Saturday 24 August 2013

Pernah Hilang Dompet??

Pernah kehilangan dompet?

Aku ada dompet lama yang masih dipakai hingga sekarang. Dompet yang sudah hilang warnanya ini berjenama Camel - lebih banyak warna hitam, bertompok-tompok, walaupun warna asalnya ialah coklat cerah, mungkin kulit lembu dari Argentina atau Australia. Beberapa poketnya sudah koyak. Penarik zipnya sudah putus, semuanya ternganga saja bila dibuka. Tapi ia serasi dengan poket belakang seluar aku.

Nilainya RM99.00 waktu ia dibeli tahun 2005, di beli di Langkawi. Beberapa kali dompet ini tersalah letak. Puas mencari menyelongkar, berhenti mengingat, mencari lagi. Puas bertanya anak isteri di rumah, tanya kawan-kawan yang bermusafir bersama atau satu pejabat. 

Kata mak mertua, kalau dada berdebar kencang, dompet itu betul-betul hilang. Kalau cari tak jumpa-jumpa, tapi dada tak berdebar, dompet tu tak hilang, hanya salah letak. Cari lagi! Katanya.

Masa mula sedar dompet tiada dalam poket, perasaan bimbang menerpa. Tapi belum seberapa. Bila memikirkan apa yang ada dalam dompet, kebimbangan, penyesalan, kerunsingan dan rasa bersalah bertimpa-timpa.

Kalau dompet itu saja yang hilang, mungkin boleh diganti. Harganya hanya RM99.00, dapat gaji bulan depan aku beli yang baru, kulit juga. 

Namun, bila mengingat apa yang ada dalam dompet, kepala mula serabut. Kad pengenalan, lesen memandu, road tax motosikal, kad kredit, kad ATM Bank  Islam, kad keahlian PAS, resit-resit pembayaran ansuran bank, resit pembayaran bil telefon, resit top-up Touch n Go, simcard broadband, duit RM350, kad smile esso yang tak pernah ditebus bonusnya sejak 2005... Dan benda-benda kecil yang lain. Kepala makin serabut. Hati panas sejuk tak menentu.

Susahnya nak ke balai polis buat report, susahnya nak ke bank untuk buat kad ATM baru, renyahnya nak buat kad pengenalan baru.... Nak proses kad pengenalan baru, memakan masa, kena denda?

Apa jadi kalau hilang dan dijumpai oleh orang jahat. Kalau nombor pin yang pernah ditulis di dalam dompet itu belum terpadam, dan penjahat itu berurusan di ATM, langsailah duit yang ada di bank. Kad kredit mungkin digunakan di stesen minyak, kad pengenalan dicampak tempat dia merompak atau pecah rumah. Kad-kad lain lagi? Duit? Tak apalah duit tu kalau kad dan dokumen dipulangkan. Nilainya bukan RM350 lagi...sudah jadi beribu ribu jika diukur dengan kesulitan dan renyah yang terpaksa dilalui.

Hilangnya Kerajaan Negeri dan apa yang ada bersamanya terlalu besar untuk diukur dengan hilang dompet.  Hilangnya Fakulti Perubatan yang dijual kepada Mahsa College, hanya salah satu kad yang ada dalam 'dompet'.  Lenyaplah satu daya usaha besar, yang tak akan dijumpai semula. Tanah yang telah diumumkan kepada Sekolah-sekolah Agama dan sekolah-sekolah persendirian? Kafalah, bantuan IPT, Maahad Tahfiz Sains, jimat cermat...dan apa-apa yang belum disedari tersusun di dalamnyaa? ? Ooooooohhhh....besarnya kehilangan 'dompet' berjenama Kedah Sejahtera!

Dompet yang tersorok di bawah tempat duduk pemandu dalam kereta, telah ditemui semula. Semua dokumen dalam dompet buruk itu masih ada. Leganya hati.! Siapa-siapa yang 'menemui' dompet jenama 'Kedah Sejahtera' janganlah merobek apa yang diusahakan dengan pengorbanan besar dan susahpayah pemimpin terdahulu.... Belajar dulu mengenal nilainya....

1 comment:

  1. Jatuhnya Kedah kpd BN kerana kurangnya nilai fikir rakyat Kedah.

    Juga kerana kurangnya tarbiah mereka.

    Mereka hanya lebih suka ikut cakap orang tanpa mahu menganalisa langsung input dan maklumat yg ada.

    Mereka lebih suka membincangkan sesama mereka tanpa mahu dapatkan pandangan sebenar daripada yg ahlinya.

    Mentaliti rakyat Kedah masih lagi di era Kegemilangan Umno. Tahniah Umno kerana berjaya mencorakkan rakyat Kedah sedemikian rupa.

    Aku menulis dalam keadaan yg sangat sedih. Maahad Tahfiz Pulau Tuba. Apa salahnya kerajaan beri kelebihan kepada para huffaz ini utk belajar di tempat baru+selesa+tenang+mewah? Aku tak mampu untuk menjadi hafiz seperti mereka. Yang aku mampu hanya membantu dengan sedikit rezeki kewangan yg Allah beri padaku. Dan dengan doa.

    Itu tindakan bodoh kerajaan Kedah sekarang. Sanggup untuk tidak membantu pelajar2 tahfiz. Ya Allah, hancurkanlah kerajaan dan pemimpin yg zalim!

    ReplyDelete