28, 2013 09:00 (MYT)


Read more at: http://www.astroawani.com/election/news/show/azizan-selamanya-sahabat-sejati-salleh-buang-22897?cp

No comments:

Post a Comment